red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Ibu Pejabat DAP, Petaling Jaya pada hari Khamis, 2hb September 2010: 

DAP terkejut dengan keputusan mendakwa penulis blog untuk tulisan berunsur satira 

DAP terkejut dengan keputusan Suruhanjara Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendakwa penulis blog untuk penulisan berunsur satira.

Tindakan kerajaan untuk mendakwa Irwan Abdul Rahman, dikenali sebagai penulis blog "Hassan Skodeng", di mahkamah atas penulisan berunsur satira bukan sahaja keras malah tidak masuk akal. Apakah ini bermakna penulisan berunsurkan satira atau jenaka kini adalah salah di sisi undang-undang Malaysia? Apa sudah jadi dengan negara ini?

Apakah kita sudah terlupa tentang penulis satira, Ishak Haji Muhammad, lebih dikenali sebagai Pak Sako, yang menulis karya hebat antaranya "Putera Gunung Tahan" dan "Anak Mat Lela Gila" telah meniupkan semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu dan rakyat Malaysia menentang penjajah British semasa perjuangan menuntut kemerdekaan?

Begitu juga dengan penulis satira hebat bernama Jonathan Swift yang pernah berkata "satira is a sort of glass, wherein beholders do generally discover everybody's face but their own".

Pada masa ini, saya percaya seulas jenaka boleh menceriakan kehidupan yang suram dan tidak sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang serius. Seperti yang selalu diperkatakan orang, dunia akan selalu menjadi lebih ceria dengan senyuman.

Saya tidak faham kenapa SKMM sanggup membazirkan tenaga dan tumpuannya dalam hal remeh-temeh sebegini. SKMM sepatutnya menghabiskan lebih banyak masa untuk membawa pesalah yang meniup api perkauman ke muka pengadilan. Masalah berkenaan perkauman seharusnya menjadi keutamaan nombor satu oleh SKMM.

Kita masih meraikan Kemerdekaan dan di sebalik itu, kita masih mendengar mereka yang bertindak menentang semangat Perlembagaan Persekutuan 1957 dengan kenyataan perkauman dan melampau. Kita tidak akan membenarkan perkauman menjadi sebahagian daripada masyarakat kita.

Kita harus terus berjuang untuk kebebasan media dan bebas untuk bersuara. Kita tidak lagi tinggal dalam ketakutan Perang Dingin dan ancaman komunis. Kita hidup dalam abad ke-21 dan kita mesti menghormati kebebasan, demokrasi dan hak asasi manusia.

Saya memohon kepada semua yang berkuasa untuk menimbang keputusan mendakwa warga Malaysia yang hanya berkongsi kebolehan kreatif dengan kita untuk menceriakan hidup di sebalik kehidupan dalam masa-masa suram seperti sekarang.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional