red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Khamis, 2hb Jun 2011: 

MCA telah mengecewakan 86 pelajar cemerlang SPM dan memusnahkan impian meraka dengan memungkiri janji untuk memberikan Biasiswa JPA bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti yang diberikan kepada pelajar cemerlang SPM yang lain 

DAP meluahkan rasa kecewa dengan keputusan Kerajaan Persekutuan BN apabila 86 pelajar cemerlang gagal mendapat tajaan biasiswa luar negara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahun ini, tetapi akan hanya ditempatkan di kolej swasta dan universiti tempatan saahaja. Pada 27 Mei yang lalu, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek telah mengumumkan kepada media bahawa beliau telah menyatakan dalam pertemuan beliau bersama Perdana Menteri bahawa pelajar cemerlang SPM harus diberikan tajaan biasiswa bagi pengajian luar negara, walaupun Putrajaya mendakwa tidak pernah membuat janji seumpama itu.

Kegagalan MCA untuk mengotakan janji mereka bahawa 86 pelajar cemerlang SPM akan diberi tajaan pengajian luar negara JPA sama seperti pelajar cemerlang SPM yang lain, bukan sahaja dilihat tidak adil malah akan memberi impak kepada bakat muda yang berkebolehan. Adakah adil 300 pelajar cemerlang mendapat tajaan pengajian luar negara JPA tetapi bukan 86 pelajar yang juga sama cemerlang?

MCA, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Menteri Gerakan seharusnya tampil memberi penjelasan mengapa mereka tidak berani mempertahankan pemberian biasiswa pengajian luar negara kepada pelajar cemerlang tersebut dalam Kabinet atau menegakkan ketelusan dan akauntabiliti dengan mendedahkan senarai lengkap penerima biasiswa pengajian luar negara berserta keputusan peperiksaan mereka? Jelas bahawa MCA telah mengecewakan 86 pelajar cemerlang SPM dan memusnahkan impian meraka dengan memungkiri janji untuk memberikan biasiswa JPA bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara kepada pelajar cemerlang SPM. MCA juga gagal untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah yang berulang saban tahun ini dan pasti akan berulang lagi pada tahun-tahun yang mendatang.

Ini bukanlah masalah perkauman kerana daripada 86 pelajar cemerlang yang memohon, tiga adalah Bumiputera Melayu, seorang Bumiputera Sarawak, 71 orang Cina dan 11 orang India. Bahayanya, pelajar cemerlang ini yang merasakan mereka tidak dihargai akan lebih cenderung untuk berhijrah apabila tamat pengajian kelak. Bukan sahaja pelajar cemerlang bukan melayu yang akan berhijrah, tetapi juga pelajar cemerlang Melayu akan berbuat demikian.

Dr. Ahmad Zaharuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menyatakan bahawa di Victoria, Australia, terdapat 5,000 orang Melayu, 3/4 daripadanya adalah penduduk tetap atau warganegara Australia. Felo Institut Pengajian Asia, Universiti Melbourne menyatakan bahawa mereka adalah golongan profesional iaitu doktor dan jurutera serta kakitangan universiti tersebut.

Sejak Merdeka lagi, terdapat lebih daripada 2 juta rakyat Malaysia yang berhijrah-menyebabkan Malaysia kehilangan bakat dan mengalami kerugian. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengenal pasti sumber manusia sebagai salah satu sumber utama mentransformasikan warga Malaysia yang terperangkap dalam kelompok berpendapatan sederhana kepada kelompok berpendapatan tinggi. Kegagalan untuk mempertahankan dan menghargai pelajar cemerlang ini akan hanya memberi kesan negatif dan menggagalkan usaha untuk mencapai sasaran Keluaran Negara Kasar (KNK) berjumlah US$15,000 menjelang 2020.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional