red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 6hb April 2012: 

Chua Soi Lek harus buktikan komitmen MCA untuk menghormati keputusan majoriti rakyat Malaysia yang hendak menutup Loji Nadir Bumi Lynas di sekitar kawasan Kuantan, dengan menarik diri daripada BN 

"Flip-flop" secara tiba-tiba oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan tindakan MCA untuk membuat pusingan U daripada menyokong loji pemprosesan nadir bumi Lynas kepada menuntut agar loji itu dimansuhkan, bukan sahaja menonjolkan pendirian MCA yang tidak konsisten dan tidak berprinsip tetapi juga menimbulkan soalan tentang keikhlasan dan kredibiliti MCA. Rakyat Malaysia tidak akan percaya dengan seruan Presiden MCA Chua Soi Lek untuk memansuhkan loji Lynas dan menganggap tindakan ini sebagai helah pilihan raya umum untuk menipu pengundi.

MCA harus buktikan komitmen mereka untuk menghormati kehendak majoriti rakyat Malaysia yang ingin menutup loji nadir bumi Lynas di sekitar kawasan Kuantan, dengan menarik diri daripada BN dan tidak kembali masuk sehingga UMNO membatalkan projek pemprosesan nadir bumi yang bernilai RM2.3 bilion ini. Selagi UMNO enggan memberi komitmen secara umum bahawa pampasan akan dibayar, tidak ada sesiapa yang akan percaya bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai isu Lynas akan berani mengesyorkan penutupan kilang tersebut.

Yang lebih teruknya, Chua terus meminta agar Lynas menghantar balik sisa nadir bumi yang radioaktif kepada Australia, walaupun Kerajaan Australia sudah menolak permintaan itu secara umum dan rasmi. Tidak seperti BN, Kerajaan Australia tidak akan mementingkan keuntungan daripada kesihatan dan keselamatan rakyatnya.

Tindakan "flip-flop" MCA yang dahulunya menyokong Lynas tetapi sekarang seolah-olah sudah mendapat hidayat baru menggesa pula supaya loji pemprosesan nadir bumi itu ditutup nampak sangat hanya bersifat oportunis, terdesak serta tidak berprinsip dan dilakukan semata-mata untuk mendapat undi. Rakyat Malaysia tidak akan lupa bahawa MCA selama ini telah menyokong pendirian UMNO bahawa loji Lynas itu akan mendatangkan faedah seperti peluang pekerjaan, pelaburan nilai tinggi, pindahan teknologi, selamat dan tidak akan mendatangkan risiko kesihatan atau radioaktif.

Kenyataan Presiden MCA Dr Chua Soi Lek yang menyatakan bahawa isu ini tidak lagi berkaitan dengan kesalamatan, tetapi bahawa Kerajaan tidak boleh mengabaikan pandangan majoriti rakyat Malaysia yang menentang Lynas, menunjukkan bahawa pokok isunya tidak berkaitan dengan salah atau betul. Sekali lagi, MCA mendedahkan diri sebagai parti yang tidak berprinsip atau tidak bertulang belakang.

Tidak ada apa-apa untuk menghalang MCA daripada membuat "flip-flop" sekali lagi selepas pilihan raya umum yang akan datang untuk menyokong kembali loji nadir bumi Lynas. Oleh itu, ini adalah peluang terakhir bagi MCA untuk membuktikan komitmen mereka untuk memansuhkan loji Lynas dengan menarik diri daripada BN dan bertanding dalam pilihan raya umum yang akan datang atas simbol sendiri. Adakah Chua berani untuk mengumumkan bahawa MCA hanya akan kembali ke pangkuan BN selepas penutupan loji Lynas? Kegagalan untuk membuat demikian akan membantu rakyat Malaysia membuat keputusan sama ada untuk mempercayai parti yang bukan sahaja menipu diri sendiri tetapi cuba menipu orang lain.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional