red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Ibu Pejabat DAP, Petaling Jaya pada hari Khamis, 9hb September 2010: 

DAP dengan sekeras-kerasnya mengutuk rancangan sebuah gereja di AS untuk membakar beratus-ratus naskhah kitab suci Al-Quran dalam usahanya memperingati ulang tahun kesembilan serangan pengganas Al-Qaeda pada 11 September 

DAP dengan sekeras-kerasnya mengutuk rancangan sebuah gereja di Amerika Syarikat (AS) untuk membakar beratus-ratus naskhah kitab suci Al-Quran dalam usahanya memperingati ulang tahun kesembilan serangan pengganas Al-Qaeda pada 11 September, yang memaksa bangunan terkenal, World Trade Center (WTC) di New York tunduk menyembah bumi. Tindakan sedemikian hanya akan mencetuskan lebih banyak kebencian dan keganasan di kalangan orang yang berbeza kepercayaannya.

DAP menentang apa jua bentuk permusuhan, jenayah, perkauman dan tindakan melampau agama sama ada ia dilakukan di tanah air sendiri mahupun antarabangsa. Kami memilih untuk berdialog, rundingan dan debat daripada keganasan dan pelampau.

Justeru, kami menyeru semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum dan agama untuk mengutuk tindakan gila lagi merbahaya untuk mencemarkan naskhah kitab suci Al-Quran. Pihak berkuasa AS seharusnya mencegah cadangan untuk membakar kitab suci berkenaan daripada berlaku agar tidak membangkitkan sentimen di kalangan umat Islam terutama ketika mereka sedang menyambut Aidilfitri.

Paderi Terry Jones mendakwa bahawa beliau mahu "menghantar mesej kepada pihak radikal Islam bahawa mereka tidak akan bertolak-ansur dengan pelakuan mereka". Namun begitu, beliau tersilap cara. Rancangan tidak masuk akal beliau itu bukan sahaja akan mencetuskan kekmarahan umat Islam di seluruh dunia malah turut menjarakkan hubungan dengan umat Islam biasa selain turut merosakkan imej agama Kristian yang mengajar pengikutnya tentang keamanan dan sikap menghormati semua kepercayaan.

Sementara keganasan, sama ada dilakukan oleh puak fanatik keagamaan atau ditaja oleh pihak tertentu, harus dikutuk; ilham untuk membakar Al-Quran - kitab suci yang menjadi rujukan berbilion-bilion umat Islam di seluruh dunia - adalah melampau dan tidak dapat diterima.

DAP merasakan jalan terbaik untuk memperingati ulang tahun serangan 911 ialah "dengan menawarkan perpaduan kepada semua yang menerima kesan atas serangan berkenaan dan berdoa untuk mereka" sambil memastikan ianya tidak berulang lagi.

Saya yakin masyarakat Kristian di samping rakyat berbilang bangsa dan kepercayaan di negara ini akan mengenang mereka yang terkorban semasa tragedi 11September dengan banyakkan berdoa agar perpaduan dan keazaman bersama ke arah keamanan, keadilan dan hormat-menghormati dalam masyarakat yang berkongsi banyak perkara. Kita juga harus mengukuhkan keazaman untuk membanteras pengganas dan aktiviti keganasan yang dilakukan atas nama keagamaan.

Kepada masyarakat Islam di Malaysia dan di mana jua anda berada, kami menawarkan persahabatan yang ikhlas lagi sejati dan bersatu-padu menentang apa jua bentuk serangan atas kepercayaan yang luhur. Semoga bulan-bulan suci iaitu Ramadan dan Syawal akan membawa bersama keamanan, kegembiraan serta rasa mencintai di kalangan kita semua.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional