red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://teresakok.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim di Shah Alam pada hari Khamis, 22hb September 2011:

Pendakwaan Mat Sabu membuktikan reformasi politik Najib adalah janji kosong

Kes Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (Mat Sabu) yang didakwa memfitnah anggota polis yang terbunuh ketika serangan komunis ketika zaman British menunjukkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sekali lagi mempergunakan mahkamah sebagai saluran politik untuk menakut-nakutkan, membuli dan memenjarakan lawan politik mereka.

Sekiranya Mat Sabu didapati bersalah, beliau akan dihukum masuk penjara selama dua tahun dan didenda. Sekiranya ini berlaku, beliau boleh ditegah dari bertanding dan berkempen di dalam pilihanraya umum yang akan datang. Adakah ini taktik BN untuk mengelak dari menghadapi Mat Sabu di dalam pilihanraya yang akan datang memandangkan perbicaran beliau dijadualkan pada Disember 2011?

Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Najib Razak telah mengumumkan reformasi politik di Malaysia dengan kata-kata manis seperti "mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik" dan "Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya."

Tidak sampai seminggu telah berlalu, lawan politik beliau Mat Sabu telah pun didakwa di mahkamah atas pendapat perbadinya mengenai sejarah. Kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat tidak dipedulikan begitu sahaja. Perdana Menteri yang benar-benar berfikiran terbuka dan dinamik haruslah sedar bahawa perbezaan pendapat mengenai penterjemahan sejarah tidak sesuai dibahaskan di bilik mahkamah tetapi haruslah diselesaikan melalui dialog dan perbahasan di dalam ruang akademik.

Lebih-lebih lagi, kenyataan Mat Sabu tidak memfitnah sesiapa. Beliau juga tidak mengapi-apikan sebarang isu perkauman ataupun agama, berbeza sekali dengan Utusan Malaysia dan Perkasa yang telah berulang kali mengeluarkan kenyataan yang mengapi-apikan sentimen perkauman, rasa benci and berbohong tanpa dikenakan sebarang tindakan oleh kerajaan. Mereka dibiarkan menyemai benih-benih ketakutan dan kebencian secara bebas.

Pendakwaan Mat Sabu membuktikan kerajaan bersifat berat sebelah dan mengamalkan pendakwaan secara pilih kasih.

Saya mengutuk serangan bomb petrol ke atas kediaman Mat Sabu semalam. Saya juga mengutuk ugutan simbahan asid yang diterima oleh beliau melalui SMS sebelumnya. Ugutan sebegini terhadap beliau dan keluarga beliau adalah jenayah dan harus didakwa di mahkamah. Saya mengulang seruan saya kepada Polis DiRaja Malaysia untuk menyiasat kes ini, menangkap orang yang bertanggungjawab dan menyediakan pelindungan yang sewajarnya kepada beliau dan keluarga beliau.

Saya juga menggesa pemimpin Barisan Nasional supaya mengeluarkan kenyataan akhbar untuk mengutuk ugutan terhadap Mat Sabu agar menunjukkan pendirian mereka menentang keganasan di dalam bidang politik.


* Teresa Kok Suh Sim, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, EXCO Kanan Kerajaan Negeri Selangor & Ahli Parlimen Kawasan Seputeh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional