red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan media oleh Ean Yong Hian Wah di Shah Alam pada hari Sabtu, 21hb April 2012:

Mengutuk secara keras atas tindakan pengedaran buku komik fitnah yang bertajuk "Kisah benar Beng Hock"

Saya mengutuk secara keras atas tindakan pengedaran sebuah buku komik fitnah yang bertajuk "Kisah benar Beng Hock" di kalangan masyarakat khususnya kawasan Seri Kembangan.

Ini merupakan satu lagi projek politik kotor yang dimainkan oleh pihak tertentu sebelum pilihan raya ke-13 untuk menjatuhkan maruah Teoh Beng Hock dan nama baik peminpin Pakatan Rakyat.

Buku komik yang mengandungi 20 muka surat dalam bahasa Mandarin dan English ini dipercayai telah diedarkan ke merata tempat di negeri Selangor.

Ia diperbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama mengandungi lukisan komik yang memburukan imej Teoh Beng Hock dan peminpin Pakatan Rakyat dalam bahasa Mandarin. Bahagian kedua adalah cerita yang direka dan fakta yang diputarbalik dalam bahasa English untuk mengelirukan orang ramai mengenai isu kematian Teoh Beng Hock di pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) Selangor pada 16hb Julai 2009.

Tujuan buku ini adalah untuk membuat tuduhan palsu ke atas peminpin Pakatan Rakyat terutamanya saya supaya pihak SPRM dan Barisan Nasional dapat melarikan diri daripada tanggungjawab atas kematian Teoh Beng Hock.

Buku komik ini jelasnya telah melanggar Akta Pencetakan dan Penerbitan 1984 dan berunsur politik kerana ia segaja tidak meletakkan nama pihak yang menerbit buku ini. Jikalau apa yang terkandung dalam buku ini adalah benar, mengapa pihak penerbitan buku ini tidak berani untuk mendedahkan diri?

Teoh Beng Hock merupakan seorang saksi yang ingin bekerjasama dengan pihak SPRM untuk menjalankan siasatan. Beliau bukan seorang suspek dan sedang membuat persiapan untuk berkahwin dengan teman wanitanya. Beliau tidak ada sebab untuk membunuh diri kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Begitu juga dengan siasatan kes peruntukkan saya. Saya tidak pernah membuat tuntutan palsu dan mencipta invois yang palsu. Semua projek infrastruktur yang dijalankan telah mengikut spesifikasi dan peraturan yang ditetapkan. Ini telah dibuktikan oleh Ahmad Shafik bin Abdul Rahman@Alwee, Pegawai Siasatan di Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Putrajaya semasa beliau memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock.

Beliau mengatakan bahawa hasil daripada siasatan tidak terdapat keterangan yang boleh mengaitkan saya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang berkaitan dengan tuntutan palsu. Ini bermakna saya dan Teoh Beng Hock adalah tidak bersalah dan kita merupakan mangsa politik Barisan Nasional yang ingin menawan Selangor "tanpa mengira apa pun yang berlaku".

Soalan sekarang hanya tinggal satu, iaitu siapa yang membunuh dan menyebabkan kematian Teoh Beng Hock? Walaupun laporan polis telah dibuat tetapi sampai hari ini suspek masih belum dikenal pasti. Adakah kes ini sengaja ditutup kerana ia memberi impak yang besar dan negatif kapada Barisan Nasional?

Saya juga ingin menyeru kepada orang ramai supaya menjadi saksi dan bekerjasama dengan pihak polis untuk membongkar sindiket yang memburukkan imej dan fitnah terhadap Teoh beng Hock dan peminpin Pakatan Rakyat ini.


* Ean Yong Hian Wah, Ahli EXCO Selangor & ADUN Seri Kembangan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional