red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://wengsan.blogspot.com/ 

 

 

Ucapan Lau Weng San semasa membahas Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (No. 2) 2010 pada hari Selasa, 13hb Julai 2010:

Ucapan atas perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (No. 2) 2010

Saya berasa berterima kasih kerana dapat berdiri di Dewan Yang Mulia ini untuk mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (No. 2) tahun 2010.

Semamangnya perbekalan tambahan ini merupakan kali yang kedua dilakukan pada tahun ini.

Kita sudah sampai ke pertengahan tahun 2010 dan kini juga sampai waktunya untuk kita semua merenung kembali pencapaian-pencapaian kita sepanjang enam bulan yang lalu dan mengorak langkah untuk maju ke hadapan.

Saya tidak bersetuju dengan pendapat bahawa Perbekalan Tambahan kali ini mencerminkan sikap kerajaan yang tidak berhati-hati dan boros dalam perbelanjaannya. Saya juga tidak bersetuju dengan pendapat bahawa ianya mencerminkan kelemahan Kerajaan Selangor dalam merancang perbelanjaannya.

Kalau kita meneliti perbelanjaan tambahan kali ini, pasti kita akan mendapati bahawa ianya dibelanjakan untuk kepentingan rakyat. Misalannya, lebih daripada 50% daripada perbelanjaan tambahan ini digunakan untuk membiayai program air percuma dan cetakan kupon untuk pemberian air percuma kepada rumah pangsa kos rendah. Perbelanjaannya mececah RM74 juta ringgit, iaitu kira-kira 63% daripada jumlah perbelanjaan tambahan ini.

Mungkin apa yang boleh diperbaiki ialah butiran-butiran perbelanjaan dalam kertas mesyuarat yang dibentangkan kepada Dewan yang Mulia ini patut dipertambahkan agar semua Ahli Dewan Negeri dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang perbelanjaan ini.

Perkasa dan "Perkasa Cina"

Dalam suasana kita berbicara tentang isu-isu yang mempunyai kaitan dengan rakyat Selangor, negara kita pula terjerumus dengan kancah politik perkauman dengan seorang pemimpin kanan MCA pula menyeru supaya diwujudkan "Perkasa Cina" untuk memperjuangkan hak masyarakat Cina dan bersaing dengan Perkasa.

Saya melihat konsep "Perkasa Cina" ini sebagai satu cadangan yang jauh bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Malaysia.

Pakatan Rakyat dan DAP khususnya menolak habis-habisan cadangan MCA untuk mewujudkan "Perkasa Cina" kerana ianya sedikitpun tidak membantu kita mencapai perpaduan.

Pendapatan daripada sumber semula jadi negeri Selangor

Isu mengenai hasil pasir di Selangor sering menjadi isu hangat orang ramai. Di bawah Pakatan Rakyat, hasil pasir di Selangor telah meningkat.

Kerajaan Selangor telah mensasarkan bahawa hasil pasir boleh sampai ke RM150 juta setahun. Kerajaan juga pernah menetapkan bahawa sasaran hasil pasir pada tahun 2009 adalah sebanyak RM127 juta.

Walaupun begitu, hasil pasir sebenar pada tahun tersebut hanya mencatatkan jumlah RM5.7 juta bagi tahun berkenaan. Pengajaran yang kita memperolehi daripada peristiwa ini ialah kerajaan tidak harus membuat sesuatu unjuran tanpa siasatan yang teliti.

Apapun sekali, saya mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri kerana kita masih mencapai hasil pasir yang lebih tinggi daripada tahun-tahun sebelum ini. Mengikut apa yang diberitahu semasa pendengaran Selcat, pada tahun 2007 royalti yang dibayar kepada kerajaan ialah RM2.7 juta, tahun 2008 ianya melonjak naik ke RM4.7 juta dan amaun ini terus meningkat ke RM5.7 juta pada tahun 2009. Ini belum lagi termasuk bayaran dividen KSSB kepada Kerajaan Negeri.

Di samping itu, kes kecurian pasir semakin berkurangan mengikut penjelasan MB dalam sidang Dewan sebelah pagi tadi. Saya juga meminta Kerajaan Negeri untuk tidak melupa jasa penguatkuasa-penguatkuasa di setiap Pejabat Tanah dan Daerah. Ramai di kalangan mereka yang terpaksa meletakkan keselamatan mereka dan ahli-ahli keluarga mereka dalam keadaan berisiko.

Pemantauan pelaksanaan kontrak oleh KSSB

Saya ingin menarik perhatian terhadap sistem pemantauan pelaksanaan kontrak KSSB oleh kontraktor-kontraktor.

Pertama sekali saya ingin mengetahui tentang apakah cara-cara pemantauan sedia ada pada KSSB untuk memantau kontrak-kontrak yang diberikan oleh KSSB kepada kontraktor-kontraktor.

Saya telah mengetahui bahawa KSSB telah memberi kontrak mencucigali pasir sungai di daerah Petaling. Salah satu kontrak ialah kontrak cucigali pasir sungai di Sungai Kayu Ara, berdekatan dengan Jalan Lebuh Bandar Utama, Seksyen 12 Bandar Utama dengan Jalan PJU1/3A, Kampung Cempaka.

Kontraktor yang dipilih ialah Daya Angsana Sendirian Berhad yang bertanggungjawab untuk menjalankan program cucigali sungai di RD14 Sungai Kayu Ara sepanjang lebih kurang 1 kilometer berhamparan Kampung Cempaka.

Saya telah menerima aduan daripada orang ramai dan telah meninjau kawasan itu beberapa kali. Kontraktor kelihatan tidak bekerja dan tempat itu dibuka luas seolah-olah tiada orang yang mengawal tempat itu apabila salah satu tempat masuk melalui satu tapak semaian tidak dikunci langsung.

Walaupun kontrak telah diberi, saya tidak menampak kontraktor menjalankan kerja-kerja cucigali pasir dengan gigih.

Apakah tujuan KSSB memberi kontrak cucigali pasir? Pertama sekali, ianya adalah untuk mendalamkan sungai-sungai ini supaya banjir tidak berlaku semasa hujan lebat. Kedua, KSSB berharap untuk menjana sumber pendapatan daripada program cucigali pasir ini.

Jadi untuk memenuhi kedua-dua tujuan ini, kontraktor-kontraktor kena gigih dan tekun. Apa yang berlaku di Sungai Kayu Ara ini pula sebaliknya. Kontraktor tidak bekerja sedangkan pasir-pasir sungai masih bertimbun di tengah-tengah sungai. Pasir yang telah dilombong pula dilonggokkan di tebing sungai. Kawasan lombong pula tidak dikunci sehingga saya dapat memasuki kawasan lombong tanpa sekatan.

Saya meminta Kerajaan Selangor untuk menjalankan audit-audit secara rampang untuk memperbetulkan keadaan ini. KSSB bukan sahaja perlu telus dan beramanah dalam pemilihan kontraktor tetapi juga perlu kompeten dari segi pemantauan pelaksanaan kontrak-kontrak yang diberikan.

Saya ingin menegaskan bahawa kelalaian sebegini juga akan mengagalkan usaha kerajaan untuk mempertingkatkan hasil pasir dan sumber semulajdi di negeri Selangor. Kelalaian ini akan sudah pasti akan mengurangkan volume hasil pasir yang dapat dijana, sekaligus mengurangkan cukai dan royalti yang perlu dibayar kepada Kerajaan Selangor.

Sememangnya, dasar Kerajaan Selangor terbaru yang mengarah KSSB untuk menandatangani Integrity Pact serta mematuhi segala KPI-KPI integriti yang dicadangkan oleh Transparency International dalam pemberian kontrak.

Kemelut rundingan air di Selangor

Di dalam perbelanjaan bekalan tambahan kedua ini, kerajaan telah membelanjakan RM74 juta untuk bayaran bil air percuma dan cetakan kupon. Perbelanjaan ini mengingatkan saya tentang rundingan penstrukturan semula industri air yang masih berjalan tetapi telah menemui jalan buntu.

Semalam Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa Kerajaan Selangor akan muflis berikutan kesilapan dalam mengurus industri air di Selangor.

Sebelum BN menuduh kerajaan Selangor bankrup dan muflis, adalah baik mereka merenung mereka sendiri. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Idris Jala telah mengatakan bahawa Kerajaan Perseukutuan pula yang akan muflis pada tahun 2019.

Pertama sekali, jikalau Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu prihatin dengan kedudukan kewangan Kerajaan Selangor serta kebajikan rakyat Selangor, Kerajaan Persekutuan BN harus berunding dengan kerajaan negeri Selangor untuk mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut penstrukturan semula industri air dengan Kerajaan Selangor untuk melaksanakan hasrat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) dengan menyatukan empat syarikat konsesi di bawah satu entiti yang dikawal oleh kerajaan negeri. Kerajaan Persekutuan harus mengenali satu kenyataan bahawa pengurusan sumber air dan utiliti di negeri ini tidak akan dapat dilakukan dengan berkesan melainkan ianya melibatkan Kerajaan Selangor.

Kerajaan Selangor juga membuat dua kali tawaran untuk mengambil alih semula industri air daripada keempat-empat konsesi air sedia ada sekarang. Tawaran pertama adalah sebanyak RM5.7 bilion dan seterusnya RM9 bilion. Splash turut menawarkan harga RM10 bilion tetapi ini juga tidak diendah.

Tawaran Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) sebanyak RM10.75 bilion mengesahkan bahawa pendekatan holistik boleh dilakukan untuk penstrukturan semula itu dengan harga yang ditawarkan, walaupun ianya kurang menepati matlamat dan aspirasi WSIA 2006.

Kerajaan negeri juga berpendapat industri perkhidmatan air boleh dijalankan pada harga lebih lebih rendah sekali gus bercanggah dengan permintaan Syabas untuk manaikkan tarif air sebanyak 37 peratus.

Mengapakah Kerajaan Persekutuan membenarkan syarikat kroni menyalahgunakan industri air ini untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi? Mengapakah Kerajaan Persekutuan masih memberi pinjaman RM320 juta kepada Syabas apabila Syabas menghadapi masalah kewangan sedangkan pihak pengurusannya menerima gaji dan bonus yang lumayan? Mengapakah Kerajaan Persekutuan menghalang usaha rakyat untuk mendapatkan laporan audit Syabas serta perjanjian konsesinya?

Semua ini hanya membawa kita kepada satu jawapan, iaitu selama ini Kerajaan Persekutuan langsung tidak berminat untuk meletakkan industri air ini di bawah mana-mana syarikat seperti SPLASH atau di bawah Kerajaan Selangor. Kerajaan Persekutuan hanya berminat untuk memberi konsesi ini terus kepada Syabas supaya ianya dapat menjalankan perniagaan air ini di samping mengaut keuntungan puluhan juta malahan ratusan juta ringgit!

Selain itu, saya ingin bertanya, siapakah yang menghalang usaha daripada Kesatuan Sekerja Malaysia untuk mendedahkan laporan audit Syabas dan pejanjian konsesi air di Selangor? Siapakah yang menjadi petualang dalam isu air ini?

Perlantikan pegawai-pegawai kanan di bawah Kerajaan Selangor harus mendapat konsensus daripada Kerajaan Negeri Selangor

Dari segi sejarah, Selangor merupakan salah satu negeri dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Sistem Persekutuan ini merupakan sistem persekutuan yang pertama di dalam sejarah Malaysia dan ianya dilaksanakan oleh pihak British pada tahun 1895 dan ia bertahan sehingga tahun 1946, apabila ia bersama-sama dengan Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu digabungkan bagi membentuk Malayan Union.

Sistem persekutuan begini dikatakan mempunyai kesan langsung ke dalam pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang. Dikatakan juga sistem perkhidmatan awam di keempat-empat buah negeri di kebanyakkannya bergantung kepada sistem persekutuan, iaitu persekutuan yang akan melantik pegawai-pegawainya ke dalam pekhidmatan awam di bawah keempat-empat buah negeri ini.

Dalam erti perkataan lain, Pegawai Tadbir dan Diplomat (PTD) yang sedang berkhidmat di negeri Selangor merupakan pegawai-pegawai Persekutuan selaras dengan semangat dan fungsi persekutuan.

Saya meminta Kerajaan Selangor untuk memainkan peranan dan pengaruhnya dalam perlantikan kakitangan awam di Selangor dan tidak bergantung semata-matanya kepada kerajaan persekutuan untuk membuat keputusan walaupun perkhidmatan awam merupakan kuasa kerajaan persekutuan, lebih-lebih lagi negeri Selangor terikat dengan unsur-unsur sejarah dalam perihal perlantikan pegawai-pegawai kerajaan.

Sebagai satu permulaan, EXCO perlu bertegas dengan JPA jikalau JPA ingin mengambil keluar pegawai-pegawai yang dapat bekerjasama dengan Kerajaan Selangor dan memasukkan pegawai-pegawai yang mempunyai latar belakang politik. Kita harus juga dilihat sebagai tegas dalam mendesak JPA untuk menukarkan pegawai-pegawai yang tidak kompeten atau tidak dapat bekerjasama dengan kerajaan baru.

Saya mengalu-alukan tindakan Kerajaan Selangor untuk menukarkan pengarah-pengarah jabatan dari PBT ke PBT. Langkah ini sudah pasti akan mempertingkatkan kualiti kerja pengarah-pengarah jabatan di PBT. Walaupun begitu, saya meminta supaya pertukaran ini juga dapat dibincangkan dengan wakil-wakil rakyat terlebih dahulu dan tidak dijadikan sebagai satu kejutan kepada semua termasuk wakil rakyat juga.

Sungguhpun begitu, kita tidak harus selalu menyalahkan pegawai-pegawai kerajaan apabila mereka gagal melaksanakan arahan dan menyelesaikan tugas-tugas yang diberi kepada mereka.

Kerajaan Selangor juga harus memperkasakan fungsi dan tugas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (SPANS). Saya telah meneliti Laporan Tahunan SPANS pada tahun 2008 dan saya mendapati SPANS boleh memainkan peranan yang lebih penting dalam membantu Kerajaan Selangor melantik penjawat-penjawat awam baru ke dalam jawatan-jawatan tetap dan berpencen.

PBT harus melantik kontraktor sisa pepejal sendiri

Kerajaan Selangor harus berbicara dan memberi arahan kepada semua PBT sama ada PBT perlu menyambung semula kontrak kutipan sisa pepejal dengan Alam Flora Sendirian Berhad (AFSB).

Rata-ratanya prestasi kontraktor-kontraktor yang dilantik oleh AFSB masih belum menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Apabila tsunami politik melanda negeri Selangor dua tahun yang lalu, mereka mengharapkan perkhidmatan perbandaran yang lebih baik.

Kini sudah sampai masanya untuk Kerajaan Selangor bertindak secara proaktif, khususnya apabila perjanjian Alam Flora dengan PBT-PBT di Selangor sudah berkahir dan hanya disambung dari setahun ke setahun.

Antara aduan-aduan yang paling banyak diterima daripada pengadu ialah kekerapan kutipan yang tidak tetap dan longkang yang tidak dibersih dari dahulu sehingga ke sekarang. Saya menghargai kerjasama dan tindakan cepat yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan AFSB semasa sesuatu aduan dilaporkan kepada mereka tetapi ini hanya merupakan respons reaktif.

Jikalau keadaan masih tidak bertambah baik, maka saya menggesa EXCO untuk segera membuat dasar dan mengarahkan PBT untuk melantik kontraktor masing-masing setelah perjanjian dengan AFSB tamat tempohnya.

Pemberian kontrak secara lantikan terus perlu dibatalkan

Saya memuji keputusan Kerajaan Selangor menerima "Integrity Pact" yang diketengahkan oleh Transparency International (TI). Dalam pada itu, saya mengingatkan kerajaan bahawa pemberian kontrak secara rundingan terus atau lantikan terus perlu dibendung kerana praktis ini masih berlaku di dalam agensi kerajaan.

Saya telah menerima satu surat minggu yang lepas satu salinan surat rasmi daripada kerajaan negeri kepada sebuah PBT di Lembah Kelang tentang pemberian kontrak berjumlah RM3juta peruntukan MARRIS secara lantikan terus. Surat ini bertarikh 31 Mac 2010 dan sebanyak 27 kontrak telah diberi dengan setiap satunya bernilai antara RM104,400 hingga RM139,200.

Saya meminta Kerajaan Negeri menyiasat kes ini dan lebih baik lagi kalau kerajaan dapat menubuhkan satu pasukan audit untuk menyemak praktis sebegini di PBT-PBT yang lain. Aduan juga diterima daripada Ahli-ahli Majlis tertentu bahawa terdapat juga pegawai-pegawai kanan dalam PBT yang berhak untuk memberi kerja-kerja inden secara lantikan terus cuba menggunakan kuasa ini demi mendapatkan "kerjasama" ahli-ahli majlis semasa mesyuarat jawatankuasa dijalankan.

Tujuan saya membangkitkan perkara ini bukan untuk menyalahkan sesiapa tetapi ianya semata-mata hendak menggesa Kerajaan Selangor untuk menyemak semula praktis-praktis lama sebegini di semua PBT, GLC dan sebagainya. Discretionary power atau kuasa budi bicara. yang dipegang oleh pegawai-pegawai atasan untuk memberi kontrak tidak boleh dikekalkan lagi melainkan ianya menepati beberapa syarat kecemasan.

Perlantikan Ahli-Ahli Majlis

Saya mencadangkan kepada Kerajaan Selangor untuk menetapkan term limit atau had perlantikan Ahli-ahli Majlis di Selangor memandangkan jawatan Ahli Majlis ini merupakan jawatan yang dilantik dan bukan dipilih melalui pilihanraya.

Tujuan saya membuat cadangan ini adalah untuk membuka ruang yang lebih banyak kepada mereka yang ingin berkhidmat di peringkat akar umbi.

Saya juga menggesa supaya perlantikan Ahli-ahli Majlis ini boleh disaring oleh Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Pihak Berkuasa Tempatan (JPK-PBT) yang dipengerusi oleh YB Taman Medan. Saya berpendapat proses saringan ini adalah perlu untuk mencerminkan keterbukaan dan ketelusan dalam memilih dan melantik Ahli-ahli Majlis yang kompeten.


* Lau Weng San, ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional