red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://chongeng.org/ 

 

 

Ucapan bahas atas Bajet 2011 oleh Chong Eng di Parlimen pada hari Khamis, 21hb Oktober 2010:

Jangan membelakangi wanita dan golongan kurang mampu dalam transformasi ekonomi

Saya sungguh tertarik hati dengan satu ungkapan dalam ucapan bajet YAB yg berbunyi:

"Pucuk pangkalnya kejayaan menuntut kepada perubahan dan pembaharuan. Ia tidak boleh lagi berdikit-dikit tetapi menghambat lonjakan mega. Ternyata apa yang dihadapkan kepada kita sangant jelas. Perubahan bukan lagi satu opsyen. Ia satu imperative. Berubah atau kita akan ketinggalan".

Saya bersetuju bahawa perubahan bukan lagi satu pilihan. Ia satu hakikat; sama ada kita berubah atau kita akan ketinggalan.

Sayangnya perubahan yang dilaungkan dalam ucapan YAB hanya memberi penekanan terhadap aspek ekonomi semata-mata dan matlamatnya ialah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi. Dalam retorik pembangunan ini, golongan yang pada masa kini sudahpun ketinggalan tidak mendapat sebarang fokus.

Tuan yang diPertua,

Golongan yang saya maksudkan ialah kaum wanita OKU, anak-anak kita di kampong dan pedalaman dan orang asli dan kaum pribumi.

Saya sedar bahawa YAB telah memberikan lebih ruang kepada penyertaan wanita dalam ekonomi dalam ucapan bajet beliau. Saya menghargai pengiktirafan Kerajaan terhadap peranan penting wanita dalam pembangunan Negara, dan berhasrat untuk memperluaskan lagi penglibatan wanita dalam ekonomi. Namun, saya berasa kesal kerajaan langsung tidak sebut tentang langkah untuk merapatkan jurang gender dalam politik dan sektor pembuat keputusan.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global (Global Gender Gap Index - GGI) telah jatuh dari 92 pada 2007 ke 96 pada 2008 dan seterusnya menjunam kepada 101 pada 2010. Jurang gender dalam sub-indeks pengupayaan politik dan ekonomi kekal tinggi pada 0.57 pada tahun 2007. Skala jurang gender ialah sifar hingga 1 di mana sifar menunjukkan bahawa tiada jurang gender.

Justeru walaupun saya mengalu-alukan usaha Kerajaan dalam memperuntukkan RM30 juta untuk meningkatkan peranan wanita sebagai usahawan, saya kesal dengan ketiadaan tindakan untuk mengatasi isu jurang gender yang besar dalam sektor politik.

Selepas 53 tahun Merdeka, peratus Ahli Parlimen wanita kekal sekitar 10%. Dalam cabinet pula, bilangan menteri wanita tidak pernah melebihi tiga orang dalam satu masa. Bilangan ADUN wanita tidak pernah lebih daripada 10% dengan 4.8% pada 1999 dan 8.0% pada 2008.

Dalam perkhidmatan awam, PM mengatakan bahawa bilangan wanita dalam Jawatan Utama Sektor Awam bertambah mencapai 30.5%, tetapi bagaimana pula dengan peringkat tertinggi JUSA B, JUSA A dan seterusnya? Pada peringkat tertinggi, wanita tak sampai 15%.

Malaysia telah meratifikasikan CEDAW iaitu Convention On the Elimination of All Forms of Discrimination Against women (CEDAW) dan Beijing Platform For Action pada 1995. Justeru Kerajaan mempunyai kewajiban terhadap dokumen antarabangsa ini untuk mencapai sekurang-kurangnya 30% wanita pada peringkat pembuat keputusan.

Pada tahun 2000, Malaysia juga telah menyertai masyarakat global untuk mencapai Milennium Development Goals (MDGS) menjelang 2015. Matlamat ketiga dalam MDG ialah untuk mempromosikan kesaksamaan gender dan mengupayakan wanita.

Dua instrument penting yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi mencapai 30% wanita di peringkat pembuat keputusan ialah Pengarusperdanaan Gender (Gender Mainstreaming) dan Bajet Responsif Gender (Gender Responsive Budget). Tetapi, malangnya, agenda-agenda ini langsung tidak mendapat liputan dalam ucapan bajet YAB. Justeru saya meragui kejujuran Kerajaan Barisan Nasional yang kononnya prihatin kepada kedudukan wanita dalam kemajuan Negara.

Dalam program transformasi yang diwar-warkan, di manakah perubahan sikap dan tindakan untuk mencapai kesamarataan gender dan sekurang-kurangan 30% wanita sebagai pembuat keputusan? Wanita sudah 53 tahun tertinggal di belakang. Janganlah kerajaan BN terus bertindak tidak adil dan menzalimi separuh daripada rakyat Malaysia!

Saya mengesa kerajaan segera melaksanakan langkah-langkah untuk mengarusperdanakan gender dengan menerima pakai amalan-amalan yang baik di dunia termasuk mengubah sistem pilihanraya sepertimana yang dilaksana oleh Indonesia, dan juga gender kuota yang telah terbukti berkesan di Australia, Afrika Selatan, England dan Taiwan.

Tema ucapan bajet YAB ialah "Transfomasi ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi". Adakah program ini akan member manfaat kepada kaum wanita dan OKU secara samarata? Pada hakikatnya hanya mereka yang bekerja akan mendapat gaji. Ramai OKU tak dapat kerja. Lebih kurang 50% wanita bekerja di rumah dan tidak menerima gaji. Kepada golongan ini, pendapatan tinggi sebenarnya tidak membawa makna yang besar.

Saya ingin bertanya sama ada kerajaan mempunyai pelan tindakan untuk meningkatkan peluang pekerjaan bagi OKU? Apa pula transformasi kepada mereka? Bagitu juga apakah "quantum leap" yang agaknya akan berlaku kepada wanita yang memberi sumbangan seumur hidup kepada keluarga dan rumahtangga? Sebelum Kerajaan memberikan lebih banyak janji kosong dan retorik transformasi, biarlah saya memberikan satu cadangan yang lebih praktikal dan tidak drastik, iaitu mewujudkan undang-undang untuk menjaga kebajikan golongan suri rumah tanga melalui pencaruman EPF dan Socso. Persoalannya bolehkah Barisan Nasional mengambil langkah ini?

Kadar penyertaan buruh wanita (female labour participation rate - LFPR) langsung tidak berubah dalam tempoh 20 tahun ini pada kadar 46%. Apakah "lonjatan mega" yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk menghasilkan perubahan besar untuk meningkatkan kadar penyertaan buruh wanita?

Satu laporan oleh OECD pada tahun 2007 menunjukkan bahawa pengupayaan wanita dan pencapaian kesaksamaan gender mempunyai kesan positif ke atas ekonomi. (Prof. Louka T. Katseli (2007), Gender Equality Can Boast Economic Growth.) Oleh itu, saya harap kita dalam proses Transformasi ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi ini jangan lupa membawa bersama golongan OKU dan wanita. Saya pohon kerajaan BN memberitahu dewan yang mulia ini apakah program konkrit untuk mencapai sasaran 55% kadar penyertaan buruh wanita menjelang 2015 untuk menyakinkan kami bahawa kerajaan BN tidak terus membelakangi wanita.

Membangunkan modal Insan

Infrastruktur dan kemudahan di sekolah, tak kira apajua aliran harus dipertingkatkan. Tidak harus terjadi di zaman ini masih ada sekolah tanpa bekalan air paip dan elektrik. Bayaran bekalan air dan eletrik semua sekolah, termasuk SRJKC dan SRJKT seharusnya dibiayai oleh pihak kerajaan.

Dari segi pembinaan dan pembanngunan, kerajaan tak seharusnya menjadikan pendidikan SRJKC dan SRJKT sebagai satu mainan politik untuk diperalatkan semasa pilihanraya. Pembinaan SRJKC dan SRJKT harus benar-benar mengikut keperluan masyarakat setempat dan bukan sekadar keperluan politik meraih undi. Dan kerajaan sebagai penyedia perkhidmatan pendidikan mestilah menanggung kos pembinaan serta pembangunan tanpa menolak tanggungjawab tersebut kepada pelajar dan ibu bapa untuk mengumpul dana.

Berkenaan dengan pembinaan, saya juga ingin menyentuh kes baru-baru ini di mana bangunan kelas di SK Gunung, Alor Setar telah runtuh semasa mata pelajaran sedang berlangsung sehingga menyebabkan kecederaan seorang guru dan 10 orang pelajar dengan seorang pelajar tahun empat patah kakinya. Apakah tindakan yang telah diambil setakat dalam kes SK Gunung? Dilaporkan bahawa bangunan tersebut baharu sahaja diperbaiki, mengapa runtuh dalam masa yang singkat? Ini bukanlah kali pertama bangunan awam runtuh dan bocor, adakah Kerajaan mengkaji semula prestasi kontraktor yang terlibat termasuk menyenaraihitamkan kontraktor-kontraktor ini?

Mempergiatkan Usaha Menarik Bakat

Kerajaan akan menubuhkan Talent Corporation untuk menarik kembali bakat Malaysia terutamanya yang ada di luar Negara. Walaupun langkah ini disambut baik, namun Talent Corporation tidak akan berjaya sekiranya dasar tidak adil kerajaan kepada golongan tertentu tidak dirombak.

Apa yang perlu dilakukan bukan mencapai ke luar Negara terlebih dahulu, tetapi untuk membuat perubahan di dalam Negara. Ini termasuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk rakyat Malaysia mengecapi kejayaan tak kira apajua kaum dan agama. Ini termasuklah kesaksamaan peluang untuk masuk universiti, dalam pengagihan biasiswa, peruntukkan saksama kepada semua jenis sekolah, wujudkan persekitaran untuk peluang pekerjaan berpendapatan tinggi. Saya sarankan Kerajaan supaya berusaha kekalkan bakat yang ada dalam Negara pada masa kini terlebih dahulu daripada mengejar impian di luar.

Dalam hal ini, saya juga menyeru supaya Kerajaan memberi pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan memberi peruntukkan kepada sekolah vernacular cina persendirian, kolej-kolej tanpa untung yang kini dibiayai melalui derma orang ramai seperti Kolej Han Chiang, New Era College dan Southern College. Dengan cara ini, kita mengasah bakat tempatan sedia ada.

Kerajaan juga patut member pengiktirafan untuk sijil sijil bagi pelajar lulusan university di China, Taiwan, Hongkong, India dan Russia untuk meluaskan lagi pilihan bakat rakyat Malaysia.

Ataupun lebih baik lagi, kita ,memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, dengan menjemput university terkemuka dunia untuk membuka kampus dan cawangan di Negara kita. Dengan ini, pelajar yang tidak mampu untuk ke luar negeri akan menikmati peluang univerisiti bertaraf dunia di Malaysia.

Program Sosial Mestilah Dituju Mengikut Keperluan

Kerajaan memperuntukkan RM111 juta untuk program PERMATA, tetapi hanya RM100 juta kepada pelbagai program pengupayaan orang asli dan pribumi. Golongan ini merupakan golongan yang paling ketinggalan dalam agenda pembangunan Kerajaan, justeru patut diberikan lebih banyak peruntukkan terutama untuk mengatasi masalah malnutrisi dan keciciran daripada sekolah yang tinggi.

Saya menyambut baik pengiktirafan Kerajaan terhadap peranan NGO dalam mengatasi masalah sosial. Peruntukkan RM70 juta yang dikemukakan mestilah disalurkan secara telus kepada NGO yang sememangnya mempunyai rekod pencapaian cemerlang dan bukan sekadar mengedarkan wang kepada sebarang persatuan sewenang-wenangnya. Masalah sosial juga tidak mengenal ideologi politik, agama dan kaum. Justeru wang diperuntukkan mestilah digunakan untuk program bi-partisan dan menjangkaui politik.

Peruntukkan RM70juta ini dicadangkan untuk menangani gejala sosial seperti buang bayi, mat rempit dan gangsterism. Dalam ini, kita sedang merawat symptom masalah sosial. Lebih baik lagi kalau kita amalkan "prevention is better than cure". Kerajaan patut menyalurkan dana untuk mewujudkan system sokongan untuk keluarga seperti pusat jagaan kanak-kanak, pusat bantuan keluarga dalam krisis dan memperbanyakkan pekerja sosial yang berkelayakan.

Kerajaan juga patut mengambil berat terhadap jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Jenayah seksual meningkat 100% antara tahun 2005 dan 2009, dari 2427 kepada 4238. Hampir separuh daripada kes ini melibatkan kanak-kanak di bawah 16 tahun. Dalam isu ini, elak lebih baik daripada rawat. Anak-anak perlu diajar untuk membezakan apa itu sentuhan yang baik apa itu sentuhan yang tidak patut, dan bagaimana untuk menolak sentuhan yang tidak patut itu tak kira datang dari keluarga sendiri ataupun orang yang tak dikenali. Begitu juga, mereka patut diajar untuk melaporkan perbuatan yang tidak senonoh ke atas mereka dan lebih banyak kemudahan patut disediakan untuk membantu mangsa dan keluarga mereka mengatasi trauma jenayah seksual.

Akhir sekali, untuk memperkukuhkan lagi peluang ibu atau bapa bekerja secara flexi dan separuh masa, insentif cukai patut diberikan kepada majikan yang mengimplimentasikan program sedemikian. Pengecualian cukai yang diistiharkan oleh PM juga patut merangkumi barangan kegunaan keluarga seperti tepung susu, susu bayi, mainan berunsur pendidikan dan peralatan terutamanya untuk kegunaan kanak-kanak kurang upaya seperti down syndrome dan autistic.


* Chong Eng, Pengerusi DAP Wanita & Ahli Parlimen Bukit Mertajam

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional