red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Rabu, 1hb Jun 2011: 

Perjanjian bersejarah berkaitan Penstrukturan Semula Air di Pulau Pinang di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang dalam menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional demi kepentingan nasional dan manfaat kepada rakyat 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kementerian Kewangan telah mencapai persetujuan di mana Kerajaan Negeri akan bersetuju untuk memindahkan aset teras Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebagai pertukaran penyelesaian penstrukturan semula baki pinjaman Persekutuan yang dimiliki oleh Pulau Pinang.

Kementerian Kewangan mewakili Kerajaan Persekutuan dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), salah sebuah syarikat di bawah Perbadanan Kementerian Kewangan. PAAB akan memikul tanggungjawab untuk projek bekalan air di bawah 'National Water Services Industry Restructuring Initiative'.

Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Water Services Industry Act 2006-WSIA) yang berkuatkuasa pada 2007 dan telah bersetuju bahawa Kerajaan Negeri kini akan mengambil alih bidang kuasa pembekalan air. Objektif utama WSIA adalah:

  • Resolusi kepada pinjaman air Kerajaan Persekutuan

  • Penyediaan air sebagai hak asasi

  • Kerajaan Negeri akan mempertahankan pemilikan ke atas tanah tadahan air

  • Kerajaan Negeri akan mempertahankan hak ke atas bekalan air mentah

Di bawah WSIA, semua syarikat bekalan air akan dikawal selia dan dilesenkan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). SPAN bertanggungjawab untuk menetapkan serta memantau pengoperasian syarikat-syarikat bekalan air. Penstrukturan semula diperlukan untuk meningkatkan kualiti air dan meringankan bebanan pembiayaan pembangunan infrastruktur air yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri dan syarikat-syarikat konsesi, yang mana kini menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan PAAB. PAAB dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan untuk memudahkan pemindahan serta menyediakan peruntukan kewangan demi pembangunan bekalan air di masa hadapan.

Ketua Menteri, Y.A.B Lim Guan Eng berkata bahawa Kabinet telah meluluskan penstrukturan dan pemindahan latihan berdasarkan terma-terma serta syarat-syarat berikut:

  • Pinjaman Kerajaan Negeri berjumlah RM655.24 juta kepada Kerajaan Persekutuan akan diberikan tanpa faedah dan tanpa batasan pemsempadanan berkaitan aset air terhadap PAAB bagi tempoh 45 tahun. PAAB akan menyewa kembali aset air kepada PBAPP untuk tempoh 45 tahun. PBAPP akan membayar PAAB kadar sewaan tahunan sejumlah RM14.56 juta sehingga tamat tempoh 45 tahun, secara automatik tanah akan dikembalikan kepada negeri.

  • Pembiayaan projek pembesaran Empangan Mengkuang berjumlah RM1.2 bilion akan diberikan sebagai geran oleh Kerajaan Persekutuan;

  • Segala semakan semula atau kenaikan kadar tarif air mestilah mendapat persetujuan dan kelulusan Kerajaan Negeri.

Hal ini adalah peningkatan dari terma-terma sebelumnya sebagai pinjaman negeri berjumlah RM655.24 juta yang seharusnya dikenakan kadar faedah sebanyak 3%. Berbanding kadar faedah 3% yang dikenakan, kini ia akan bebas kadar faedah dan akan dibiayai oleh PBAPP. PAAB juga akan menyediakan peruntukan pada kadar terendah mengikut harga pasaran semasa kepada PBAPP bagi projek baharu dan projek peningkatan infrastruktur bekalan air di Pulau Pinang.

Tambahan pula, sejumlah RM1.2 bilion akan ditukar menjadi geran dan bukannya pinjaman bebas kadar faedah yang akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri. Akhirnya Kerajaan Negeri dapat mengawal kadar tarif air dan bukannya Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kementerian Kewangan dan PAAB akan menandatangani Perjanjian Penstrukturan (Restructuring Agreements) pada 2 Jun 2011 di Putrajaya. Manfaat utama 'National Water Services Industry Restructuring Initiatives' terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah:

  1. Tidak perlu membayar semula RM655.24 juta pinjaman bekalan air kepada Kerajaan Persekutuan, di mana akan dibiayai oleh PBAPP.

  2. Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan diberi peruntukan geran sejumlah RM1.2 bilion untuk projek pembesaran Empangan Mengkuang di Pulau Pinang.

  3. Kerajaan Persekutuan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap projek pengendalian sumber bekalan air.

  4. Meringankan bebanan kewangan untuk pembangunan dan peningkatan penyediaan bekalan air.

  5. Membolehkan PBAPP menfokuskan sepenuhnya terhadap penyediaan bekalan air dirawat dan penyediaan perkhidmatan serta tumpuan terhadap pencapaian operasi yang efisien, peningkatan kualiti air dan lain-lain perkhidmatan.

  6. Membolehkan PBAPP bergerak ke arah pemulihan kos dan kemandirian kewangan untuk jangka masa panjang.

  7. Mempertahankan kawalan terhadap penentuan kadar tarif air Pulau Pinang oleh warga Pulau Pinang sendiri.

Geran yang bernilai RM1.2 bilion untuk projek pembesaran Empangan Mengkuang akan dipercepatkan pemindahannya. Pada masa ini, kapasiti Empangan Mengkuang adalah 23 juta meter padu dan akan diperluaskan serta ditingkatkan kapasitinya kepada 78 juta meter padu serta mampu menampung keperluan air semasa dalam negeri sehingga tahun 2020.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memerlukan modal yang besar untuk sistem bekalan air dan penstrukturan semula perlu dilaksanakan bagi memastikan operasi dan pembekalan bekalan air mencukupi. Kami berharap agar inisiatif ini dapat meringankan bebanan kewangan negeri dalam membangunkan sumber bekalan air dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan bebanan untuk meninjau kenaikan kadar tarif air pada masa hadapan. Pulau Pinang bergantung kepada janji Kerajaan Persekutuan bahawa Kerajaan Negeri dan PBAPP tidak perlu bergantung pada peruntukan pinjaman dari mana-mana institusi kewangan pada masa hadapan.

Kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memeterai perjanjian bersejarah berkaitan penstrukturan semula bekalan air dengan Kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional demi kepentingan nasional dan manfaat kepada rakyat.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional