red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Ucapan pembukaan oleh Lim Guan Eng dalam Kongres DAP Wanita Pulau Pinang pertama di Red Rock Hotel, Pulau Pinang pada hari Ahad, 4hb Disember 2011: 

Bersihkan Malaysia demi menghalang BN menang balik Pulau Pinang 

Pertama sekali, tahniah diucapkan kepada Wanita DAP Pulau Pinang kerana berjaya menganjurkan Kongres yang bersejarah ini. Kongres ini bukan saja merupakan kongres Wanita DAP yang pertama di Pulau Pinang, malah merupakan kongres Wanita DAP yang julung kali dalam sejarah Parti kita. Sekali lagi Pulau Pinang telah menonjolkan semangat "Penang Memimpin" dalam mengorak langkah memperkukuhkan jentera Parti melalui pengupayaan sayap Wanita. Syabas kepada Ketua Wanita DAP Kebangsaan Sdri Chong Eng dan ahli EXCO Pulau Pinang Sdri Lydia Ong.

Saudari yang saya hormati sekalian,

Pada hari ini, negara dan negeri kita berada di ambang perubahan. Di satu pihak kita sedang menghadapi krisis moral di peringkat Kerajaan Persekutuan yang bukan sahaja diselubungi gejala rasuah berleluasa, malah dicemari dengan agenda serta retorik ketuanan dan perkauman. Pada hari ini, negara terus meruncing kerana pentadbiran yang tidak telus oleh UMNO-Barisan Nasional. Kepimpinan yang lemah oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak menyebabkan agenda transformasi yang dilaung-laungkan oleh Kerajaan Persekutuan gagal sama sekali. Laporan Indeks Persepsi Rasuah terbaru menunjukkan Malaysia merundum lagi, kali ini di tangga ke-60 daripada tangga ke-56 tahun lepas. Ini merupakan prestasi paling teruk dalam tempoh sepuluh tahun.

Di satu pihak lagi, DAP dan Pakatan Rakyat menawarkan satu harapan baru kepada rakyat Malaysia, bahawanya negara kita tidak perlu menuju ke arah kemerosotan seperti masa kini. Kita di Pulau Pinang telah membuktikan bahawa, Kerajaan yang cekap, amanah dan telus mampu membela kebajikan rakyat dan bukan setakat itu, malah mampu memacu ekonomi ke paras yang lebih tinggi. Dalam aspek ini, kita bukan bercakap kosong semata-mata; buktinya ialah 10 pencapaian no.1 oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada 2010:

  1. Pulau Pinang merupakan negeri yang meraih perlaburan yang terbesar pada 2010, RM12.2 billion, iaitu yang paling tinggi dalam sejarah negeri Ini.

  2. Pulau Pinang dipuji sebagai negeri yang terbaik dalam pengurusan kewangan oleh Laporan Ketua Audit Negara dengan lebihan bajRM1.13 bilion.

  3. Pengurangan hutang yang paling besar di antara semua negeri sebanyak 95% atau RM600 juta daripada RM630 juta pada 8 Mac 2008 kepada RM30 juta pada akhir Oktober 2011.

  4. Pulau Pinang telah berjaya mengurangkan kadar jenayah sebanyak 27% iaitu penurunan yang paling tinggi di Malaysia.

  5. Pulau Pinang merupakan negeri pertama dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan kempen hijau, termasuk menjadi negeri pertama melarang penggunaan beg plastik yang mencemar alam.

  6. Negeri tunggal yang dipuji oleh Transparency International atas usaha lawan rasuah dengan memperkenalkan tender terbuka.

  7. Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang membasmi miskin tegar dan membolehkan setiap keluarga memperolehi sekurang-kurangnya RM600 sebulan dan ingin menjadi negeri pertama membasmi kemiskinan di Malaysia menjelang 2015.

  8. Pulau Pinang merupakan negeri pertama melaksanakan dasar pro kebajikan rakyat dengan memberi sumbangan RM 100 setiap tahun kepada warga mas, ibu tunggal, OKU, pelajar Darjah 1 dan 4 serta Tingkatan 1 dan 4, serta bayaran one-off sebanyak RM200 kepada bayi kelahiran baru, RM1,000 kepada pelajar IPTA dan RM1000 kepada waris-waris.

  9. Pulau Pinang mencatat peningkatan bilangan penumpang udara yang tertinggi pada tahun 2010.

  10. Pulau Pinang mennyumbang lebih 60% daripada penerimaan pelancongan perubatan di Malaysia.

Saudari yang saya hormati sekalian,

Sebaliknya, bila BN bagi wang mereka tidak bagi setiap tahun macam PR. Lagipun PR bayar daripada lebihan bajet bukan macam bajet BN yang berdefisit sudah 15 tahun. Itulah sebabnya Kerajaan Persekutuan BN kena pinjam dan hutang telahpun naik sejak akhir 2007 sebanyak 71% daripada RM266 bilion kepada RM 456 bilion akhir tahun 2011.

Bandingkan pentadbiran bersih PR dengan BN yang dikritik oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 kerana lebih belanja RM3.7 bilion dan juga skendal RM250 juta "lembu dan kondo" yang melibatkan keluarga seorang Menteri Wanita. Demi menutupkan kelemahan penyelewenban kewangan dalam BN, UMNO menggunakan senjata terakhir iaitu memainkan isu perkauman dan agama terhadap DAP, penganut Kristian, masyarakat Cina dan pengundi DAP.

Itulah sebabnya kita mesti Bersihkan Malaysia demi menghalang BN menang balik Pulau Pinang dan majoriti 2/3 pada PRU-13, di mana rakyat akan dipimpin oleh puak rasis yang anggap bukan Melayu warganegara kelas ketiga dan Melayu mudah ditipu supaya rasuah boleh bermaharajalela.

Saudari-saudari yang saya hormati

Ahli Parlimen UMNO Yang Hina Wanita Boleh Jadi Hero Kerana Berani Minta Menteri Wanita Turun?

Walaupun pada awalnya DAP dan Pakatan Rakyat dilihat sebagai tidak berpengalaman untuk mentadbir kerajaan, namun kejayaan kita di Pulau Pinang, serta di negeri Kedah, Selangor dan Kelantan telah menunjukkan bahawa, kita tidak berpengalaman tentang rasuah dan kronisme yang dibudayakan dalam parti pemerintah di peringkat kerajaan pusat.

Dalam aspek ini, wanita memainkan peranan penting untuk menggerakkan perubahan untuk Bersihkan Malaysia. Bagai seorang ibu kepada anaknya, wanita mampu memberikan harapan kepada generasi muda negara bahawa masa depan akan lebih baik kerana kita semua sanggup berusaha untuk menjamin kesejahteraan mereka.

Lihatlah, sungguhpun kaum wanita lebih bermoral dan beretika serta jauhi diri daripada rasuah dan penyelewengan bila masuk UMNO dan BN jadi lain pula. Sampai seorang ahli Parlimen UMNO Bung Mokhtar yang suka menghina kaum wanita tidak boleh memandu dan yang lagi kesat dan lucah sehingga tidak senonoh untuk disebut di sini boleh menjadi hero kerana berani minta Menteri Wanita itu letak jawatan.

Di Pulau Pinang, pemimpin wanita diberi peluang untuk berdiri sama tegak dengan pemimpin lelaki dalam menerajui tampuk pentadbiran negeri. Kita amat bangga kerana daripada daripada 148 Yang Dipertua dan Datuk Bandar di Malaysia, hanya terdapat 4 orang wanita dan daripada 4 ini, dua adalah di Pulau Pinang iaitu Yang Dipertua MPPP dan MPSP.

Kita juga mempunyai Pegawai Daerah wanita yang pertama di Semenanjung Malaysia, dan wanita-wanita berkaliber sedang menjawat jawatan paling tinggi dalam badan-badan kerajaan negeri termasuk George Town World Heritage Incorporation, Penang Global Tourism dan InvestPenang.

Kita sedar bahawa wanita mampu melahirkan kecemerlangan justeru, kerajaan Pakatan Rakyat berani untuk meletakkan wanita di kedudukan kepimpinan yang paling tinggi. Di samping itu, skim mikrokredit dan juga penubuhan sebuah syarikat dengan peruntukan RM1.5 juta setahun untuk mengusahakan hak saksama jantina, membuktikan rekod pentadbiran PR yang berani martabatkan wanita di Pulau Pinang.

Saudari yang saya hormati,

Perjuangan Parti adalah milik kita semua. Justeru, saya berasa amat bangga kerana saudari-saudari saya pada hari ini telah bangkit mencipta sejarah, melaksanakan kongres buat pertama kalinya. Ini menunjukkan sayap Wanita dalam DAP sudah berdikari dan mampu menentukan halatuju sendiri.

Ini juga bermakna Parti kita akan menjadi lebih kuat kerana sayap Wanita sudah menjadi lebih kuat. Kejayaan saudari pada hari ini, sudah tentu akan menjadi inspirasi kepada Wanita DAP negeri-negeri lain, dan seterusnya menyemarakkan api perjuangan ini ke seluruh Malaysia.

Kita berharap pada masa ini tahun hadapan, Wanita DAP di negeri-negeri lain di Malaysia juga akan berkongres. Pada masa itu, kita akan melihat satu kebangkitan kaum wanita yang kuasanya berupaya mengubah masa depan negara kita ke arah yang lebih baik.

Sekian, terima kasih dan selamat bermesyuarat!


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional