red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://wengsan.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada 23hb Mei 2010:

Mencabar UMNO dan PERKASA membantah pemberian lesen judi bola oleh kerajaan BN

Saya mencabar ahlli-ahli UMNO dan PERKASA untuk mengumumkan pendirian mereka sama ada mereka menyokong tindakan kerajaan BN untuk memberi lesen judi bola kepada syarikat Ascot Sports Sdn. Bhd. yang dikuasai oleh Tan Sri Vincent Tan.

Pada pilihanraya kecil kerusi parlimen Hulu Selangor, BN dan UMNO mengkritik calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim sebagai kaki botol dan judi. Walaupun dalam isu arak beliau telah bertaubat dan beliau turut menafikan bahawa berliau terlibat dalam perjudian, UMNO tidak habis-habisan mengkritik beliau.

Maka dengan itu, kalau UMNO betul-betul memperjuangkan Islam, maka saya mencabar mereka untuk berdiri dan membantah keputusan kerajaan BN yang membenarkan pemberian lesen judi bola kepada syarikat yang dikuasai oleh Tan Sri Vincent Tan ini.

Saya juga melemparkan tuduhan yang sama kepada pertubuhan PERKASA yang diketuai oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali supaya berbuat demikian.

Jika tidak, ini hanya sekali lagi membongkarkan sikap hipokrit UMNO dan BN, iaitu mereka hanya menggunakan isu ini untuk kepentingan politik sewaktu adanya pilihanraya kecil tetapi apabila kerajaan yang diketuai mereka sendiri melakukan yang sama, mereka terus membisu.

Sehingga sekarang, Perdana Menteri Dato¡¯ Seri Najib Tun Razak masih membisu dalam isu ini seolah-olah ingin membiarkan isu ini berlalu begitu sahaja. Sebenarnya, hasrat kerajaan BN membenarkan pemberian lesen judi bola ini adalah amat jelas sekali, iaitu mereka ingin mengutip cukai eksais yang lumayan daripada aktiviti judi bola ini dengan alasan kononnya pemberian lesen judi bola yang sah akan dapat mengawal dan mengurangan aktiviti judi bola haram.

Pertama sekali, alasan bahawa pemberian lesen judi bola yang sah akan dapat mengawal dan mengurangan aktiviti judi bola haram adalah tidak berasas. Contoh yang paling baik ialah aktiviti judi empat ekor. Biarpun kerajaan telah member beberapa lesen judi nombor empat ekor, aktiviti judi haram masih berlaku dan berleluasa. Begitu juga dengan aktiviti judi lumba kuda haram.

Oleh itu, kerajaan BN hanya berminat terhadap cukai eksaisnya yang dijangkakan agak lumayan. Mengikut kerajaan BN, nilai pasaran aktiviti judi bola di Malaysia mencecah RM20bilion bersamaan 1.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Kalau kerajaan mengutip cukai 10 peratus daripada aktiviti judi bola ini, maka kerajaan akan mendapat pendapatan lebih kurang RM2bilion setahun. Ini tidak termasuk cukai pendapatan yang perlu dibayar kepada kerajaan BN setiap tahun.

Kerajaan BN memang memerlukan pendapatan ini kerana mereka gagal menguruskan sumber kekayaan semula jadi Malaysia sehingga mereka perlu memberi lesen judi bola bagi menambah sumber pendapatan mereka. Ini juga merupakan motifnya apabila kerajaan BN ingin memperkenalkan Cukai Perkhidmatana dan Barangan (GST) sebelum ini.

Malaysia tidak memerlukan lesen judi bola kerana aktiviti-aktiviti judi sedia ada sudah memadai. Pemberian lesen judi bola hanya akan membebankan masyarakat khususnya masyarakat bukan Bumiputera.

Kalau UMNO dan PERKASA benar-benar ikhlas dalam isu moral, maka mereka perlu membantah sekeras-kerasnya keputusan kerajaan BN ini sepertimana mereka berkempen untuk menolak Datuk Zaid Ibrahim semasa PRK Hulu Selangor yang lalu.


* Lau Weng San, ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional