red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di George Town pada hari Selasa, 7hb Ogos 2012: 

Anugerah insentif RM100,000 kepada Dato' Lee Chong Wei atas kejayaan memenangi 2 pingat perak Olimpik 

Kerajaan negeri Pulau Pinang akan memberi anugerah insentif RM100,000 kepada Dato' Lee Chong Wei atas kejayaan menjadi rakyat Malaysia pertama untuk memenangi 2 pingat perak Olimpik dan usaha gigihnya dalam Sukan Olimpik London 2012 serta sebagai galakan untuk meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik 2016. Anugerah insentif ini akan diberi melalui program ganjaran Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBA) untuk olahragawan Pulau Pinang yang bertaraf dunia.

Walaupun terkecundang kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir, Dato' Lee telah berusaha dengan gigih dan menimbulkan rasa bangga setiap rakyat Malaysia. Akhirnya, kedua-dua Lin Dan dan Dato' Lee Chong Wei telah menitis air mata. Bagi pemenang, kerana berjaya mengalahkan seorang lawan yang sangat layak iaitu Dato' Lee yang hanya kalah dengan 2 mata untuk meraih pingat emas Olimpik pertama Malaysia. Walaupun gagal memenangi pingat emas Olimpik pertama Malaysia, Dato' Lee telah menjadi juara Olimpik dalam hati setiap rakyat Malaysia.

Negeri Pulau Pinang berasa bangga dengan kejayaan juara badminton daripada Bukit Mertajam ini.

Walaupun semua rakyat Malaysia turut berkongsi kekecewaannya, semangat perjuangan dan keupayaan bertaraf dunia beliau memberi inspirasi kepada kita dan telah menyatukan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa, satu semangat dan satu jiwa. Pulau Pinang akan memberi sokongan penuh kepada Dato' Lee untuk mencapai pingat emas dalam Sukan Olimpik 2016, yang akan juga membantu mempersiapkan pengganti yang layak.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional