red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 28hb Februari 2012: 

Perdana Menteri harus menghentikan permainan pilihan raya umum 

Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak telah mendedahkan bahawa Kerajaan BN sedang bermain dengan rakyat dan jelas tidak ikhlas dalam melakukan reformasi dengan kenyataannya bahawa beliau akan memberikan lebih kuasa kepada SPRM sekiranya BN memenangi majoriti dua-pertiga dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang. Perdana Menteri harus menghentikan permainan pilihan raya dan membuktikan keikhlasannya untuk membasmi rasuah dengan mengisytiharkan harta ahli-ahli Kabinet secara terbuka dan meminda Perlembagaan Persekutuan sekarang untuk mereformasikan SPRM kerana PR akan menyokong BN untuk mencapai majoriti 2/3 yang diperlukan.

Mengikut laporan berita semalam, Najib berkata bahawa pindaan perlembagaan diperlukan untuk membentuk Suruhanjaya Perkhidmatan anti-rasuah dengan kuasa untuk melantik dan menamatkan jawatan-jawatan dalam SPRM. Kini, pegawai-pegawai SPRM dilantik melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Beliau telah menambah bahawa BN akan melakukan pindaan yang diperlukan jika mereka memenangi majoriti dua-pertiga dalam PRU akan datang.

Kenyataan ini mendedahkan ketidakikhlasan Perdana Menteri. Jika beliau betul-betul serius, beliau boleh sahaja berunding dengan PR mengenai perkara ini. PR tidak akan teragak-agak untuk menyokong. Sudah banyak kali PR telah mengenepikan perbezaan politik untuk kepentingan umum.

Adalah jelas bahawa BN tidak harus bimbang kerana tidak mempunyai majoriti dua-pertiga apabila PR bersedia untuk berunding dengan BN mengenai perkara ini dan secara amnya akan menyokong sebarang usaha untuk mengukuhkan institusi-institusi dalam usaha membasmi rasuah. Rakyat Malaysia patut mempunyai badan SPRM yang bebas dan di bawah naungan Parlimen dan bukan Perdana Menteri.

Sudah jelas bahawa SPRM tidak bebas dan ini telah menjejaskan prestasinya sampai kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International telah menurun daripada tangga ke-56 pada tahun 2010 kepada tangga ke-60 tahun lepas. Keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan hanya menekankan hakikat bahawa SPRM dalam bentuk sekarang bukan sahaja tidak bebas tetapi tidak berupaya untuk membanteras rasuah dengan efektif.

Pada masa ini, rakyat Malaysia tidak yakin bahawa SPRM berupaya untuk melakukan begitu. Sebagai contoh, tidak ada tindakan dalam skandal RM250 juta "lembu dan kondo" yang membabitkan keluarga Menteri Kabinet. Bagaimanakah rakyat Malaysia akan mengambil SPRM secara serius apabila tidak ada tindakan diambil ke atas pemimpin-pemimpin BN yang mempunyai kekayaan luarbiasa?

Akhirnya, jika Najib betul-betul ikhlas tentang reformasi dan ketelusan, beliau harus mengikuti jejak langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan mengarahkan semua Menteri-menteri dan Timbalan-timbalan Menterinya untuk mengisytiharkan harta mereka secara terbuka, sepertimana yang dilakukan Ketua Menteri dan semua ahli Exco Pulau Pinang.

Rakyat Malaysia tidak kagum dengan permainan pilihanraya BN kerana PM sudah pun mendedahkan ketidakikhlasannya untuk melakukan reformasi dengan menjanjikan pindaan perlembagaan hanya jika BN memenangi majoriti dua-pertiga apabila beliau boleh melakukannya sekarang dengan berunding dengan PR.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional