red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 10hb Februari 2012: 

Perdana Menteri harus memberi bantuan RM500 dan RM100 setiap tahun sebagai bukti program-program tersebut bukan hanya senjata politik 

Bayaran sekali sahaja sebanyak RM500 kepada keluarga-keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan dan bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah oleh Kerajaan Persekutuan harus diberi setiap tahun dan bukan hanya sebelum pilihan raya untuk membuktikan bahawa program-program tersebut bukan sekadar senjata politik.

Bayaran-bayaran sekali sahaja ini akan menelan belanja Kerajaan sebanyak RM1.8 bilion untuk 3.4 juta isi rumah dan RM550 juta untuk 5.5 juta pelajar. Ini bukanlah satu jumlah yang terlalu banyak memandangkan negara kita kerugian berbilion ringgit setiap tahun. Sebagai contoh, badan pemerhati kewangan yang berpangkalan di Washington iaitu Global Financial Integrity (GFI) telah melaporkan bahawa negara kita telah kehilangan RM1,077 bilion (termasuk wang rasuah) akibat dialirkan secara haram ke luar negara dari tahun 2000 hingga 2009. Ini adalah tambahan kepada skandal RM12 bilion dalam kes Port Klang Free Trade Zone, skandal RM52 bilion saham bumi dan yang terbaru RM250 juta dalam skandal "lembu dan kondo" NFC.

Daripada membazirkan wang rakyat dengan projek-projek yang melampau ini, Kerajaan patut memberi bantuan kepada rakyat yang memerlukannya dalam keadaan semasa yang dilanda inflasi tinggi dan hutang isi rumah yang melambung. Berjuta-juta rakyat Malaysia menghadapi kesusahan terutama sekali dengan kos barangan harian yang sedang meningkat seperti:

    1. Gula: RM1.45/kg (Jan 2010) kepada RM2.30 (Mei 2011) - 58% dalam 18 bulan.

    2. Telur: Greg B RM9/30biji (Sep 2010) kepada RM10/30biji (sekarang).

    3. Tarif Elektrik: kenaikan purata 7.12% pada bulan Jun 2011.

    4. Teh Tarik dan Kopi Susu: Kenaikan RM0.10 hingga RM0.20 (9.1% hingga 18.2%).

    5. Roti Gardenia: Kenaikan 5-14% (2011).

    6. Cukai Perkhidmatan: Kenaikan 1% (cukai tambahan RM720 juta untuk Kerajaan Persekutuan).

    7. Bawang: Kenaikan 17% (Dis 2010).

    8. Milo: Kenaikan 5% pada suku pertama 2011, 4% pada setengah tahun kedua 2011.

    9. Nescafe: Kenaikan 6% pada setengah tahun kedua 2011, di mana harga sudah >RM20/300gm

    10. Semua makanan kegemaran ramai seperti roti canai, char koay teow dan nasi kandar makin kecil bahagiannya walaupun harga tetap sama.

Inflasi yang kian meningkat merupakan masalah serius kerana tahap hutang isi rumah yang tinggi. Laporan Tahunan Bank Negara 2010 telah mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion ataupun 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lantas "menobatkan" Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.

Tambahan pula, nisbah bayaran hutang isi rumah Malaysia berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010, atau dalam erti kata lain, setengah daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran hutang. Biasanya, institusi kewangan tidak akan memberi pinjaman jika jumlah bayaran hutang melebihi satu pertiga pendapatan. Dengan kata lain, Malaysia kian menjadi negara penghutang.

Selain bantuan kewangan kepada rakyat, Kerajaan Persekutuan juga harus melaksanakan gaji minima. Pun begitu, gaji minima ini tidak bermakna jika ia tidak dihubungkan secara terus kepada kadar inflasi, seperti yang telah saya cadangkan dalam Persidangan Kebangsaan DAP awal tahun ini. Barulah kita boleh memartabatkan rakyat dan meningkatkan kualiti kehidupan.

Oleh itu, DAP menyeru agar Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak membuktikan keikhlasan dan komitmennya untuk membantu rakyat dengan menjadikan bantuan RM500 dan RM100 sebagai program tahunan, lantas membuktikan bahawa beliau bukan sekadar ingin "membeli" kemenangan dalam pilihan raya.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional