red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng berhubung pengumuman Pusat Pembelajaran Pulau Pinang dan Akademi Badminton Pulau Pinang di Kampung Buah Pala di Komtar pada hari Selasa, 24hb April 2012: 

Pusat Pembelajaran Pulau Pinang dan Akademi Badminton Pulau Pinang  

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan sumbangan Yayasan ECM Libra dan 3 rakan kongsinya iaitu, Lim Kian Onn, Dato' Seri Kalimullah Hassan dan Dato' David Chua Ming Huat berhubung cadangan pembinaan Pusat Pembelajaran Pulau Pinang dan Akademi Badminton Pulau Pinang yang dianggarkan berjumlah RM 4 juta.

Tanah seluas 2.9 ekar milik Kerajaan Negeri ini terletak berhampiran Kampung Buah Pala di Sri Delima dan Bukit Gelugor. Pembinaan Pusat Pembelajaran Pulau Pinang dan Akademi Badminton Pulau Pinang akan memenuhi keluasan sebanyak 1 ekar. Apabila siap, 2 buah bangunan tersebut akan diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri yang juga akan menguruskan 2 bangunan tersebut.

Pusat Pembelajaran Pulau Pinang (PLC) dan Akademi Badminton Pulau Pinang (PBA) yang menelan belanja RM4 juta ini akan mengambil masa selama 18 bulan untuk siap. Sebuah perpustakaan, 7 buah kelas bahasa dan tuisyen, 6-8 gelanggang badminton dan kantin akan disediakan. Antara bahasa yang akan diberi tumpuan ialah bahasa asing selain daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil. Pengguna juga boleh mendapatkan makanan dan minuman di dalam bangunan tersebut.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang percaya bahawa PLC dan PBA akan memberikan khidmat kepada masyarakat dari segi menyediakan lokasi yang unik di mana pelajar yang kurang bernasib baik akan mempunyai tempat yang sesuai untuk mengikuti kelas tuisyen dan mempelajari bahasa baru serta cemerlang dalam badminton. Ini merupakan perpustakaan pertama yang dibina oleh Kerajaan Negeri PR dan juga merupakan Akademi Badminton Pulau Pinang yang pertama di Pulau Pinang.

Baru-baru ini, ECA International mengesahkan George Town sebagai bandar yang paling sesuai didiami di Malaysia, menduduki tangga ke-8 di Asia dan 73 di peringkat global. George Town mendahului Kuala Lumpur buat pertama kalinya pada 2011 apabila mengekalkan kedudukannya sebagai bandaraya paling selamat didiami di Asia manakala Kuala Lumpur turun ke tangga 9. George Town membuktikan bahawa pencapaian ini adalah bukan suatu kebetulan tetapi suatu fakta apabila George Town mengekalkan kedudukan bandar ke - 8 paling selamat didiami di Asia pada tahun 2012, manakala Kuala Lumpur turun ke tangga 10. Untuk George Town dan Pulau Pinang mengekalkan status kemenangan sebagai bandar yang paling sesuai untuk didiami di Malaysia, lebih banyak kemudahan rekreasi dan pembelajaran diperlukan. Atas sebab itulah, Pulau Pinang mengalu-alukan inisiatif sosial oleh ECM Libra dan 3 rakan kongsinya.

Kerajaan Negeri juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan ECM Libra yang telah banyak menyumbang ke arah menggalakkan pendidikan dan penguasaan bahasa terutamanya untuk generasi muda. Ini akan membantu Pulau Pinang mencapai aspirasi menjadi sebuah bandar antarabangsa dan pintar yang bersih, hijau, selamat dan sihat. Kerajaan Negeri juga berharap Akademi Badminton Pulau Pinang akan melahirkan lebih ramai juara badminton dunia dari Pulau Pinang pada tahun- tahun yang akan datang.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional