red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://speakforperak.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Batu Gajah pada hari Sabtu, 17hb Disember 2011:

Interlok dibuang, satu kejayaan rakyat

Menurut Timbalan Presiden MIC yang juga merupakan Menteri Sumber Manusia, novel Interlok yang kontroversial akan ditarik keluar daripada sukatan pelajaran pada tahun hadapan. Novel perkauman ini telah menimbulkan suasana hangat sejak ia dimasukkan sebagai teks sastera Melayu Sijil Pelajaran Malaysia. Ramai pemimpin-pemimpin dan rakyat jelata dari semua kaum menimbulkan rasa tidak puas hati mengenai buku novel ini yang mengkutuk dan menghina semua kaum di Malaysia. Novel ini tidak sejajar dengan dasar kerajaan untuk mewujudkan perpaduan kaum di negara ini. Malah, perkara-perkara yang disentuh dalam buku ini boleh mencetuskan perpecahan kaum dan perasaan marah serta benci-membenci antara satu sama lain.

Isu novel ini pernah dibahaskan dalam Dewan Rakyat oleh Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat. Walau bagaimanapun tentangan hebat diberikan oleh wakil-wakil Barisan Nasional untuk mempertahankan novel ini. Pelbagai forum dan perbincangan juga telah diadakan di luar Parlimen untuk menuntut supaya Kementerian Pelajaran menggugurkan novel Interlok ini daripada sukatan pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia. Tetapi, pihak kerajaan tidak mahu tunduk kepada desakan rakyat terutamanya daripada pemimpin-pemimpin kaum India di negara ini.

Selepas itu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat keputusan untuk mengubahsuai ungkapan-ungkapan sensitif dalam novel itu. Kerajaan tidak berhasrat untuk menggugurkan buku novel interlok walaupun pelbagai pihak tidak bersetuju sekadar mengubah ungkapan-ungkapan yang sensitif. Buku itu bagaikan 'cicak yang jatuh dalam gulai'. Bolehkah kita makan gulai itu setelah cicak dibuang? Gulai itu tetap beracun.

Kini, kerajaan telah mengumumkan bahawa buku Interlok akan dibuang daripada sukatan pelajaran pada tahu hadapan. Ini adalah satu tindakan yang bijak dan seharusnya telah dilaksanakan lebih awal lagi. Kerajaan tidak menghormati sensitiviti kaum dalam konteks 1Malaysia. Oleh kerana, desakan dan bantahan yang berterusan oleh pelbagai pihak maka kerajaan terpaksa tunduk kepada kehendak rakyat. Ini merupakan satu lagi kejayaan rakyat mententang ketidakadilan yang berbau perkauman.

Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhiddin Yassin berdegil tidak akan gugurkan buku novel ini dalam apa jua keadaan sekalipun. Beliau berkeras untuk mempertahankan novel ini dalam beberapa ucapan dan komen yang dibuat oleh beliau. Tetapi tekanan dan desakan oleh pemimpin-pemimpin India yang bertulang belakang dengan kerjasama media-media Tamil serta sokongan dan dokongan daripada orang ramai telah memaksa kerajaan untuk mengubah pendirian. Menurut Dato' Dr Subramaniam, Timbalan Perdana Menteri sudah bersetuju untuk menggugurkan novel perkauman ini. Walau bagaimanpun, pengumuman itu masih belum dibuat oleh Menteri Pelajaran itu sendiri. Walau bagaimanapun, tahniah dan syabas diucapkan kepada pemimpin-pemimpin seperti Dato Haji Thasleem yang tidak pernah leka dan putus asa dalam memperjuangkan isu novel interlok ini.

Kerajaan Barisan Nasional risau bahawa novel Interlok ini akan menjadi isu hangat dalam kempen pilihanraya akan datang. Dalam ceramah-ceramah Pakatan Rakyat sering kali isu Interlok dipanaskan untuk memberi tekanan kepada kerajaan. Akhirnya kerajaan terpaksa menggugurkan novel Interlok ini semata-mata untuk menjaga hati masyarakat India. Walau apa pun niat kerajaan, ini merupakan satu kejayaan kepada pihak rakyat secara keseluruhannya.


* V. Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & ADUN kawasan Tronoh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional