red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 12hb Jun 2011: 

Sebuah Suruhanjaya Diraja diperlukan bagi mengkaji kontrak IPP bersama dengan TNB  

DAP menyatakan sokongan penuh kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mencadangkan agar sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kontrak antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Penjana Tenaga Bebas (IPP). Suruhanjaya Diraja ini akan menentukan sejauh mana perjanjian tersebut memberi beban kepada pengguna berikutan kenaikan tarif elektrik dan memperkenalkan langkah- langkah terbaik bagi mengurangkan atau menghindari beban kewangan yang teruk kepada rakyat.

Sehingga penghujung tahun 2010, Petronas telah menanggung RM131.3 bilion subsidi gas kepada kedua- dua sektor non- kuasa ini. Penerima manfaat terbesar sebanyak RM131.3 bilion subsidi gas ini sudah tentulah IPP yang mendapat jaminan pembeliannya melalui Perjanjian Kewajiban Pembelian Kuasa yang ditandatangani dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pada tahun 2009, TNB menerima RM5.4 bilion untuk subsidi gas, IPP menerima RM7.3 bilion dan sektor bukan janakuasa sebanyak RM6.8 bilion. Lazimnya, TNB tidak akan menaikkan tarif elektrik dengan subsidi yang dikira besar itu. Tetapi RM5.4 bilion subsidi yang dinikmati oleh TNB telah diimbangi untuk memaksa pembelian kuasa yang tidak diperlukan sehingga menyebabkan Malaysia menikmati jidaran penggunaan tenaga tertinggi di dunia iaitu sebanyak 52.6% pada tahun 2010.

Peranan Unit Perancang Ekonomi atau EPU dalam hal ini telah menyebabkan Tan Sri Ani Arope melepaskan jawatan beliau menunjukkan protes beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Tenaga, yang turut merujuk EPU sebagai 'Economic Plundering Unit'. Jelas IPP menikmati sepenuhnya kelebihan yang ada dan langsung tidak memberi kesan walau satu sen pun dalam pemotongan subsidi malah boleh mengaut keuntungan yang lebih besar.

Adakah Barisan Nasional (BN) berani untuk memberitahu kepada para nelayan yang enggan ke laut sebagai tanda protes terhadap pemotongan subsidi diesel di mana mereka perlu membayar RM1.80 per liter dan bukannya RM1.25 per liter bagi harga subsidi, dan mengapa para nelayan yang harus menderita dan bukan IPP? Pengguna kini terpaksa membayar harga ikan dan barangan keperluan yang lain dengan harga yang mahal. Tambang pengangkutan juga meningkat sehingga 30%, namun kerajaan mengatakan bahawa kadar inflasi hanya akan meningkat sehingga 0.27%. Semua surirumah yang berbelanja di pasaraya akan memberitahu kepada kita semua bahawa kerajaan BN adalah tidak berguna.

Tidak ada logik atau alasan mengapa kerajaan BN harus menitik beratkan tentang perihal penjimatan tahunan sebanyak RM226.8 juta daripada pengurangan subsidi diesel atau RM116 juta daripada pengurangan subsidi gula atau pun tarif elektrik yang akan menjimatkan lebih kurang RM1 bilion tetapi langsung tidak prihatin dengan subsidi gas yang besar yang diberikan kepada IPP.

Di antara IPP tersebut, YTL Power yang memiliki keuntungan pada tahun 2010 melebihi RM1.6 bilion ke atas nilai pendapatan berjumlah RM13 bilion. Pada tahun 2009, Malakoff memiliki keuntungan RM380 juta ke atas nilai pendapatan RM5.6 bilion. Manakala Powertek pula menikmati nilai pendapatan berjumlah 1.34 bilion dengan keuntungan sebanyak RM450 juta. Adakah IPP masih menikmati keuntungan besar tanpa subsidi gas dan Perjanjian Pembelian Kewajiban Kuasa dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB)?

Itulah sebabnya Suruhanjaya Diraja diperlukan untuk merangka semula semua perjanjian awam dan Perjanjian Pembelian Kuasa di mana kerajaan BN telah menolak daripada mendedahkannya. Suruhanjaya Diraja ini juga diperlukan untuk menentukan kesan inflasi dan meyemak semula adakah benar 0.27% seperti yang didakwa oleh kerajaan BN. Mungkin menteri- menteri BN harus meminta isteri masing- masing untuk mula berbelanja di pasaraya agar dapat melihat sendiri adakah harga barang telah meningkat setakat 0.27%.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional