red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://lokesiewfook.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Loke Siew Fook di Seremban pada hari Jumaat, 29hb Julai 2011:

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan tidak telus dalam transaksi penjualan tanah di Sendayan kepada 1MDB untuk pangkalan baru TUDM

Dalam satu majlis penyerahan cek 2 hari lepas di Seremban, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan mengatakan bahawa Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Incorporated (MBI) berjaya membayar balik pinjaman RM250 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dalam tempoh 5 tahun.

Beliau berasa begitu bangga dan mendakwa kononnya ini merupakan manifestasi kecekapan pengurusan kewangan pentadbirannya. Pinjaman tersebut telah dibuat pada tahun 2006 oleh MBI untuk menyelesaikan isu tanah Felda Sendayan yang melibatkan lebih 100 orang peneroka.

Keupayaan Kerajaan Negeri membayar semula pinjaman tersebut tidak ada kena-mengena dengan kecekapan pengurusan kewangan. Ini lebih merupakan kerana sebahagian tanah tersebut telah dijual kepada 1Malaysia Development Berhad (IMDB) untuk tujuan projek pembinaan pangkalan baru TUDM untuk menggantikan pangkalan TUDM di Sungai Besi yang telah diserahkan kepada IMDB untuk pembangunan komersial.

Isu yang saya ingin persoalkan di sini ialah ketidaktelusan pihak Kerajaan Negeri khususnya Menter Besar Negeri Sembilan dalam transaksi penjualan tapak tanah tersebut yang dimiliki oleh MBI kepada pihak IMDB. Berapakah harga jualan keseluruhan tanah tersebut dan nilai jualan setiap kaki persegi? Apakah terma-terma dalam perjanjian jual-beli tersebut? Apakah penjualan tanah itu dijalankan secara tender terbuka atau rundingan terus?

Semua persoalan ini yang melibatkan kepentingan awam tidak diberikan apa-apa penjelasan oleh pihak Kerajaan Negeri. Mengapakah transaksi tersebut dijalankan dengan begitu sulit sekali? Apakah ada perkara-perkara yang ingin disembunyikan daripada pengetahuan umum oleh pihak-pihak tertentu?

Apa yang lebih memeranjatkan ialah Speaker DUN Negeri Sembilan telah menolak soalan saya berhubung dengan isu tersebut dalam Persidangan DUN pada 8 Ogos depan. Saya telah mengemukakan satu soalan lisan secara khusus mengenai isu tersebut yang berbunyi:

Mengikut laporan media pada 16 Jun 2011, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menandatangani Perjanjian Jual-Beli (Sale and Purchase Agreement) dengan Negeri Sembilan Menteri Besar Incorporated untuk pembelian 303.5ha tanah di Sendayan untuk menggantikan pangkalan udara TUDM di Sungai Besi.

a) Berapakah nilai penjualan tapak tanah tersebut kepada IMDB?

b) Apakah butir-butir terperinci dan terma-terma yang terkandung dalam perjanjian jual beli tersebut?

Soalan tersebut telah ditolak oleh Speaker DUN Negeri Sembilan melalui sepucuk surat pemberitahu kepada saya yang bertarikh 20 Julai 2011 tanpa memberikan apa-apa sebab.

Penolakan soalan tersebut secara sewenang-wenangnya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali dan tidak mematuhi prinsip ketelusan dan akauntabiliti. Ini jelas menunjukkan pentadbiran dibawah Barisan Nasional langsung tidak mengamalkan prinsip ketelusan dalam isu-isu kepentingan awam.

Saya mendesak Datuk Seri Mohamad Hassan supaya segera menjawab persoalan-persoalan berhubung penjualan tanah di Sendayan kepada pihak 1MDB secara terbuka. Kegagalan beliau untuk memberikan penjelasan terbuka hanya akan menimbulkan keraguan sama ada transaksi tersebut diselubungi dengan unsur rasuah.


* Loke Siew Fook, Ketua Pemuda Sosialis DAP & Ahli Parlimen Rasah

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional