red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://liewchintong.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Liew Chin Tong di Pulau Pinang pada hari Ahad, 31hb Oktober 2010:

UMNO dan Utusan bohong lagi

DAP kesal dengan tindakan Utusan Malaysia dan beberapa pemimpin UMNO yang masih menyebarkan fitnah berbau perkauman kononnya orang Melayu akan dihalau dari Pulau Pinang. Pembohongan itu bukan sahaja satu dusta yang sengaja mahu membangkitkan kemarahan orang Melayu tetapi juga percubaan UMNO untuk menutup kelemahan diri yang gagal membela bangsa Melayu.

IPT di Balik Pulau

Kerajaan negeri Pakatan rakyat Pulau Pinang telah pun menjelaskan beberapa kali tentang cadangan pembinaan kampus institut pengajian tinggi (IPT) antarabangsa yang BELUM diluluskan permohonan. Tetapi Utusan dan UMNO terus dengan fitnah mereka kononnya Melayu di Balik Pulau akan menjadi mangsa jika IPT-IPT berkenaan dibina.

Utusan dan UMNO gunakan istilah "universiti Cina" dan "universiti Singapura" yang kononnya sudah diluluskan permohonan untuk menyebarkan api perkauman. Ini berita palsu dan tidak benar sama sekali. DAP berjuang untuk semua kaum dan peluang pendidikan juga untuk semua kaum.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pernah menyatakan hasrat untuk menjemput Universiti Al-Azhar dari Mesir supaya membina kampus cawangan di Pulau Pinang. Tetapi ini didiamkan sama sekali oleh Utusan dan UMNO. Apakah mereka tidak mahu orang Melayu dan Islam menikmati peluang pengajian Al-Azhar melalui kampus tempatan di negeri sendiri?

Kerajaan negeri juga sudah menjelaskan bahawa dakwaan kononnya tanah 81 hektar di Pondok Upeh dan Kampung Genting di Balik Pulau sudah diwartakan untuk untuk pembinaan IPT adalah fitnah dan berniat jahat. Perkara ini juga telah pun disahkan oleh Pentadbir Tanah Daerah Barat Daya Pulau Pinang, Haji Jusni Ismail pada awal bulan Oktober 2010.

Malah daripada cadangan pembinaan IPT itu, ia dijangka hanya melibatkan 21 peratus pemilikan tanah orang Melayu. Daripada 15 rumah yang dikenal pasti (tetapi keputusan belum dibuat), hanya enam milik orang Melayu.

Cadangan untuk mengambil tanah bagi pemibinaan IPT juga melibatkan kemungkinan pengambilalihan tanah kawasan penternakan babi di kawasan itu. Mengapa Umno dan Utusan tidak menyatakan fakta ini? Mengapa Umno dan Utusan mahu bermain api perkauman?

Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong

Apabila Mahkamah Sesyen menolak permohonan penduduk Kampung Jalan Pokok Asam di Jelutong yang mahu menghalang perobohan rumah mereka oleh pemaju dari Kuala Lumpur baur-baru ini, UMNO dan Utusan menyalahkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Tetapi mereka hanya membangkitkan masalah kampung orang Melayu sahaja sedangkan kawasan yang mahu dibangunkan melibatkan lapan kampung di mana dua sahaja majoriti orang Melayu manakala enam lagi didiami oleh orang Cina.

Fitnah juga ditumpukan kepada projek perumahan sahaja, seolah-olah pengambilan tanah di kawasan itu tidak mengambil kira projek-projek pembangunan lain seperti perluasan kawasan sekolah dan pembinaan jalan untuk dihubungkan dengan Jelutong Expressway. Semua ini didiamkan oleh UMNO dan Utusan kerana mereka tahu ia adalah pembangunan untuk rakyat.

Namun kita ingin tegaskan bahawa ini bukan soal perkauman. Hak adalah perkara asasi untuk setiap individu dan masyarakat. Pakatan Rakyat tidak akan terperangkap dalam isu perkauman yang dimainkan oleh UMNO dan Utusan.

DAP bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat telah berusaha untuk menjamin keadilan dan kesejahteraan kepada semua penduduk tanpa mengira kaum. Walau pun Mahkamah telah membuat keputusan, kita akan terus membantu mengikut kemampuan.

Tetapi UMNO dan Utusan hanya mahu mengapi-apikan perkauman tanpa membuat apa-apa untuk membantu orang Melayu, Cina dan India yang mengalami masalah. Malah sewaktu Gerakan dan UMNO menerajui kerajaan negeri, mereka juga tidak banyak berbuat apa-apa untuk rakyat miskin di Pulau Pinang.

Jika UMNO jujur dan ikhlas membantu orang Melayu sejak lebih 30 tahun lalu, sudah tentu kehidupan orang Melayu sudah jauh lebih baik. Pakatan Rakyat yang tak sampai usia 3 tahun ini sedang berusaha untuk memperbaiki segala macam masalah yang ditinggalkan oleh UMNO dan Gerakan sejak lebih 30 tahun itu.

Rakyat tidak sepatutnya mudah terpedaya dengan dakyah UMNO dan Utusan. Pakatan Rakyat tetap komited untuk membantu semua kaum termasuk orang Melayu dan Islam bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga di seluruh negara.


* Liew Chin Tong, Setiausaha Antarabangsa DAP & Ahli Parlimen Bukit Bendera

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional