red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://tonypua.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Tony Pua Kiam Wee di Petaling Jaya pada hari Ahad, 3hb Oktober 2010:

Semua Wakil Rakyat Umno di seluruh negara mesti mengembalikan gaji mereka kepada kerajaan dengan segera kerana gaji-gaji ini datang dari sumber tidak halal

Kontroversi baru-baru ini yang diwujudkan oleh ahli-ahli politik Umno atas tabung kebajikan yang diberi kepada orang tua dan miskin di Pulau Pinang, iaitu tabung ini berpunca daripada sumber tidak halal, seperti perjudian, menunjukkan bahawa mereka sudi menjadi hipokrit terbesar demi mengekalkan kuasa mereka.

Pertama, kerajaan negeri telah menafikan secara jelasnya bahawa tabung sedemikian diedarkan kepada orang Muslim, ini bermaksud bahawa ahli-ahli politik Umno berbohong demi mendapatkan faedah politik.

Kedua dan lebih penting lagi, percubaan untuk membezakan hasil halal dan tidak halal bagi Pulau Pinang mengingatkan kita kepura-puraan yang sebesar-besarnya kerana Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Umno, dan Menteri Kewangan yang juga merupakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Abdul Razak adalah pihak-pihak yang bertanggungjawab membenarkan perjudian di negara ini. Tambahan pula, jika tiada bantahan daripada Pakatan Rakyat, Najib mungkin tidak akan menarik balik lesen pertaruhan sukan yang diberi kepada Tan Sri Vincent Tan.

Lebih teruk lagi, Kementerian Kewangan menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke di Parlimen pada 9hb Jun 2010 bahawa kerajaan tidak membezakan cukai yang diterima daripada sumber-sumber hasil yang berlainan, sama ada daripada aktiviti halal atau tidak halal.

"Untuk makluman Yang Berhormat, buat masa ini, hasil daripada aktiviti perjudian adalah dikategorikan sebagai hasil cukai kepada Kerajaan... Bagi semua hasil daripada bayaran cukai ia akan dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan sama seperti semua hasil Kerajaan yang lain dan digunakan untuk tujuan belanja mengurus dan pembangunan negara."

Ini bermaksud bahawa semua hasil cukai yang dikutip dimasukkan ke dalam satu Akaun Hasil Disatukan.

Oleh yang demikian, dengan pertikaian sama yang digunakan oleh Umno di Pulau Pinang, semua Wakil Rakyat Umno mesti mengembalikan semua elaun parlimen dan dewan undangan negeri mereka kepada kerajaan kerana sumber hasil adalah lebih diragu-ragukan jika dibandingkan dengan Pulau Pinang!

Jelasnya, ketua pembangkang negeri Pulau Pinang, Datuk Azahar dapat membezakannya apabila beliau menuntut bahawa "Ahli Dewan Undangan Negeri Umno tidak perlu mengembalikan elaun mereka kerana pendapatan kerajaan negeri datang dari hasil cukai." Jelasnya, beliau tidak menghiraukan kenyataan, secara sengaja atau sebaliknya, bahawa cukai-cukai dibayar kepada kerajaan persekutuan, yang kemudiannya diedarkan semula kepada negeri-negeri berasingan sebagai bantuan dan pinjaman.

Tindakan pemimpin-pemimpin Umno yang tidak bertanggungjawab dan membangkitkan isu-isu agama ini untuk mewujudkan kebimbangan di kalangan orang Muslim untuk kepentingan politik mereka, hanya akan membuat mereka kelihatan bodoh. Umno yang meluluskan semua lesen perjudian di negara ini, dan Kerajaan Persekutuan Umno yang menggunakan hasil cukai, tanpa mengira sumber, untuk membayar semua perbelanjaan kerajaan, termasuk elaun wakil rakyat dan gaji menteri-menteri dan pegawai kerajaan.

Pemimpin-pemimpin Umno ini bukan sahaja harus mengembalikan elaun mereka kepada kerajaan, tetapi juga perlu meminta supaya laluan-laluan dibina untuk orang Muslim dan orang bukan Muslim dengan berdasarkan huraian berkadar bagi sumber hasil yang digunakan untuk membina jalan raya bagi projek-projek infrastruktur seperti lebuh raya yang dibina oleh Kerajaan Persekutuan pada masa depan.

Semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras harus menolak fikiran pemimpin-pemimpin Umno yang tidak munasabah untuk memastikan Malaysia tidak dipecahbelahkan lagi.


* Tony Pua Kiam Wee, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional