red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di George Town pada hari Khamis, 15hb September 2011: 

Penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) ke arah negeri yang paling selamat di Malaysia 

Negeri Pulau Pinang telah mencatat penurunan kadar jenayah yang paling besar di Malaysia sebanyak 27 % pada 2010 dan penurunan sebanyak 25 % untuk 6 bulan yang pertama tahun ini.

Di antara faktor yang menyebabkan penurunan kadar indeks jenayah adalah kerjasama dan sumbangan gigih daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Dato' Wira Ayub bin Yaakob, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi yang kerap mengalami jenayah dan juga kepolisan masyarakat.

Kepolisan masyarakat adalah satu syarat penting untuk menjaga keselamatan awam. Demi memastikan kadar jenayah boleh terus menurun, maka Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang akan menyokong penubuhan PPS untuk membantu pihak polis menjalankan rondaan.

Sokongan PPS dengan pihak polis diharap dapat mengekalkan kententeraman awam dan menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai negeri yang paling selamat di Malaysia yang sedikit sebanyak akan membolehkan Pulau Pinang terus menjadi pilihan utama pelabur dan pelancong.

Antara objektif penubuhan PPS ini adalah untuk membantu Pihak Berkuasa Keselamatan dalam menangani kegiatan atau aktiviti sosial yang negatif di sesuatu kawasan termasuk membersihkan kawasan daripada anasir dadah.

Selain daripada itu, penubuhan ini juga sedikit sebanyak dapat membantu PDRM untuk mencegah dan membanteras jenayah dengan bertindak sebagai pembekal maklumat di samping menjalankan hubungan kerjasama kejiranan yang erat di kalangan anggota masyarakat tempatan.

Sehingga 14 September 2011, terdapat 40 pasukan yang keseluruhannya terdiri daripada 840 ahli. PPS ditubuhkan sebagai langkah untuk memastikan kebajikan dan keselamatan masyarakat dan rakyat negeri Pulau Pinang tidak dipinggirkan.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional