red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Khamis, 8hb Disember 2011: 

Jemputan Datuk Seri Zahid Hamidi tidak dapat menyembunyikan hakikat dan juga tidak menjawab soalan-soalan tentang kos pembelian dan kontrak perkhidmatan 

Jemputan Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Haidi kepada saya untuk menyelam dalam kapal selam kelas Scorpene KD Tun Razak 21 bulan selepas saya menerima cabarannya tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa kapal selam itu tidak dapat menyelam semasa penyerahannya kepada TLDM dan juga tidak menjawab soalan-soalan tentang kos pembelian sebanyak RM3.68 bilion dan kontrak perkhidmatan atau "komisyen" sebanyak RM534 juta.

Untuk membuktikan bahawa kapal selam yang dibeli itu berupaya menyelam, Zahid telah mencabar saya dalam sidang Parlimen 17 Mac 2010 untuk menyelam dalam kapal tersebut. Walaupun Zahid meyakinkan saya bahawa kecacatan mekanikal dalam kapal selam pertama negara kita telah pun dibetulkan, saya tetap berkeras meminta agar Kerajaan menukarkan kapal selam itu dengan sebuah lagi yang baru. Walau bagaimanapun, Zahid menolak cadangan saya dan mencabar saya untuk menyelam dalam kapal selam tersebut.

Saya telah menerima cabaran itu dengan serta merta tetapi tidak menyangka bahawa saya terpaksa menunggu 21 bulan untuk merealisasikannya. Adakah pembetulan kecacatan teknikal itu mengambil masa begitu lama? Ini menimbulkan semula soalan-soalan mengenai kos pembelian kapal selam yang begitu mahal serta keraguan tentang kontrak perkhidmatan yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang tidak ada sebarang rekod atau pengalaman dalam penyenggaraan kapal selam.

Kerajaan BN mesti sedar bahawa isu ini melibatkan bukan sahaja wang awam sebanyak RM4.214 bilion, tetapi juga keselamatan para pelayar TLDM. Kerajaan hendaklah memastikan bahawa semua sudut keselamatan dan penyenggaraan dikendalikan oleh sebuah syarikat yang berpengalaman dan mempunyai rekod prestasi yang terbukti.

Saya akan hadir ke LIMA di Langkawi untuk memenuhi cabaran yang dibuat oleh Zahid 21 bulan lalu. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia masih lagi menunggu jawapan kepada soalan-soalan tentang kos pembelian yang tinggi dan penganugerahan kontrak perkhidmatan yang kini juga terlibat dalam kes saman di negara asing.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional