red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://teresakok.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 12hb Ogos 2011:

Hishammuddin buta hati dan tidak dapat membezakan di antara BERSIH 2.0 berbanding BAKAR atau SAMUN

Kenyataan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein bahawa rakyat Malaysia harus bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 tidak menjurus ke situasi rusuhan di United Kingdom (UK) adalah tidak munasabah dan menunjukkan bahawa beliau tidak dapat membezakan di antara perhimpunan BERSIH 2.0 yang bermatlamat murni mencapai pilihanraya bersih dan adil berbanding rusuhan BAKAR dan SAMUN yang berlaku di UK. (Sumber: Hisham: Be thankful Bersih not like London riots http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/hisham-be-thankful-bersih-not-like-london-riots/ )

Perhimpunan Bersih 2.0 yang berlaku di Kuala Lumpur (KL) langsung tidak boleh disamakan dengan rusuhan di UK.

Di UK, rusuhan telah berlaku secara rambang tanpa sebarang agenda yang jelas atau spesifik melainkan menghasilkan suatu keadaan yang kacau-bilau.

Di KL, perhimpunan BERSIH 2.0 mempunyai matlamat yang jelas dan telah dianjurkan secara terancang. Agenda, tarikh dan waktu bersurai telah dinyatakan secara terus-terang buat pengetahuan pihak kerajaan, PDRM, media dan orang awam dari awal-awal lagi. Penganjur BERSIH 2.0 telah menegaskan bahawa perhimpunan mereka adalah perhimpunan yang aman dari awal-awal lagi.

Di UK, beratus-ratusan perniagaan dan orang awam telah disamun oleh perusuh. Kehilangan harta benda dianggarkan bernilai berjuta-juta Sterling Pound.

Di KL, tidak ada satu pun laporan kedai disamun oleh penyokong BERSIH 2.0. Sebaliknya, kedai yang buka pada hari itu seperti kedai makan minum mencapai perniagaan yang menguntungkan kerana kehadiran beribuan penyokong BERSIH 2.0 di KL.

Di UK, berpuluh-puluh kereta dan bangunan telah dibakar dan dirosakkan oleh perusuh menyebabkan keadaan berasap dan membahayakan keselamatan.

Di KL, asap yang wujud berpunca daripada tembakan gas pemedih api oleh pihak Unit Simpanan Persekutuan (Federal Reserve Unit atau FRU) ke atas penyokong BERSIH 2.0 yang berhimpun secara aman. Gas pemedih mata dan meriam air juga ditembak ke kawasan Hospital Tung Shin di mana penyokong BERSIH 2.0 cuba berlindung.

Di UK, perusuh memegang senjata seperti pisau, batu dan "molotov cocktail".

Di KL, penyokong BERSIH 2.0 tidak bersenjata tetapi sekadar memakai t-shirt kuning yang diharamkan oleh Hishammuddin sendiri. Sejak bila t-shirt atau pun warna kuning dapat menggugat keselamatan dalam negeri?

Di UK, perusuh secara aktifnya cuba menyerang dan mencederakan polis.

Di KL, penyokong BERSIH 2.0 mengelakkan pertembungan dengan PDRM dan FRU. Tindak balas para peserta BERSIH 2.0 bersifat pacifist dan tidak agresif.

Saya ingin menggesa Hishammuddin supaya membuka hati beliau dan mengambil iktibar daripada bagaimana kerajaan dan pasukan polis United Kingdom mengawal keadaaan rusuhan yang sebenar.

Di UK, pihak polis hanya menahan 1,000 orang walaupun rusuhan telah berlanjutan selama lima hari.

Di KL, pihak polis telah menahan lebih daripada 1,600 orang dalam tempoh satu hari sahaja hanya kerana mereka cuba berhimpun di pusat bandar secara aman.

Saya berasa kesal Hishammuddin masih buta hati dan tidak insaf walaupun beratus-ratusan rakaman video membuktikan PDRM dan FRU telah menggunakan kekerasan yang keterlaluan telah dimuatnaikkan ke atas Internet untuk tontonan orang ramai. Beliau masih memekakkan telinganya terhadap kutukan keras oleh warga Malaysia dan komuniti antarabangsa dan masih menyokong tindakan PDRM dan FRU.

Sehingga hari ini, sebulan telahpun berlalu sejak perhimpunan BERSIH 2.0 diadakan. Hishammuddin dan PDRM masih gagal membentangkan laporan keganasan PDRM dan FRU kepada orang ramai. Apakah ini menunjukkan ketidakcekapan dan kelalaian Kementerian Dalam Negeri dan PDRM dari segi siasatan terhadap anggotan PDRM sendiri?


* Teresa Kok Suh Sim, Setiausaha Organisasi DAP & Ahli Parlimen Kawasan Seputeh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional