red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 9hb Ogos 2012:

Walaupun didapati bersalah oleh mahkamah, akhbar Utusan Malaysia masih tidak serik

Walaupun sudah dua kali didapati bersalah oleh mahkamah kerana menyiarkan laporan-laporan yang berunsur fitnah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, akhbar Utusan Malaysia tampaknya masih tidak serik.

Dengan tajuk sensasi, "Haram sokong DAP" pada muka hadapan serta laporan susulan di mukasurat dalaman, Utusan Malaysia telah menyiarkan beberapa tuduhan liar seperti yang dipetik di bawah:

Adalah haram dan berdosa untuk umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud.

Pengasas Pondok Genting, Tumpat, Abdullah Sa'amah berkata... agenda perjuangan DAP berbeza dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) yang digolongkan sebagai bukan kafir harbi iaitu tidak mebawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umat Islam.

"Perjuangan DAP tidak terima Perlembagaan negara, mereka mahu sama rata Islam dan bukan Islam, kuil dan masjid juga mahu sama rata..."

Dipetik daripada "Haram, berdosa undi DAP", mukasurat 5, Utusan Malaysia 8 Ogos 2012.

Adalah jelas di sini bahawa laporan tersebut bermotif politik dan bertujuan untuk menabur fitnah dan implikasi bahawa:

a) DAP merupakan parti yang haram.

b) DAP tidak menerima Perlembagaan Persekutuan.

c) DAP merupakan parti kafir harbi.

Umum mengetahui bahawa DAP merupakan sebuah parti pelbagai bangsa yang sah atau ¡°halal¡± dari segi undang-undang. Perjuangan DAP pula berteraskan prinsip-prinsip keadilan, ketelusan, kebenaran, kesaksamaan dan demokrasi, sepertimana yang diperjuangkan parti-parti rakan dalam Pakatan Rakyat yakni PAS dan Keadilan.

Selama 46 tahun sejarahnya, tidak sesekali pun DAP diharamkan atau dibatalkan pendaftarannya. Tambahan juga, sekian lama ini DAP telah berjuang di bawah kerangka kenegaraan Malaysia sebagai sebuah demokrasi berparlimen yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Prinsip perjuangan DAP bukan sahaja terpahat dalam perlembagaan parti, tetapi juga diulangi dalam Deklarasi Shah Alam, iaitu suatu ketetapan yang telah dipersetujui dalam persidangan kebangsaan parti awal tahun ini. Antara lainnya, wakil-wakil kebangsaan DAP telah menegaskan komitmen untuk "mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963."

Oleh itu, dakwaan bahawa DAP merupakan sebuah parti haram yang menolak Perlembagaan Persekutuan itu jelas merupakan fitnah dan tohmah semata-mata.

Laporan Utusan Malaysia tersebut juga membawa implikasi bahawa DAP adalah parti kafir harbi, hatta menjadi musuh yang ingin memerangi Islam. Ini merupakan satu tuduhan yang sangat berbahaya dan jelas dilakukan dengan niat untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama.

Apakah asas untuk tuduhan sedemikian memandangkan DAP tidak pernah memusuhi mana-mana agama? Malah, DAP jelas mendukung agama Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa yang sama ingin memelihara kebebasan rakyat untuk mengamalkan agama-agama lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan. Justeru, tuduhan sedemikian tidak mempunyai asas langsung serta berunsur hasutan.

Untuk mengelak daripada sebarang kekeliruan dan ancaman yang mungkin timbul akibat tuduhan-tuduhan palsu yang tidak bertanggungjawab oleh Utusan Malaysia, saya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah, Jalan Patani, Pulau Pinang pagi tadi.

Walaupun kecewa dengan tindakan lidah rasmi UMNO, khususnya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, saya pasti bahawa rakyat Malaysia tidak senang termakan dengan umpan hasutan yang cuba dimainkan oleh Utusan Malaysia. Lagipun, suratkhabar milik UMNO ini sudah pun beberapa kali dibuktikan memfitnah oleh mahkamah.


* Zairil Khir Johari, Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional