red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://lokesiewfook.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Loke Siew Fook di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 16hb Ogos 2011:

DAPSY mengalu-alukan pengumuman PM untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk mengkaji reformasi sistem pilihanraya

Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen (Parliamentary Select Committee) untuk mengkaji reformasi sistem pilihanraya sebelum PRU ke 13. Perkembangan tersebut membuktikan akhirnya pentadbiran Najib terpaksa tunduk kepada permintaan rakyat yang dijana melalui perarakan Bersih 2.0 pada 9 Julai lepas. Ini merupakan kemenangan awal hasil daripada kebangkitan rakyat menuntut sistem pilihanraya yang bersih dan adil.

Namun, DAPSY mendesak Datuk Seri Najib memberikan komitmen penuh untuk melaksanakan kata-kata beliau. Untuk merealisasikan agenda perubahan tersebut, beberapa langkah segera perlu diambil oleh pentadbiran Najib seperti berikut:

  1. Memanggil satu sidang khas Dewan Rakyat sebelum Hari Raya Aidilfitri untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen tersebut. Tanpa satu sidang khas, Parlimen terpaksa tunggu sehingga 3 Oktober untuk melaksanakan penubuhan Jawatankuasa tersebut.

  2. 8 tuntutan asal Bersih 2.0 dijadikan sebagai asas "terma-terma rujukan" atau "terms of reference" kepada penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen tersebut.

  3. Memberikan tempoh masa selama 3 bulan kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen tersebut untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dan mengumpul pandangan awam dari seluruh lapisan masyarakat. Laporan penuh perlu dibentang dan dibahaskan di Parlimen pada akhir tempoh tersebut.

  4. Semua cadangan dari Jawatankuasa Pilihan Parlimen tersebut yang dipersetujui bersama secara konsensus dan 8 tuntutan asal Bersih 2.0 MESTI dilaksanakan dalam PRU ke 13.

  5. Datuk Seri Najib perlu memberikan perjanjian secara terbuka bahawa beliau tidak akan membubarkan Parlimen selagi semua agenda perubahan yang dituntut untuk memastikan sistem pilihanraya yang bersih dan adil belum dilaksanakan.


* Loke Siew Fook, Ketua Pemuda Sosialis DAP & Ahli Parlimen Rasah

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional