red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Ucapan YAB Ketua Menteri di Majlis Penerimaan Jawatan Yang DiPertua dan Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Seberang Perai pada hari Selasa, 15hb Mac 2011: 

Ucapan di Majlis Penerimaan Jawatan Yang DiPertua dan Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Seberang Perai 

Pertama sekali bersyukur kepada tuhan kerana memberi kita semua kesihatan dan juga kekuatan untuk sama-sama menghadiri Majlis Penerimaan Jawatan Yang DiPertua dan Tuan Setiausaha Perbandaran, MPSP di Dewan Kenanga hari ini.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih ditujukan khusus kepada Pengerusi MMK Kerajaan Tempatan dan Lalulintas, YB Tuan Chow Kon Yeow yang menjalankan tugas berat ke atas pihak berkuasa tempatan dan juga kepada pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai yang menjayakan Majlis Penerimaan Jawatan pada pagi ini.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Y.Bhg. Puan Maimunah bt Mohd. Sharif yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri sebagai yang DiPertua MPSP. Beliau adalah merupakan bekas Pengurus Besar, Georgetown World Heritage Incorporated yang diberi kepercayaan penuh untuk menerajui MPSP. Untuk makluman beliau adalah wanita pertama yang dilantik sebagai Yang DiPertua MPSP dan kedua di Negeri Pulau Pinang dan di Semenanjung Malaysia menjawat jawatan tertinggi Pihak Berkuasa Tempatan yang mana mendapat kepercayaan Kerajaan Negeri untuk membuktikan kebolehan untuk menerajui MPSP. Sebagai YDP, Y.Bhg. Puan Maimunah akan mempunyai tanggungjawab besar dalam memberi perkhidmatan dalam pelbagai aspek seperti perbandaran, merancang dan melaksana pembangunan yang seimbang dan memelihara alam sekitar yang berkualiti, merancang dan menyediakan kemudahan infrastruktur dan awam yang berkualiti, perkhidmatan masyarakat yang bertenaga serta persekitaran bersih dan indah. Kerajaan Negeri Pulau Pinang percayai Y.Bhg. Puan Maimunah dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik dan berkesan demi kesejahteraan warga Seberang Perai.

Tahniah juga saya ucapkan juga kepada Tuan Hj. Mokhtar bin Mohd Jait yang telah dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang bagi mengisi tempat Yang Berhormat Dato' Hj Farizan bin Darus yang mana telah dilantik sebagai Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menggantikan tempat Yang Berhormat Dato' Hj Zainal Rahim Bin Seman yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia. Yang Berhormat Tuan Hj Mokhtar bin Mohd Jait selaku Yang DiPertua MPSP terdahulu telah berjaya menaikkan imej MPSP melalui pencapaian yang mana MPSP telah menjadi Johan Anugerah Kualiti Sektor Awam Peringkat Negeri Pulau Pinang Bagi Kategori Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik, Naib Johan Anugerah Kualiti Sektor Awam Peringkat Negeri Pulau Pinang Bagi Kategori Anugerah Perkhidmatan Kaunter Berkualiti dan Naib Johan Anugerah Kualiti Sektor Awam Peringkat Negeri Pulau Pinang Bagi Kategori Anugerah Laman Web Terbaik pada Tahun 2010. Tahniah diucapkan kepada beliau.

Saya dimaklumkan bahawa, pada tahun ini, MPSP telah tersenarai pendek antara 4 agensi kerajaan terbaik Peringkat Kebangsaan yang dinilaikan di dalam Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan dan berdasarkan kepada penilaian "star rating", MPSP juga turut tersenarai pendek daripada 16 Pihak Berkuasa Tempatan yang lain yang telah dinilai bagi memenangi Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan. Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepad beliau dan juga selruh warga kerja MPSP. Beliau juga selaku penggerak kepada Program Transformasi MPSP yang menjadikan MPSP berkeupayaan menjadi sebuah agensi kerajaan yang dapat didefinasikan dan diukur oleh rakyat atau pelanggan. Selain itu, beliau juga yang telah membuat penjenamaan semula MPSP selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kepuasan pelanggan bagi perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan. Beliau telah mengambil langkah yang agresif dengan melancarkan Program Transformasi serta mewujudkan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) dan petunjuk prestasi utama, KPI yang mantap dan efisien. Dengan hasil kerja keras bersistem dan prosedur kerja yang disemak semula beliau bermatlamat supaya MPSP mencapai budaya kerja berprestasi tinggi. Dengan ini MPSP mampu mengatasi masalah-masalah semasa termasuk ketidakpuasan hati pelanggan yang selama ini yang sering diperkatakan.

Di sini, saya turut ucapkan tahniah ke atas perlantikan Tuan Setiausaha Perbandaran, MPSP iaitu Tuan Sr. Hj. Rozali bin Mohamud kerana beliau banyak mendokong kejayaan MPSP melalui perlaksanaan Pelan Strategi, Program Transformasi, menjadi Waki Pengurusan Kualiti MPSP, Pengurus kepada LA21 MPSP dan sebagainya. Beliau banyak berusaha membantu Yang DiPertua MPSP bagi memantapkan lagi pengurusan dan prosedur kerja melalui BPR (Business Process Reengineering). Saya yakin dengan gandingan Yang DiPertua dan Tuan Setiausaha yang baru disamping sokongan daripada Ahli Majlis-Ahli Majlis dan Ketua-Ketua Jabatan MPSP, MPSP dapat mencapai misinya iaitu "Menjadikan Seberang Perai bersih, indah dan selesa didiami,bekerja serta menjadi tarikan pelaburan" melalui penyediaan perkhidmatan perbandaran, perancangan pembangunan dan infrastruktur yang cekap, berkesan dan responsif kepada kehendak komuniti Seberang Perai.

Saya dimaklumkan bahawa MPSP melalui anggaran bajet defisitnya pada tahun 2010 adalah sebanyak RM11.32 juta, walau bagaimanapun selepas penutupan akaun 2010, MPSP telah mencatat lebihan pendapatan sebanyak RM23.04 juta. Dengan lebihan pendapatan tersebut, Kumpulan Wang MPSP telah meningkat sebanyak 52.69% dari RM43.67 juta dalam tahun 2009 kepada RM 66.68 juta pada tahun 2010. Seperti mana yang kita tahu semenjak tahun 2000 sehingga 2007, MPSP telah mengalami deficit selama 8 tahun berturut-turut. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Tuan Hj. Mokhtar B. Mohd Jait yang berjaya mengembalikan kepada kedudukan kewangan Majlis yang kukuh. Pada keseluruhannya pendapatan MPSP meningkat sebanyak 6.52 % kepada RM167.67 juta pada tahun 2010 jika dibandingkan dengan tahun 2009 berjumlah RM157.4 juta iaitu dengan perbezaan sebanyak RM10.27 juta. Antara hasil MPSP yang menunjukkan peningkatan adalah cukai taksiran, lesen dan permit, perkhidmatan dan bayaran perkhidmatan, sewaan, faedah dan perolehan pelaburanserta keuntungan pelupusan asset. Justeru diharapkan Yang DiPertua yang baru dilantik dapat meneruskan usaha-usaha untuk berjimat cermat ke atas keseluruhan perbelanjaan dengan cara yang berhemah.

Perkembangan kewangan positif MPSP berterusan dengan prestasi kewangan yang lebih baik adalah disebabkan prinsip CAT, tender terbuka dan konsep perbelanjaan berhemah, membolehkan lebihan pendapatan dicapai dan adalah diharapkan MPSP dapat mengekalkan prestasi kewangannya seperti tahun lalu.

Akhir sekali, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir ke Majlis Penerimaan Jawatan Yang DiPertua dan Setiausaha Perbandaran, MPSP pada pagi ini dan berharap semoga Yang DiPertua dan Setiausaha Perbandaran, MPSP yang dilantik ini, akan bekerjasama dan memberi sokongan yang padu kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional