red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 12hb Mei 2011: 

Perdana Menteri hanya boleh meyakinkan rakyat bahawa Utusan Malaysia tidak menikmati kekebalan undang-undang dan bahawa UMNO sendiri tidak bersetuju dengan Utusan Malaysia yang menyiarkan fitnah berbahaya berhubung konspirasi untuk menubuhkan sebuah Negara Kristian dengan menukarkan Ketua Pengarang dan wartawan yang terlibat 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya boleh meyakinkan rakyat Malaysia bahawa Utusan tidak menikmati kekebalan undang-undang dan bahawa UMNO sendiri tidak bersetuju dengan Utusan Malaysia yang menyiarkan fitnah berbahaya berhubung konspirasi antara DAP dan para paderi Kristian untuk menubuhkan Negara Kristian dengan:-

  • mengarahkan Utusan Malaysia untuk menarik balik dan memohon maaf atas laporan palsu; dan

  • menggantikan ketua editor dan wartawan yang terlibat dalam fitnah berbahaya yang seolah-olah membakar konsep 1 Malaysia.

Utusan nampaknya mempunyai kekebalan undang-undang walaupun menyiarkan fitnah jahat dan berbahaya kerana akhbar tersebut dimiliki dan diarah oleh UMNO. Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari dalam sebuah wawancara 'online' mengatakan bahawa mesyuarat Biro Politik Umno akan bersidang setiap hari Isnin malam untuk membincangkan agenda mingguan akhbar Utusan.

Antara mereka yang terlibat ialah Presiden UMNO Najib Tun Razak, Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga orang Naib Presiden Ahmad Zahid Hamidi, Hishamudin Hussein dan Shafie Apdal serta Setiausaha Agung Tengku Adnan Mansor dan Ketua Penerangan Datuk Ahmad Maslan.

Menurut Hata, agenda tersebut akan disampaikan kepada Ketua Pengarang Utusan melalui pejabat Perdana Menteri. Agenda tersebut akan berlangsung lebih kurang 3 hari sebelum dilepaskan kecuali jika ianya menerima sokongan padu daripada pemimpin teratas BN. Hata berkata ini merupakan strategi bijak kerana menjelang hari ketiga, media lain akan terus memainkan isu ini sementara Utusan Malaysia akan bebas untuk menciptakan masalah baru.

Walaupun masyarakat bandar sekarang dapat melihat kebenaran melalui propaganda tipis yang dimainkan Utusan Malaysia, tetapi masih ada pembaca luar Bandar yang masih lagi setia dengan penipuan Utusan. Hatta kegagalan Najib untuk mengambil tindakan ke atas Utusan mengesahkan lagi pendedahan yang dibuat oleh Hata bahawa fitnah berhubung konspirasi menubuhkan Negara Kristian dan melantik Perdana Menteri beragama Kristian merupakan usaha UMNO untuk terus menarik sokongan penduduk luar Bandar.

DAP mencabar menteri-menteri daripada MCA, Gerakan mahupun SUPP untuk membawa perkara ini ke Kabinet dan menuntut tindakan tegas terhadap Utusan. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, ini menunjukkan bahawa MCA, Gerakan dan SUPP adalah peserta dalam sandiwara UMNO yang mengamalkan politik dua muka dan bersifat munafik.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional