red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan media oleh DAPSY Negeri Pulau Pinang di Majlis Pelancaran "Kempen Membantah Pembinaan Loji Nuklear" di Sudut Pidato pada hari Sabtu, 26hb Mac 2011 pada pukul 6.30 petang:

Batalkan rancangan pembinaan loji nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik

DAPSY Negeri Pulau Pinang ingin merakamkan pendirian tidak bersetuju kami terhadap rancangan Kerajaan Persekutuan untuk membina loji nuklear di negara kita.

Memandangkan negara Jepun yang memiliki kepakaran dan tahap teknologi yang sangat maju dan progresif kini dihadapi dengan krisis nuklear yang paling serius dalam sejarah dunia sejak bencana Chernobyl 25 tahun lalu, adalah perlu rancangan ini dibatalkan. Perlu diambil perhatian, tahap kawalan teknologi fission nuklear di negara kita adalah terhad berbanding dengan kepakaran Negara Jepun. Lagipun negara-negara maju dan berteknologi tinggi seperti Jerman dan ekonomi kedua besar dunia negara China telahpun membatalkan rancangan membina loji nuclear dalam negara mereka masing-masing. Keselamatan rakyat Malaysia harus diutamakan dan risiko tinggi ini tidak harus diperjudikan.

Pada masa kini, Malaysia mempunyai simpanan tenaga sebanyak 40% dan sebenarnya hanya memerlukan 20% sahaja. Mengapakah Kerajaan Persekutuan masih enggan membatalkan projek loji nuklear selepas krisis nuklear yang berlaku di Jepun? Syarikat apa yang akan dapat komisyen yang berharga berjuta-juta ringgit daripada projek loji nuklear?

Tenaga elektrik yang dijana daripada loji nuklear bukannya murah, masyarakat kita perlu membayar kos tersembunyi (hidden cost ) dalam pembangunan loji nuklear. Kos tersebut meliputi kos memperolehi sumber asli Uranium, kos tambahan dalam menamatkan khidmat, kos pengendalian dan pelupusan sisa radioaktif . Lagipun Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyatakan negara kita sudahpun mempunyai pengalaman buruk dengan nuklear.

Sehubungan dengan itu, kami juga tidak yakin dengan rekod prestasi yang kurang memuaskan oleh sesetengah projek Kerajaan Persekutuan yang dijalankan seperti ada bumbung yang bukan sahaja bocor tetapi juga runtuh. Sekiranya bumbung stadium, sekolah dan terminal bas pun boleh runtuh bagaimana kita boleh yakin tentang keselamatan dan kekukuhan sesuatu loji nuklear yang berisiko tinggi dan bahaya?

Kerajaan Persekutuan haruslah menolak cadangan membina loji nuklear sebagai sumber tenaga alternatif di Malaysia dan melabur untuk menerokai pelbagai sumber tenaga alternatif yang lain.


* DAPSY Negeri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional