red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 31hb Julai 2012: 

BN tidak patut menandatangani dan memuktamadkan apa-apa perjanjian dengan Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd sehingga selepas pilihan raya umum yang akan datang 

BN harus memberi jaminan bahawa mereka tidak akan menandatangani atau memuktamadkan apa-apa perjanjian dengan Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd atau Seaport sehingga selepas pilihan raya umum yang akan datang untuk membenarkan rakyat Pulau Pinang menentukan sama ada mereka bersetuju dengan penswastaan ini atau menolak penlanunan Pelabuhan Pulau Pinang kepada kroni BN. Ini berikutan pendedahan The Malaysian Insider hari ini bahawa kerajaan persekutuan BN sedang melambatkan penjualan Pelabuhan Pulau Pinang kepada tauke logistik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sehingga selepas pilihan raya umum kerana risau bahawa tentangan awam terhadap perjanjian ini akan menjejaskan undi BN.

Kerajaan negeri Pulau Pinang menolak penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang atas 5 sebab:

a) Tiada tender terbuka kerana hanya mereka yang dijemput sahaja dibenarkan untuk membuat bidaan.

b) Tiada sangkalan Menteri Kewangan atau Menteri Pengangkutan terhadap dakwaan Pengerusi Penang Port Commission Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa Pelabuhan Pulau Pinang akan dijadikan pelabuhan penghantar yang akan memainkan peranan sokongan kepada dua pelabuhan lain iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Pasir Gudang.

c) Tiada peruntukan RM353 juta untuk mengorek saluran pelabuhan kepada sekurang-kurangnya 15-17 meter dengan segera sebelum penswastaan dijalankan.

d) Tiada rundingan awam dengan pihak-pihak berkepentingan dalam industri perkapalan, kerajaan negeri Pulau Pinang serta rakyat Pulau Pinang.

e) Tiada pendedahan rancangan atau jumlah pelaburan Seaport dan bagaimana penswastaan barang awam ini (Pelabuhan Pulau Pinang) boleh memanfaatkan rakyat Pulau Pinang dan mengembalikan status Pelabuhan Pulau Pinang kepada pelabuhan komersial serantau yang bertaraf dunia.

Kelima-lima TIADA ini akan menjadi antara isu utama yang akan ditentukan oleh rakyat Pulau Pinang dalam pilihan raya umum sama ada mereka menyokong penswastaan atau menolak penlanunan suatu barang awam. Lagi satu sebab kerajaan persekutuan tidak patut menandatangani apa-apa perjanjian dengan Seaport, adalah supaya kerajaan persekutuan PR yang baru tidak akan dibelenggui kesulitan undang-undang dalam usaha untuk membatalkan perjanjian tersebut.

Kerajaan persekutuan BN harus buktikan bahawa mereka mengutamakan kepentingan rakyat Pulau Pinang dengan membuat kerja korek sekarang, di mana RM353 juta kos untuk mengorek harus dibiayai oleh kerajaan persekutuan seperti yang dijanjikan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dan 10. Dalam semangat demokrasi, biarlah rakyat Pulau Pinang menentukan dalam pilihan raya umum yang akan datang sama ada mereka menyokong atau menolak penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang kepada Seaport seperti yang dicadangkan BN.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional