red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://pgforward.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Ng Wei Aik di Georgetown pada hari Isnin, 1hb Ogos 2011:

Tender Projek JPS: Pemimpin-Pemimpin Barisan Nasional bercabang dua

Pengerusi Pergerakan Wanita MCA Negeri Pulau Pinang Tan Cheng Liang mempersoalkan rasional kenapa projek-projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak diberikan kepada kontraktor Cina sekali lagi terbukti bahawa lidah pemimpin-pemimpin Barisan Nasional bercabang dua.

Pemimpin-pemimpin BN cuba bermain sentimen perkauman dengan UMNO mendakwa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang mendiskriminasikan golongan Melayu atau Bumiputera manakala MCA pula mendakwa kami mendiskriminasikan golongan Cina.

Taktik ini menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin BN kehilangan modal politik, sehingga mereka sanggup mengapi-apikan sentimen perkauman. Namun, rakyat kini sudah bosan dengan helah tipu pemimpin-pemimpin BN yang lidah bercabang dua atau cakap tak serupa bikin.

Sejak Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kita telah mengumumkan dasar bahawa tender projek-projek Kerajaan Negeri yang tidak melebihi RM200,000 akan terbuka kepada Kontraktor Kelas F melalui tender terbuka, di mana kesemuanya Kontraktor Kelas F adalah terdiri daripada kontraktor-kontraktor Bumiputera.

Manakala bagi projek-projek yang nilainya melebihi RM200,000, tawaran akan dilakukan melalui tender terbuka kepada semua warganegara Malaysia, termasuk Melayu, Cina dan India. Dasar tersebut disambut baik oleh golongan Bumiputera, termasuk MCA yang tidak pernah menyuarakan sebarang bantahan pada masa tersebut.

Namun demikian, Tan Cheng Liang kini pula mempersoalkan kerelevanan 243 buah projek JPS ditawarkan kepada kontraktor-kontraktor Kelas F, seperti yang diumumkan oleh Y.A.B. Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang baru-baru ini walaupun nilai projek-projek tersebut kurang daripada RM200,000. Adakah Tan Cheng Liang bercadang supaya Kontraktor Kelas F dimansuhkan?

Jikalau MCA berhasrat untuk berbuat demikian, beliau seharusnya mengemukakan cadangan tersebut melalui Presiden MCA atau Menteri-Menteri MCA yang berada dalam Kabinet dan bukannya melemparkan kritikan yang tidak berasas terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang melaksanakan tender terbuka serta menjaga kepentingan kontraktor-kontraktor Kelas F yang kurang kemampuan mereka dari segi modal berbayar.

Adakah Tan Cheng Liang sanggup membelakangkan hasrat pemimpin-pemimpin UMNO dalam tuntutannya untuk memansuhkan kontraktor-kontraktor kelas F demi membela kepentingan kontraktor-kontraktor bukan Bumiputera. Jikalau MCA tidak berani untuk berbuat demikian, maka beliau tidak seharusnya melemparkan tuduhan-tuduhan yang bukan-bukan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Tan Cheng Liang haruslah memahami dasar-dasar yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum membuat sebarang kritikan terhadap kita. Jikalau tidak, janganlah beliau harap sangat dirinya dapat dipilih semula sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya yang akan datang. Rakyat akan terus memberi sokongan yang padu terhadap Kerajaan Negeri yang berjiwakan rakyat serta bertindak adil dan telus dalam melaksanakan tender secara terbuka dan bukannya MCA atau UMNO yang ketagih dalam memainkan sentimen perkauman sahaja.


Ng wei Aik, Setiausaha DAP Negeri Pulau Pinang & ADUN Kawasan Komtar

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional