Kenyataan media oleh Lim Guan Eng in Kuala Lumpur pada hari Isnin, 30hb Julai 2012: DAP bekerjasama dengan PAS berdasarkan prinsip bersama yang memanfaatkan Rakyat Malaysia MCA dan Gerakan meneruskan serangan yang tidak bertanggungjawab dan tidak jujur kononnya DAP menyokong PAS dalam perlaksanaan undang-undang hudud dan penubuhan negara Islam serta serangan peribadi yang menampakkan keadaan terdesak mereka untuk meraih kembali sokongan yang sudah hilang. Kedua-dua MCA dan Gerakan seakan-akan "pesalah yang melemparkan tuduhan dahulu" dengan cubaan mereka untuk menutup kegagalan untuk menuntut tindakan terhadap pemimpin-pemimpin UMNO yang menyokong perlaksanaan hudud malah ke atas bukan Islam. Saya ingin mengulangi sekali lagi pendirian DAP yang tidak menyokong perlaksanaan negara Islam di Malaysia dan perlaksanaan undang-undang hudud oleh PAS. Pendirian DAP ini konsisten dan tidak pernah goyah. Namun begitu, DAP dan PAS sama-sama berkongsi pendirian untuk memerangi rasuah dan penyalah gunaan kuasa serta perlaksanaan integriti dalam kepimpinan yang berteraskan prinsip cekap, akauntabel dan telus. Kita bersetuju dalam negara berkebajikan yang melindungi rakyat yang miskin, fakir, sakit dan sesiapa yang memerlukan bantuan. DAP dan PAS boleh dan harus bekerjasama untuk masa depan rakyat Malaysia berdasarkan prinsip bersama yang menyatukan kita daripada membiarkan perbezaan ini untuk memecah belahkan kita. Untuk sebab ini, DAP dan PAS telah menandatangani "dasar bersama" yang menyatakan kerangka kerjasama kita dan dasar membina negara-bangsa kerajaan persekutuan PR masa depan. Jelas, "dasar bersama" tersebut tidak menyebut tentang perlaksaan negara Islam atau undang-undang hudud dalam kerajaan persekutuan PR masa depan. Ini berbeza dengan UMNO Pulau Pinang yang telah memanggil untuk perlaksaan hudud di Pulau Pinang dan di serata negara. Malah ADUN Kemelah, Johor daripada UMNO Ayub Rahmat telah menyeru agar Johor menjadi negeri pertama untuk melaksanakan "undang-undang hudud sebenar", yang berbeza dengan versi PAS kerana "undang-undang hudud sebenar" UMNO akan merangkumi rakyat bukan Islam juga. Bukan sahaja Ketua Pembangkang Pulau Pinang Dato’ Azhar Ibrahim tetapi Ketua Wanita UMNO Kepala Batas juga telah meluluskan ketetapan untuk menyokong undang-undang hudud untuk semua. Dalam erti kata lain, UMNO yang ingin melaksanakan undang-undang hudud ke atas bukan Islam adalah lebih ekstrim berbanding PAS yang hanya ingin melaksanakannya ke atas orang Islam. Saya tidak kedengaran pemimpin-pemimpin tertinggi Gerakan mengutuk UMNO ataupun Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menggunakan kata-kata "sida politik" terhadap UMNO. Kenapa MCA atau Gerakan tidak meninggalkan BN atas sokongan pemimpin-pemimpin UMNO terhadap hudud untuk semua? DAP tidak akan menggunakan taktik jijik dan kotor yang digunakan oleh MCA dan Gerakan terhadap pemimpin-pemimpin DAP. DAP tidak pernah menyalah gunakan imuniti parlimen untuk menonjolkan video seks Chua Soi Lek. Kami juga tidak menyerang Chua sebagai orang tidak bermoral yang mempimpin parti tidak bermoral. Kami juga tidak menjalankan kempen memburuk-burukkan sepertimana Gerakan buat terhadap saya dan keluarga saya. Malangnya, keberanian sedemikian tidak pernah ditunjuk oleh pemimpin-pemimpin Gerakan terhadap UMNO yang disokong penuh walaupun UMNO bagai tidak endah apabila gambar potret Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah dikoyakkan. Jangan kita lupa bahawa UMNOlah yang telah mengharamkan penggunaan kalimah "Allah" dalam kitab injil bahasa Melayu yang digunakan secara luas di Sabah dan Sarawak. Ini berbeza dengan PAS yang mengambil jalan sederhana yang membenarkan orang Kristian untuk menggunakan kalimah "Allah" seperti yang menjadi kelaziman selama beratus-ratus tahun di Timur Tengah dan Indonesia. Jelas terdapat perbezaan antara kerjasama DAP dengan PAS dan kerjasama MCA atau Gerakan dengan UMNO, apabila PAS dan UMNO dua-dua menyokong hudud dan negara Islam. PAS menyokong hudud secara terbuka dan tidak ingin melaksanakannya ke atas bukan Islam sementara UMNO hanya menyokong hudud untuk semua dalam media bahasa Melayu tetapi tidak dalam media bahasa Cina atau Inggeris. DAP bekerjasama dengan PAS atas prinsip bersama iaitu keadilan, kebebasan dan demokrasi dengan mata terbuka sedangkan MCA, MIC dan Gerakan menyerah diri kepada UMNO dengan mata tertutup. *Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan
|