red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Jumaat, 3hb Ogos 2012: 

BN tidak jujur dan berpolitik murahan dengan bermain talam dua muka 

BN tidak jujur dan berpolitik murahan dengan bermain talam dua muka berkaitan bantahan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang di satu sisi manakala satu sisi lagi membenarkan Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd (Seaport) untuk memuktamadkan pengambilalihan Pelabuhan Pulau Pinang menjelang Disember tahun ini. Malangnya ia muncul apabila Kerajaan Persekutuan telah memberi surat anugerah tanpa mendedahkan apa-apa maklumat dan memberikan apa-apa jaminan masa depan kepada penduduk Pulau Pinang berkaitan kepentingan awam ini.

Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) mesti tampil menjelaskan berkaitan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang berikutan kenyataan Pengarah Seaport Datuk Mohd Sidik Shaik Osman dalam akhbar News Straits Times pada 2 Ogos bahawa Seaport telah menerima surat anugerah dan akan melaksanakannya menjelang akhir tahun ini. Dalam kes ini, apakah motif Kerajaan Barisan Nasional membantah langkah penswastaan ini tetapi dalam satu lagi keadaan mereka bukan sahaja menipu orang lain tetapi juga diri sendiri?

Hari ini, Presiden Transparency International, Datuk Paul Low telah mengecam langkah penswastaan sebagai melanggar amalan urus tadbir yang baik dan telus. Beliau berkata penganugerahan kontrak kepada Seaport tanpa melalui tender terbuka secara kompetitif menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengamalkan apa yang disarankan berkaitan akauntabiliti dan melawan rasuah. Datuk Low menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melihat dakwaan oleh Dewan Perniagaan Pulau Pinang bahawa pelupusan Pelabuhan Pulau Pinang telah melanggar Akta Anti- Persaingan.

Rakyat Pulau Pinang mempunyai hak untuk mengetahui terma-terma perjanjian ini dan sama ada penswastaan ini tidak lebih daripada menjalankan pelanunan kerana ia melibatkan kepentingan awam. Setakat ini terdapat hanya butiran tidak lengkap telah diterima dan Datuk Mohd enggan menyatakan jumlah suntikan modal oleh Seaport kepada Pelabuhan Pulau Pinang tetapi secara kasar perbelanjaan modal adalah sebanyak RM1 bilion menjelang 2017 dan RM4.7 bilion menjelang 2022.

Adakah penswastaan ini akan secara automatik ditamatkan jika Seaport gagal untuk melabur sejumlah wang? Dan mengapa Seaport enggan untuk segera melaksanakan pengorekan RM353 juta projek saluran pelabuhan ini? Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya akan menyokong penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang jika ia memenuhi 5 syarat utama:-

a)Mengadakan tender terbuka secara kompetitif dan bukannya tender yang terhad kepada mereka yang dijemput untuk membuat tawaran

b)Jelas dan pastikan sangkalan daripada Menteri Kewangan atau Menteri Pengangkutan terhadap dakwaan Pengerusi Penang Port Commission Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa Pelabuhan Pulau Pinang akan dijadikan pelabuhan penghantar yang akan memainkan peranan sokongan keapda dua pelabuhan lain iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Pasir Gudang

c)Pelaksanaan segera peruntukan RM353 juta untuk mengorek saluran pelabuhan kepada sekurang-kurangnya 15-17 meter dengan segera sebelum penswastaan dijalankan

d)Rundingan awam dijalankan sepenuhnya dengan pihak-pihak yang berkepentingan di dalam industri perkapalan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan rakyat Pulau Pinang.

e)Mendedahkan butiran dan pelan yang lengkap serta jumlah pelaburan Seaport, dan bagaimana penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang ini boleh memberi manfaat kepada penduduk Pulau Pinang dan mengembalikan status Pelabuhan Pulau Pinang kepada pelabuhan komersial serantau yang bertaraf dunia.

Semua pembohongan, janji separuh benar dan janji-janji kosong ini adalah bukti bahawa penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang akan diteruskan tanpa mendedahkan mana-mana maklumat dan tiada jaminan bahawa kerja-kerja pengorekan RM353 juta akan dijalankan seperti yang telah dijanjikan dalam Rancangan Malaysia ke-9 dan ke-10. Sekali lagi, Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional telah gagal untuk menjaga kepentingan penduduk Pulau Pinang dengan meneruskan penswastaan Pulau Pinang tanpa memberikan jaminan bahawa ia tidak akan berakhir dengan satu lagi pelanunan demi keuntungan peribadi dan mengorbankan kepentingan awam.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional