red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Sabtu, 26hb Februari 2011: 

Tahniah kepada tiga pegawai kerajaan negeri yang dinaikkan pangkat 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan tahniah kepada tiga pegawai kerajaan negeri yang dinaikkan pangkat iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Zainal Rahim bin Seman sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Pegawai Kewangan Negeri Dato Farizan bin Darus sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dan YDP Majlis Perbandaran Seberang Perai MPSP Tn Haji Moktar Jait sebagai Pegawai Kewangan Negeri. Sungguhpun kerajaan negeri Pulau Pinang keberatan untuk melepaskan Dato Zainal tetapi beliau lebih diperlukan untuk mencurah bakti dalam perkhidmatan awam peringkat kebangsaan.

Pengumuman kenaikan pangkat ketiga-tiga pegawai kanan semalam oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hasan semalam menunjukkan prestasi baik dalam perkhidmatan mereka. Ia juga memperakui kejayaan mereka dalam menjalankan urustadbir Cekap Akauntabel dan Telus atau CAT sehingga Pulau Pinang dipuji oleh Ketua Audit Negara kerana lebihan Bajet yang paling besar dalam sejarah Pulau Pinang sebanyak RM88 juta pada 2008 dan RM77 juta pada 2009. Kerajaan negeri Pulau Pinang terkenal sebagai pentadbiran bersih sehingga menjadi negeri tunggal dalam sejarah Malaysia yang dipuji oleh badan antarabangsa terunggul anti-rasuah Transparency International.

MPSP juga melihat transformasi daripada keadaan bangkrap bila RM230 juta dibelanjakan dengan membazir atau keadaan ragu-ragu dalam tempoh masa 7 tahun. Keadaan defisit dalam bajet MPSP hanya dapat diberhentikan pada tahun 2008 dan kini dalam keadaan pulih dengan lebihan surplus setiap tahun 2008,2009 dan 2010.

Pulau Pinang kini dilihat lagi bersih, hijau dan selamat. Kadar jenayah di Pulau Pinang turun sebanyak 27% pada 2010, iaitu penurunan yang paling besar dalam negara.

Kenaikan pangkat ini membuktikan bahawa pegawai kerajaan negeri Pulau Pinang memang mempunyai kewibawaan dan adalah satu pengiktirafan prestasi baik yang boleh dicapai. Hanya dengan pentadbiran awam yang bertaraf antarabangsa barulah negeri Pulau Pinang boleh menjayakan tranformasi menjadi negeri bertaraf antarabangsa yang pintar.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional