red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://wengsan.blogspot.com/ 

 

 

Ucapan Menjunjung Kasih Titah DYMM Sultan Selangor oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada hari Selasa, 29hb Mac 2011:

Ucapan Menjunjung Kasih Titah DYMM Sultan Selangor

Pembangunan kawasan luar bandar

Kerajaan harus mengedarkan DVD percuma kepada penduduk di luar bandar untuk memberitahu program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Kerajaan juga harus memberi lebih banyak peruntukan dan perhatian terhadap pembangunan di luar bandar, termasuk peruntukan pendidikan sebanyak RM16juta setahun kepada SJKC, SJKT dan SAR di seluruh Selangor.

Peruntukan sebanyak RM16juta ini harus disemak semula dari setahun ke setahun. Apa salahnya peruntukan ditambah apabila hasil kerajaan bertambah?

Rakyat selalu meminta kerajaan memberi potongan premium dan cukai tanah. Pandangan saya ialah jikalau rakyat tahu bahawa premium dan cukai yang mereka bayar akan digunakan sebaik-baiknya oleh kerajaan, maka mereka akan dengan sukarelanya membayar cukai premium atau cukai mereka tanpa meminta sebarang potongan.

Ini adalah kerana mereka percaya kepada kerajaan bahawa kerajaan akan belanja secara berhemah.

Rang Undang-undang Enakmen Kebebasan Maklumat

Kerajaan Selangor telah membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) 2010 ke Dewan Yang Mulia ini pada tahun lalu. Sebuah Jawatankuasa Pilihan telah ditubuhkan pada tahun lalu untuk meneliti isi kandungan yang terdapat dalam RUU berkenaan.

Jawatankuasa Pilihan berkenaan dengan bermesyuarat dan mengadakan beberapa sessi pendengaran awam untuk mendapat maklum balas daripada orang ramai, pertubuhan-pertubuhan NGO malahan daripada pegawai-pegawai kerajaan sendiri.

Hasil daripada mesyuarat dan pendengaran awam ini, Jawatankuasa Pilihan telah mengemukakan beberapa cadangan untuk meminda RUU berkenaan dan ianya harus dibentangkan ke Dewan Yang Mulia ini untuk bacaaan yang seterusnya.

Saya telah difahamkan bahawa cadangan pindaan oleh Jawatankuasa Pilihan ini mendapat sambutan positif daripada NGO-NGO yang prihatin terhadap Enakmen FOI ini.

Biarpun begitu, wajah rupa Enakmen FOI ini tidak mungkin serupa dengan apa yang diinginkan oleh para NGO. Sudah pasti terdapat beberapa perkara yang tidak dapat diserap ke dalam Enakmen ini.

Apa yang penting bahawa semangat di belakang Enakmen FOI ini sejajar dengan International Best Practice bahawa ianya memberi kebebasan yang ikhlas kepada orang ramai untuk memperolehi maklumat.

Salah satu cadangan pindaan yang dikemukakan ialah hukuman turut dikenakan kepada pegawai-pegawai yang tidak membekalkan maklumat.

Bank data tanah

Tuanku menyebut tentang pewujudan bank data tanah untuk memudahkan pengurusan di samping merancang pembangunan setara di seluruh Selangor. Saya berpendapat bahawa kita tidak boleh berangan bahawa masalah tanah di Selangor dapat diselesaikan hanya dengan penubuhan bank data tanah ini sahaja. Masih terdapat banyak yang perlu dilakukan.

Pertama sekali, saya ingin mencadangkan supaya satu mesyuarat atau jawatankuasa yang mirip kepada Jawatankuasa Pusat Sehenti (OSC) perlu diwujudkan di peringkat PTD khas untuk menguruskan urusan tanah yang dibawa oleh para wakil rakyat.

Buat waktu sekarang, Mesyuarat Tindakan Daerah yang diadakan sebulan sekali adalah terlalu panjang dan melibatkan banyak jabatan dan agensi kerajaan. Cadangan saya ialah jawatankuasa ini perlu diwujudkan untuk:

  1. Membolehkan wakil rakyat mengikuti isu-isu tanah yang berlaku di kawasannya.

  2. Menangani masalah-masalah premium yang dihadapi oleh rakyat di kawasannya.

  3. Menangani permohonan penukaran status guna tanah atau pemutihan kilang haram di kawasannya.

Malahan banyak lagi peranan yang boleh dimainkan oleh wakil rakyat dalam jawatankuasa ini. Terdapat yang khuatir bahawa wakil rakyat mungkin menyalahgunakan kuasanya untuk mendapat tanah dan ahli keluarganya. Kita tidak harus lupa bahawa kerajaan Pakatan Rakyat sejak dari awal lagi menetapkan bahawa wakil rakyat dengan ahli-ahli keluarganya tidak boleh mendapat walau sebidang tanah pun daripada kerajaan negeri.

Pembaharuan bandar

Pembaharuan bandar yang dimulakan oleh kerajaan perlu disemarakkan lagi. Saya difahamkan bahawa kerajaan bercadang untuk menjalankan pembaharuan bandar di Petaling Jaya dengan membina "PJ Elevated City".

Saya difahamkan bahawa PJ Elevated City ini akan melibatkan pembinaan asrama untuk pekerja-pekerja asing sekitar Kawasan Industri Bebas Sungai Way (Sungai Way FIZ). Saya mengalu-alukan cadangan ini tetapi butiran-butirannya masih belum diumunkan kepada semua.

Masalah-masalah sosial dan pembangunan yang dihadapi Kampung Baru Sungai Way yang menempatkan kira-kira 14,000 pekerja asing dan 200 buah rumah yang telah ditukar syarat guna bangunan kepada asrama merupakan masalah yang semakin meruncing. Sudah sampai masa untuk kerajaan mengambil inisiatif untuk memperbetulkan keadaan di kampung baru ini.

Kerajaan negeri perlu desak pilihanraya kerajaan tempatan

Baru-baru ini , Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah memulakan satu inisiatif yang baik dengan membenarkan dengan bersyarat penggunaan kaki lima untuk meletakkan kerusi dan meja untuk restoran pada masa-masa tertentu.

Kaki lima merupakan satu ciri-ciri yang terdapat di negara-negara jajahan British di Asia Tenggara, khususnya di Malaysia dan Singapura. Di Malaysia ianya dimulakan oleh Sir Frank Swettenham semasa menjadi Residen-Jeneral British di Selangor apabila beliau mendapati keadaan rumah kedai yang dibina di Kuala Lumpur pada masa itu berselerak dan kotor sehingga menyebabkan penyakit. Justeru itu, konsep kaki lima telah dimulakan di mana tempat selebar lima kali perlu disediakan semasa membina rumah kedai dan ianya perlu bebas daripada halangan untuk kemudahan pejalan-pejalan kaki. Oleh itu, adalah wajar peraturan lama ini dinilai dari semasa ke semasa mengikut peredaran zaman.

Cadangan ini merupakan satu lagi inisiatif bagaimana pihak berkuasa tempatan (PBT) mampu melakukan dari segi dasar untuk bertukar lebih responsif dan proaktif terhadap keperluan para peniaga kecil dan sederhana.

Kekurangannya ialah kadang-kala dasar-dasar yang baik ini hanya dilaksanakan di beberapa PBT sahaja. Oleh itu, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya dasar-dasar baik setiap satu PBT itu dikongsi dan dilaksanakan di setiap PBT bagi memastikan kebaikan dasar-dasar ini dinikmati oleh seluruh rakyat Selangor.

Contohnya, pelaksanaan e-submission untuk semua pelan dan dokumen kepada Jawatankuasa Pusat Sehenti atau OSC yang dilaksanakan oleh MPSJ pada permulaaannya, pelaksanaan tempat letak kereta berbilang tingkat oleh MBPJ.

Adalah amat jelas bahawa setiap PBT di Selangor mempunyai kelebihan dan ciri-cirinya yang tersendiri. Oleh itu, saya mencadangkan supaya kerajaan dapat mengadakan satu forum PBT yang melibatkan semua aspek PBT supaya mereka dapat bertukar-tukar idea and berfikir "outside the box". Kerajaan juga boleh menjemput wakil PBT di luar Selangor malahan di luar Malaysia.

Kebaikannya ialah kita boleh menjimatkan wang melawat ke luar negara dan belajar daripada mereka dalam satu forum. Walaupun PBT masih boleh mengadakan lawatan mereka jikalau ianya betul-betul memerlukan dan kewangan PBT mengizinkan, tetapi saya rasa dengan adanya forum ini maka banyak idea dan perkara yang boleh kita melakukan untuk melonjak kedudukan PBT Selangor ke persada dunia.

Saya berasa syukur apabila elaun ahli majlis di Selangor telah diselaras sekali lagi mengikut kawasan kerana ini akan meringankan beban ahli majlis dan mengurangkan kejadian rasuah. Walaupun begitu, pilihanraya ahli majlis tidak boleh dilalaikan sama sekali. Saya sekali lagi menyeru kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk duduk berbincang bagaimana ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Jangan kita biarkan cogan kata "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sebagai kata-kata kosong sahaja sedangkan hak asasi rakyat untuk memilih ahli majlis di tempat mereka juga dicabul. Kerajaan persekutuan perlu memberitahu rakyat, kalau betul-betul mereka mendahulukan rakyat, adakah mereka bersedia untuk melonggarkan undang-undang yang sedia ada dan membenarkan pilihanraya kerajaan tempatan? Adakah kerajaan persekutuan berhasrat untuk memulihkan Akta Pilihanraya Kerajaan Tempatan 1960? Dimanakah keikhlasan kerajaan persekutuan?

Sudah sampai masanya untuk kita berjuang untuk rakyat dan mendesak kerajaan persekutuan bersetuju untuk mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan. Kita tidak boleh duduk diam-diam lagi dalam hal ini sehingga rakyat menganggap kerajaan negeri tidak mengusahakan pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan.

RM2juta untuk penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah bukti kerpihatinan kerajaan Pakatan Rakyat

Saya mengalu-alukan keputusan kerajaan Selangor yang akan memperuntukkan RM2 juta untuk membantu membiayai 50% kos penyelenggaraan rumah pangsa di seluruh Selangor. Kos 50% yang selebihnya akan dibiayai oleh penduduk sendiri yakni melalui kutipan kos penyelenggaraan yang dibayar setiap bulan kepada MC atau JMB.

Harga jualan rumah ini perlu diselaras dari semasa ke semasa mengikut peningkatan kualiti. Bagi tujuan penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah, saya mencadangkan supaya satu caj tambahan ditetapkan terhadap pembeli rumah mengikut keluasan unit rumah yang dibeli bagi tujuan penyelenggaraan bangunan. Caj tambahan ini dijadikan sebagai sebahagian daripada harga jualan dan ditetapkan di dalam perjanjian jual beli. Setelah ianya diterima oleh pemaju, wang ini perlu disimpan di dalam sebuah tabung yang akan diuruskan oleh Kerajaan Negeri.

Dengan itu, pembeli rumah tidak perlu menjelaskan caj penyelenggaraan dan sinking fund setiap bulan kerana wang ini telahpun dibayar oleh pembeli rumah semasa pada awal lagi.

Contohnya, kalau seorang pembeli rumah kos rendah perlu membayar lebih kurang RM80 sebulan untuk kos penyelenggaraan dan sinking fund, maka jumlah yang perlu dibayar ialah RM960 setahun. Kalau ianya dibina atas tanah pajakan sementara 99 tahun atau leasehold, maka jumlah yang dibayar dalam masa 99 tahun ini ialah lebih kurang RM95,000. Kiraan ini tidak mengambil kira inflasi.

Memang kiraan terperinci diperlukan untuk menetapkan jumlah caj tambahan yang perlu dibayar kerana amaun ini mestilah berada pada paras yang adil. Walaupun begitu, kerajaan perlu mengambil inisistif untuk cuba menyelesaikan masalah ini.

Masalah sekarang ialah pihak pengurusan secara purata hanya mampu mengutip lebih kurang 20% daripada caj penyelenggaraan dan sinking fund yang sepatutnya mereka dapat dan ini merupakan sebab utama rumah pangsa kos rendah tidak dapat diselenggara dengan baik.

Masalah ini dapat diatasi dengan cara di atas kerana pihak pengurusan tidak akan menghadapi masalah kekurangan dana pada peringkat permulaan. Satu permulaan yang baik diperlukan untuk memastikan masalah kekurangan penyelenggaraan di rumah pangsa kos rendah bertambah serious sehingga ianya tidak dapat ditangani pada akhirnya.

Satu penambahbaikan yang boleh dijalankan terhadap caj tambahan yang akan dikenakan ialah supaya wang ini dikumpulkan dalam satu tabung yang diuruskan oleh kerajaan negeri dan tabung ini akan melantik kontraktor atau syarikat-syarikat pengurusan yang berkemampuan untuk menjalankan tugas-tugas penyelenggaraan di semua rumah pangsa kos rendah ini. Ini diharapkan dapat mengurangkan kos penyelenggaraan dengan lebih banyak lagi kerana kontraktor akan mempunyai skala ekonomi yang mencukupi.

Dengan ini, kerajaan akan bertanggungjawab untuk menguruskan bangunan-bangunan ini tetapi kerajaan tidak akan menghadapi masalah kekurangan dana kerana wang yang mencukupi telah ada pada peringkat awal, manakala penduduk-penduduk tidak perlu membayar penyelenggaraan dan sinking fund setiap bulan keranan ianya telah dibayar apabila mereka membeli rumah.

Saya berharap kerajaan negeri dapat menggunakan model ini sebagai satu permulaan untuk menjaga kebajikan penduduk-penduduk rumah pangsa kos rendah yang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah.


* Lau Weng San, Setiausaha Organisasi DAP Negeri Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional