red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://teresakok.com/ 

 

 

Ucapan oleh Teresa Kok Suh Sim di Konvensyen DAP Selangor di Dewan Serdang Raya pada hari Ahad, 20hb November 2011:

Ucapan Pengerusi DAP Selangor di Konvensyen DAP Selangor

Selamat petang dan selamat sejahtera. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara-saudari yang sudi menunjukkan komitment anda ke atas perjuangan DAP dengan meluangkan masa untuk menghadiri Konvensyen DAP Selangor pada hari ini. Ini juga kali pertama DAP Selangor mengadakan konvensyen negeri kita di kawasan Parlimen Serdang dan kawasan Dewan Negeri Seri Kembangan, menandakan ketegasan DAP Selangor untuk mempertahankan kedua-dua kawasan Parlimen dan DUN yang DAP rampas balik dalam Pilihan Raya 2008.

Masa berlalu dengan pantas, DAP Selangor telah berada dalam Kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir negeri yang paling maju di Malaysia selama 3 tahun 8 bulan. Sebelum Mac 2008, tiada orang di dalam dan di luar parti percaya parti kita mampu menjadi kerajaan di Negeri Selangor, tetapi tsunami politik dalam Pilihan Raya 2008 telah membuka peluang bagi kita untuk memegang teraju kepemimpinan politik Kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir Negeri Selangor.

Wang Rakyat Selangor Dijaga Baik Oleh Kerajaan PR Selangor

Saudara/i, selepas Pakatan Rakyat mentadbir Negeri Selangor selama 3 tahun dan 9 bulan, kita telah membuktikan kemampuan kita kepada Barisan Nasional (BN) dan semua warga di Negeri Selangor dan Malaysia bahawa kita mampu menjaga sumber ekonomi negeri ini dan mampu mentadbir negeri yang maju ini dengan lebih telus dan berkesan berbanding dengan zaman BN.

Saudara/i, sekiranya anda mengikuti Bajet Negeri Selangor 2012, anda akan mendapati bahawa hasil cukai dianggarkan meningkat 8.23% menakala hasil bukan cukai akan bertambah 40.12% untuk tahun 2012. Peningkatan ini menampakkan pengurusan ekonomi negeri telah menjanakan pembangunan yang pesat.

Sehubungan dengan itu, semasa kita mengambil-alih tampuk kepemimpinan kerajaan Selangor, simpanan tunai kerajaan Selangor hanyalah RM 632 juta, tetapi wang simpanan tunai negeri kita telah mencecah RM 1.212 bilion, iaitu jumlah tertinggi yang pernah dicapai sejak 28 tahun lalu. Daripada jumlah ini, RM946.65 juta dalam bentuk simpanan cair (liquid reserve) dan selebihnya dalam bentuk simpanan amanah (trust reserve). Pengurusan wang yang beramanah ini adalah bukti komitmen Pakatan Rakyat terhadap pemerintahan berintegriti yang tidak berbelah bagi.

Jumlah simpanan wang ini adalah bercanggah dengan hutang Kerajaan Persekutuan BN yang mencecah RM 430 bilion setakat ini.

Pencapaian ini berjaya direalisasikan melalui pengurusan kewangan yang baik seperti tertera dalam Laporan Audit Negara 2010. Pada masa yang sama, kita dapat meneruskan pelbagai program pembangunan dan kebajikan rakyat, ini terbukti apabila sejumlah lebih RM500 juta hasil negeri telah diterjemahkan kepada pelbagai jenis program kebajikan di bawah Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sejak Mac 2008.

Prestasi Wakil DAP Di Dalam Kerajaan Selangor

Saudara-saudari sekalian, kita, samada exco di Kerajaan Negeri, Speaker di Dewan Negeri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis di Kerajaan Tempatan dan Ketua Kampong di Selangor telah cuba dengan sedaya-upaya untuk melaksanakan tugas kita dengan sebaik mungkin.

Dari segi prestasi exco DAP, saya sebagai exco yang memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan telah berjaya mengekalkan Selangor sebagai destinasi pelaburan yang menarik bagi pelabur asing. Melalui kerjasama pihak Persatuan Pekilang Malaysia (FMM) dan PBT, kami telah mewujudkan Industrial Park Management Committee (IPMC) di banyak kawasan perindustrian dengan tujuan membantu pihak pekilang untuk menyelesaikan masalah tempatan mereka. Selain itu, kami juga berjaya menarik masuk semakin banyak pelaburan dari Negeri China di Negeri Selangor, yang mana sebelum ini jarang berminat untuk melabur di Selangor.

Bagi Sdr Ronnie Liu yang memegang portfolio Kerajaan Tempatan di dalam Kerajaan, beliau telah bertungkus lumus untuk cuba mengatasi masalah pembersihan di bawah PBT. Banyak zon Bersih diwujudkan di bawah PBT. Dengan penamatan hubungan di antara syarikat Alam Flora dengan Kerajaan Selangor, kesemua PBT terpaksa menanggung pembersihan masing-masing. Peralihan tugasan ini dilakukan dengan lancar dan lebih baik daripada jangkaan kami. Kami berharap pembersihan di setiap PBT boleh dilakukan dengan lebih berkesan pada masa yang akan datang.

Sdr Ean Yong Hian Wah sebagai exco yang menjaga urusan kampong baru dan pemutihan kilang haram telah melakukan banyak kerja penambahbaikan di kawasan luar Bandar. Dalam zaman BN, kerajaan Negeri Selangor BN hanya memperuntukkan RM200,000 untuk kegunaan 78 kampong baru di Selangor, tetapi dalam tempoh pentadbiran PR, peruntukan kerajaan bertambah pada RM 5.5 juta pada tahun 2009, RM5 jut pada tahun 2010 dan 2011, dan sekarang RM6 juta pada tahun 2012. Pertambahan peruntukan memberi peluang kepada Sdr Ean Yong untuk menaiktaraf infrastruktur di kampong baru, beliau juga telah membantu lebih daripada 1,000 penduduk kampong untuk mendapat hak milik tanah. Selain itu, beliau juga telah berjaya mencatat sejarah dengan mengadakan pemilihan ketua kampong di tiga Kampong Baru di Selangor, yang mana telah mendatangkan banyak komen yang positif daripada orang ramai. Pemilihan ini juga membuktikan usaha DAP dan Kerajaan Pakatan Rakyat ingin membukakan lebih ruang penyertaan demokrasi kepada orang ramai.

Bagi Sdr Teng Chang Khim sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor pula, beliau telah menjalankan banyak usaha untuk membaharukan Dewan Negeri. Selain daripada siaran langsung sidang Dewan Negeri melalui internet dan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) untuk mendengar kes yang melibatkan penyalahgunaan kuasa, atas usaha Sdr Teng, 3 jawatankuasa pilihan telahpun ditubuhkan dan diinstitusikan, iaitu ABAS (Jawatankuasa Agensi Badan Berkanun & Anak Syarikat), Jawatankuasa Pihak Berkuasa Tempatan, Jawatankuasa PADAT (Jawatankuasa Berkenaan Pejabat Daerah dan Tanah). Ketiga-tiga jawatankuasa pilihan tersebut menjadikan ahli dewan Pakatan Rakyat (back benchers) dapat memainkan peranan yang lebih aktif untuk memantau operasi agensi kerajaan dan anak syarikat kerajaan, di samping memberi maklum balas kepada Kerajaan Negeri.

Selain itu, Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) telahpun diluluskan dan diwartakan. Kami berharap enakmen ini boleh dikuatkuasakan pada tahun yang akan datang, sebagai langkah untuk menambahbaikkan ketelusan pentadbiran kerajaan dan mengurangkan penyelewengan kuasa.

Di sini, saya ingin menyatakan bahawa para Ahli Dewan Negeri Pakatan Rakyat telah memainkan peranan yang sangat aktif dalam kesemua perbahasan dalam Dewan Negeri, sehingga sidang dewan kita kadang-kadang terpaksa dipanjangkan sehingga malam. Di antara Ahli Dewan Negeri DAP yang aktif dan handal dalam perbahasan di sidang Dewan Negeri adalah Sdr Ng Suee Lin, Sdr lau Weng San, Sdri Hannah Yeoh dan Sdri Jenice Lee.

Saya tidak lupa juga dengan peranan yang dimainkan oleh para ahli majlis kerajaan tempatan dan ketua kampong di Negeri Selangor. Ada di antara saudara/i yang memegang jawatan tersebut bekerja sepenuh masa, elaun yang diperolehi oleh mereka selalunya tidak cukup bagi mereka untuk membayar bil telefon dan perbelanjaan petrol dan tol, tetapi mereka tetap menunjukkan komitmen dan dedikasi mereka dalam jawatan tersebut demi memberi perkhidmatan kepada rakyat dan kerajaan Pakatan Rakyat. Pengorbanan dan sumbangan mereka haruslah diingati dan dipuji oleh kita semua.

Tolak-Ansur Dalam Pakatan Rakyat

Saudara/i sekalian, DAP sebagai anggota dalam satu kerajaan bersama, Pakatan Rakyat, memang menghadapi masalah dari segi kerjasama dengan parti rakan kita dalam pelbagai tahap. Bukan semua perkara yang kita hendaki atau ingini dapat dilaksanakan. Begitu juga dengan parti seperjuangan kita di dalam Pakatan Rakyat, mereka juga tidak dapat melakukan kesemua dasar dan perkara yang mereka hendaki. Ketiga-tiga parti ini terpaksa bertolak-ansur dan bekerjasama walaupun aluan dan ideologi parti kita ini agak berlainan. Tujuan kita ini satu sahaja, iaitu terus mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat demi terus membawa pembaharuan di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Walau bagaimanapun, bagi pihak DAP Selangor, kami memang berharap Kerajaan Pakatan Rakyat dapat melaksanakan beberapa projek berikut sebelum Pilihan Raya yang akan datang, iaitu: penubuhan Pusat Kebudayaan Malayu, Pusat Kebudayaan Cina, Pusat Kebudayaan India, Projek Penternakan Babi dan pilihan raya kerajaan tempatan. Sebagai sebahagian daripada anggota kerajaan Pakatan Rakyat, kami juga akan terus memainkan peranan supaya isu tersebut yang diharap-harapkan oleh rakyat dapat dilaksanakan.

BN Cuba Menggunakan Isu Kaum & Agama Untuk Rampas Kuasa

Saudara/i, kami merasa amat kesal dengan cara BN menggunakan media di bawah kawalannya untuk memainkan isu kaum dan agama. Selepas Pakatan Rakyat menang kuasa di Selangor, Pulau Pinang dan negeri lain, BN malah "out-source" agenda perkauman dan agama kepada NGO baru tertentu. Banyak tuduhan yang bukan-bukan dan fakta yang diputar-belitkan dilemparkan kepada pemimpin DAP dan pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya wakil rakyat di Negeri Selangor. Tujuan BN hanyalah satu, iaitu untuk menggoncangkan keyakinan masyarakat kaum bumiputera terhadap Pakatan Rakyat. Skrip BN ialah hak Bumiputera dan agama Islam dipinggirkan di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat. Inilah muka sebenar kerajaan BN yang melaungkan slogan "Satu Malaysia".

Bagi pihak DAP Selangor, saya ingin berterima kasih kepada pemimpin PAS dan PKR di Selangor yang selalu sudi menjelaskan isu yang berkaitan dengan kaum dan agama dan membongkarkan pembohongan BN kepada masyarakat Melayu, khususnya apabila wakil rakyat DAP dijadikan sasaran oleh parti lawan kita.

Malaysia adalah satu masyarakat yang majmuk, saya percaya cara BN memainkan isu perkauman dan agama tentu akan menyumbang kepada penamatan rejim "racist" UMNO Barisan Nasional.

Apakah Peluang Kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor Dalam Pilihan Raya Yang Akan Datang?

Sdr/i, anda mungkin ingin tanya, apakah peluang kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor dalam Pilihan Raya yang akan datang? Di sini, saya ingin menyenaraikan penganalisaan undi yang diperolehi oleh setiap kerusi Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya 2008 yang dijalankan oleh Dr Ong Kian Ming:

PR HITAM: Undi Di Antara 50% hingga 55%

Parl Code Parl Seat State Code State Seat BN% PR Party
P93 Sungai Besar N4 Sekinchan 49.1% DAP
P96 Kuala Selangor N10 Bukit Melawati 48.4% PKR
P98 Gombak N18 Ulu Kelang 46.3% PKR
P99 Ampang N19 Bukit Antarabangsa 46.9% PKR
P99 Ampang N20 Lembah Jaya 46.0% PAS
P100 Pandan N21 Cempaka 47.8% PAS
P107 Subang N39 Kota Damansara 47.6% PKR
P108 Shah Alam N40 Kota Anggerik 46.2% PKR
P109 Kapar N45 Selat Klang 46.6% PAs
P112 Kuala Langat N52 Teluk Datuk 47.6% DAP

PR KELABU: Undi Di antara 55% -- 60%

Parl Code Parl Seat State Code State Seat BN% PR Party
P96 Kuala Selangor N11 Ijuk 42.3% PKR
P98 Gombak N17 Gombak Setia 44.6% PAS
P101 Ulu Langat N25 Kajang 42.9% PKR
P104 Kelana Jaya N32 Seri Setia 44.2% PKR
P105 Pj Selatan N33 Taman Medan 42.4% PKR
P108 Shah Alam N41 Batu Tiga 43.7% PKR
P112 Kuala Langat N51 Sinjangkang 44.2% PAS

PR PUTIH: Undi PR > 60%

Parl Code Parl Seat State Code State Seat BN% PR Party
P97 Selayang N14 Rawang 36.0% PKR
P98 Gombak N16 Batu Caves 39.3% PKR
P100 Pandan N22 Teratai 32.5% DAP
P102 Serdang N26 Bangi 39.0% PAS
P102 Serdang N27 Balakong 39.0% DAP
P102 Serdang N28 Sri Kembangan 34.8% DAP
P103 Puchong N30 Kinrara 35.8% DAP
P104 Kelana Jaya N31 Subang Jaya 29.1% DAP
P105 PJ Selatan N34 Bukit Gasing 30.6% DAP
P106 PJ Utara N35 Kampung Tunku 31.3% DAP
P106 PJ Utara N36 Damansara utama 27.7% DAP
P107 Subang N37 Bukit Lanjan 36.5% PKR
P109 Kapar N42 Meru 38.6% PAS
P109 Kapar N44 Sungai Pinang 29.9% DAP
P110 Klang N46 Pelabuhan Klang 38.1% PKR
P110 Klang N47 Pandamaran 36.3% DAP
P110 Klang N48 Kota Alam Shah 30.3% DAP
P111 Kota Raja N49 Seri Andalas 33.2% PKR
P111 Kota Raja N50 Sri Muda 38.5% PKR

Rumusan Kerusi DUN Pakatan Rakyat

PR Hitam 10
PR Kelabu 7
PR Putih 19
Jumlah 36

Senarai undi yang diperolehi oleh setiap kerusi DUN Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya 2008 menunjukkan Pakatan Rakyat mempunyai 19 Kerusi Putih dan 7 Kerusi Kelabu, jumlah kerusi 26. Demi membentukkan Kerajaan Negeri, Pakatan Rakyat perlu sekurang-kurang 3 kerusi Hitam demi mengekalkan kerajaan Selangor.

Saya percaya, sekiranya Pilihan Raya yang akan datang boleh diadakan dengan telus dan bebas, Pakatan Rakyat akan dapat mempertahankan Kerajaan Negeri Selangor dalam Pilihan Raya yang akan datang.

Pemimpin & Anggota DAP Diminta Bersiap-sedia Untuk Pilihan Raya

Saudara/i, memandangkan Pilihan Raya Umum akan datang tidak lama lagi, memang adalah penting bagi pemimpin dan anggota parti kita di seluruh Selangor untuk mula membuat penyiapan bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang. Saya menyeru kesemua pemimpin cawangan dan Jawatankuasa Perhubungan Parlimen mula mengadakan siri mesyuarat dan program dengan PKR dan PAS di setiap kawasan. Wakil rakyat, ahli majlis dan ketua kampong kita juga diminta menunjukkan lebih keprihatinan mereka terhadap isu dan masalah rakyat, dan ambil pendekatan yang proaktif untuk menyelesaikan kesemua masalah mereka.

Kami menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menunjukkan kebebasan agensi ini dengan melaksanakan kesemua cadangan dan tuntutan BERSIH dalam Pilihan Raya yang akan datang, supaya kesemua parti politik boleh bersaing dalam satu landasan yang adil dan saksama.

Kami ingin menyeru pihak polis untuk menghormati prinsip kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, dan jangan mengganggu program kita dan jangan mengenakan syarat yang bertujuan untuk menyusahkan kita. Kami hormat usaha polis untuk menjaga keselamatan dan juga sumbangan pihak polis kepada masyarakat kita, tetapi kami juga berharap pihak PDRM juga menghormati Pakatan Rakyat sebagai satu barisan kerajaan (coalition government) yang mentadbir Negeri Selangor.

Pengerusi BN Dato Seri Najib pernah berkata bahawa BN akan merampas balik Negeri Selangor dengan apa cara pun (at all costs). Di sini, saya bagi pihak DAP Selngor ingin menjawab cabaran Najib, bahawa DAP bersama dengan PKR dan PAS bukan sahaja akan mempertahankan Negeri Selangor dengan sedaya upaya, tetapi kami akan pastikan calon Pakatan akan menang dengan lebih undi dan lebih kerusi di Negeri Selangor.

Dengan rekod yang Pakatan Rakyat capai di Negeri Pulau Pinang dan Selangor, sekiranya kesemua tuntutan Bersih dilaksanakan, kami percaya Pakatan Rakyat bukan sahaja dapat mempertahankan Negeri Selangor tetapi kami malah dapat mengorak langkah ke Putrajaya dan menyelamatkan Malaysia daripada segala penyelewengan kuasa dan korupsi.

Sekian, terima kasih.


* Teresa Kok Suh Sim, Pengerusi DAP Selangor & Ahli Parlimen Kawasan Seputeh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional