red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://lokesiewfook.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Loke Siew Fook di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 23hb Februari 2011:

DAPSY mengutuk kekejaman Muammar Gaddafi dan Bangsa-Bangsa Bersatu perlu bertindak pantas mengembalikan kedamaian di Libya

Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kekerasan yang melampau yang digunakan oleh pemimpin kejam Libya Muammar Gaddafi ke atas rakyatnya sendiri. Selepas melihat kejayaan rakyat Mesir dan Tunisia menggulingkan pemerintah zalim di negara mereka, kini rakyat Libya pula bangkit menentang pemerintahan zalim Muammar Gaddafi yang telah menjangkaui 41 tahun. Pemerintah yang korup dan zalim tentunya akan ditentang oleh rakyatnya sendiri walau dalam apa keadaan sekali pun.

Tindakan menyerang rakyat sendiri dengan menggunakan helikopter dan jet pejuang bukan sahaja zalim malah telah sampai ke tahap tidak berperikemanusiaan. Tindakan tersebut merupakan sesuatu yang terlampau dan perlu dikutuk oleh seluruh masyarakat antarabangsa. Dunia tidak boleh sama sekali menghalalkan seorang pemerintah yang menggunakan kekerasan untuk terus berkuasa ke atas rakyatnya.

DAPSY menggesa Kerajaan Malaysia mengutuk Libya dengan sekeras-kerasnya dan mengambil tindakan sewajarnya mendesak Bangsa-Bangsa Bersatu bertindak untuk mengembalikan kedamaian di Libya. Kelewatan tindakan oleh masyarakat antarabangsa akan membawa padah yang lebih buruk kepada rakyat Libya sekiranya perang sivil tercetus dengan kedegilan Muammar Gaddafi yang enggan berundur dari tampuk pemerintahan.

DAPSY ingin melahirkan rasa simpati, sokongan dan solidariti bersama rakyat Libya yang berani bangkit menentang kezaliman dan menuntut kebebasan untuk mengembalikan hak demokrasi kepada masyarakatnya. DAPSY yakin kemenangan akan berpihak kepada kebenaran dan kebebasan. Semoga kedamaian dan keamanan dapat dikembalikan di Libya secepat mungkin.


* Loke Siew Fook, Ketua Pemuda Sosialis DAP & Ahli Parlimen Rasah

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional