red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://lokesiewfook.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Loke Siew Fook di Petaling Jaya pada hari Sabtu, 3hb Julai 2010:

DAPSY menggesa Pemuda UMNO menarik balik kenyataan mereka yang mengelirukan dan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat.

Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Pemuda UMNO Malaysia segera mengarahkan Pengerusi Biro Keahlian dan Pendaftaran Pengundi mereka, Hishamuddin Yahya supaya menarik balik kenyataannya yang mendakwa nisbah pengundi baru selepas pilihanraya umum ke-12 ialah 1 Melayu kepada 40 bukan Melayu. Pemuda UMNO juga perlu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat kerana kenyataan tersebut bukan sahaja palsu dan menggelirukan, ia juga menimbulkan perasaan kurang senang hati di kalangan masyarakat majmuk Malaysia. Kenyataan yang berbaur perkauman tersebut terbukti palsu selepas Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjelaskan kepada Malaysiakini semalam bahawa nisbah yang sebenarnya ialah 2:1 iaitu setiap 2 orang Melayu yang mendaftar, hanya seorang bukan Melayu yang turut mendaftar.

Menurut statistik SPR, angka yang sebenar yang telah didaftar oleh SPR sejak PRU ke-12 ialah seramai 569,137 orang dimana 355,805 (62.2%) dari kaum Melayu, 131,046 (23.03%) dari kaum Cina manakala 27,823 (4.89%) adalah dari kaum India. Angka ini melambangkan demografi yang lebih mirip kepada pecahan kaum di Malaysia dan amat jauh berbeza dari nisbah yang didakwa oleh Hishamuddin Yahya. Ternyata kenyataan dan dakwaan tersebut mempunyai agenda politik yang sempit dan ingin mengeliru dan menakutkan masyarakat Melayu bahawa kedudukan politik mereka semakin terancam.

Kenyataan Pemuda UMNO tersebut telah disiarkan oleh akhbar Berita Harian dalam muka surat depan mereka pada 28 Jun 2010 dan disusuli dengan topik yang sama pada 29 Jun 2010. Namun, selepas Pengerusi SPR menjelaskan angka yang sebenarnya semalam, Berita Harian langsung tidak melaporkan fakta yang sebenarnya hari ini. Apakah ini melambangkan tahap professionalisme Berita Harian?

Namun, agenda yang lebih penting yang harus diperjuangkan oleh semua pihak selepas insiden ini ialah pertimbangan yang sewajarnya harus diberikan kepada cadangan pendaftaran pengundi secara automatik. Setiap warganegara Malaysia yang mencapai umur yang layak harus menjadi pengundi yang sah tanpa perlu mendaftarkan diri dengan SPR. Ini bukan sahaja akan memudahkan urusan SPR dan menjimatkan sumber, malah kebimbangan bahawa kedudukan politik mana-mana kaum akan terancam tidak akan timbul sama sekali kerana setiap warganegara Malaysia berhak untuk menentukan barisan pimpinan negara.

DAP dan Pakatan Rakyat menyokong penuh cadangan pendaftaran pengundi secara automatik kerana ia telah dipersetujui dalam Agenda Bersama Pakatan Rakyat yang diluluskan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam tahun lepas. Persoalan sekarang ialah sama ada UMNO dan Barisan Nasional mempunyai keinginan politik untuk melaksanakannya?


* Loke Siew Fook, Ketua Pemuda Sosialis DAP & Ahli Parlimen Rasah

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional