red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Jawapan bagi Pertanyaan Bertulis Ahli Parlimen Kawasan Bagan Lim Guan Eng di Sidang Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Kedua Belas (Mac- Apr 2011): 

Soalan dan Jawapan Parlimen mengenai sistem amaran tsunami di Pulau Pinang 

Soalan 441

Minta Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI ) menyatakan tahap penyediaan infrastruktur sistem amaran tsunami di Pulau Pinang. Adakah sistem tersebut masih berfungsi, berapakah kos pemasangan dan siapakah yang bertanggungjawab menyelenggaranya dari semasa ke semasa.

Jawapan:

MOSTI di bawah agensi pelaksananya, Jabatan Meteorologi Malaysia telah melaksanakan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) sejak tahun 2005 bertujuan bagi memantau kejadian gempa bumi dan tsunami, serta mengeluarkan maklumat gempa bumi dan amaran tsunami.

SAATNM terdiri dari tiga komponen utama iaitu:

i. komponen pengumpulan data dan maklumat

ii. komponen pemprosesan, dan

iii. komponen penyebaran.

komponen pengumpulan data dan maklumat

terdiri dari 28 buah stesen seismik, 17buah stesen pasang surut, tiga pelampung tsunami, dan 18 buah kamera pantai. Selain itu, data seismik dan pasang surut luar negara turut diterima JMM. Operasi pemantauan gempa bumi dan tsunami ini dijalankan secara berterusan 24 jam setiap hari, 7 hari seminggu.

komponen pemprosesan terdiri daripada perisian penentuan lokasi dan magnitud gempa bumi, dan masa ketibaan dan ketinggian ombak tsunami di perairan negara.

komponen penyebaran pula terdiri daripada pelbagai kaedah iaitu SMS, telefon, crawler TV, talian hotline, faksimili, Fixed Line Alert System (FLAS), laman web dan sosial media internet face book. Siren amaran awal tsunami yang dipasang di 23 lokasi strategik akan diaktifkan sekiranya terdapat tsunami berlaku. Maklumat gempa bumi dan amaran awal tsunami dikeluarkan dalam tempoh masa 12 minit selepas setiap sesuatu kejadian gempa bumi.

Bagi negeri Pulau Pinang, kejadian gempa bumi dipantau melalui rangkaian stesen seismik SAATNM dan yang terdekat ialah di Kulim, Kedah. Manakala pemantauan kejadian tsunami pula dijalankan melalui stesen pasang surut yang terletak di Teluk Bahang, Pulau Pinang. Selain itu, pemantauan kejadian tsunami juga dicerap melalui pelampung tsunami dan tolok pasang surut antarabangsa di Laut Andaman dan Lautan Hindi yang mampu memberikan maklumat awal tsunami. Kira-kira dua jam sebelum ambak tsunami tersebut sampai si perairan Pulau Pinang.Di samping itu, terdapat dua buah kamera pantai yang terletak di Biro Tata Negara Pasir Panjang dan Park Royal Batu Feringgi bagi memantau kedatangan ombak tsunami. Sekiranya terdapat ancaman tsunami maka siren amaran tsunami tersebut akan diaktifkan. Terdapat empat buah siren amaran tsunami di Pulau Pinang iaitu di Biro Tata Negara Pasir Panjang, Batu Feringgi, Teluk Bahang dan Tanjung Bungah.

Kos pemasangan bagi semua peralatan komponen SAATNM di Pulau Pinang ialah kira-kira RM550,000. Semua komponen SAATNM diselenggara oleh Jabatan Meteorologi Malaysia secara berkala dan didapati beroperasi dengan baik. Peraturan Tetap Operasi gempa bumi dan tsunami juga telah disediakan oleh JMM bagi memastikan amaran awal tsunami dapat dikeluarkan dalam masa 12 minit yang telah ditetapkan.

Bagi meningkatkan aspek kesedaran awam mengenai risiko dan bahaya gempa bumi dan tsunami di kalangan komuniti setempat, sebanyak enam kempen kesedaran awam telah dijalankan di Pulau Pinang semenjak tahun 2008. Kempen kesedaran awam di akan dijalankan secara berterusan.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional