red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Khamis, 7hb Jun 2012: 

Tiada projek pembangunan di kawasan bukit lebih daripada 250 kaki bawah tadbiran Pakatan Rakyat 

Serangan media terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat diteruskan secara berlanjutan dengan satu lagi laporan muka depan oleh akhbar The Star yang bertumpu kepada harga hartanah yang kian meningkat di Pulau Pinang. Sementara tiada sesiapa pun yang menafikan kenaikan harga hartanah di Pulau Pinang, kenapakah kenaikan harga hartanah di negeri-negeri yang ditadbir Barisan Nasional seperti Johor dan Kuala Lumpur tidak pula dipedulikan malah tidak pula diberi penghormatan untuk duduk di muka depan harian The Star.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengecam keras perbuatan The Star di atas laporan palsunya terhadap Pulau Pinang semalam dengan tajuk sensasi, "The Dying Hills" (Bukit-bukau Yang Nazak). Bukit bukau di Pulau Pinang tidak nazak disebabkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sekarang kerana tidak ada satu pun projek di kawasan melebihi 250 kaki tinggi yang diluluskan. Pulau Pinang memiliki peraturan paling ketat bagi keselamatan pembangunan cerun dan tebing bukit dalam negara ini, hasil rangkaan jurutera geoteknikal lulusan Oxford, Prof Dr Gue See Sew, mantan pengerusi antarabangsa bagi jawatankuasa koordinasi Apec Engineers dan presiden Institut Jurutera Malaysia.

Tambahan kepada itu, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri dalam Malaysia yang melarang pembangunan di kawasan bukit melebihi had tinggi 250 kaki. Jadi apa sebenarnya tujuan The Star, apabila ia tidak pula melaporkan perihal negeri BN lain yang membiarkan pembangunan di kawasan bukit yang melebihi had 250 kaki? Kenapa The Star tidak pula mahu melaporkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat tidak meluluskan satu pun cadangan pembangunan di kawasan bukit melebihi had 250 kaki tinggi?

31 buah projek pembangunan telah diluluskan oleh Kerajaan Barisan Nasional dahulu di kawasan tanah bukit melebihi had 250 kaki tinggi, manakala tiada langsung projek yang diluluskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sekarang. Menurut Yang di Pertua MPPP Ar. Patahiyah binti Ismail, terdapat 8 projek yang diluluskan di kawasan melebihi 250 kaki tinggi antara tahun 1985 hinffa 2004, manakala 3 lagi diluluskan pada 2005, 10 projek pada 2006, lapan projek lagi pada 2007 dan 2 projek diluluskan antara Januari dan Mac 2008.

Kerajaan Pakatan Rakyat sekarang tidak meluluskan satu pun projek melebihi 250 kaki tinggi. Bahkan kesemua 38 buah projek lereng bukit yang diluluskan dalam dua tahun untuk ketinggian bawah 250 kaki, separuh daripadanya adalah untuk ruang terbuka dan kawasan hijau, tanpa struktur bangunan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat kesal apabila ketaatan kami terhadap peraturan keselamatan lereng bukit ini telah dimanipulasi menjadi senjata politik terhadap Pakatan Rakyat, walhal negeri-negeri lain yang mempunyai rekod jauh lebih buruk tidak pula dikenakan apa-apa tindakan. Mudah-mudahan mereka yang suka kepada pertarungan yang adil tanpa permainan kotor akan dapat mendengar dengan hati terbuka dan tidak membiarkan diri dipergunakan oleh agenda Barisan Nasional, terutamanya apabila Pilihanraya Umum ke 13 kini semakin hampir.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional