red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://speakforperak.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Ipoh pada hari Khamis, 8hb Mac 2012:

Najib mahu 'Nambikai' kerana hilang kepercayaan masyarakat India

Pada hari Thaipusam yang lepas Perdana Menteri Najib Tun Razak telah menyeru masyarakat India untuk 'Nambikai' terhadap kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinannya. Perkataan 'Nambikai' dalam Bahasa Tamil itu bermaksud menaruh kepercayaan. Selepas 54 tahun Barisan Nasional memerintah tiba-tiba Perdana Menteri menggunakan perkataan 'Nambikai' kepada masyarakat India. Ini terbukti bahawa masyarakat India di negara kita telah hilang 'Nambikai' terhadap MIC dan Barisan Nasional. Pengundi-pengundi India merupakan 'fixed deposit' untuk Barisan Nasional di Semenajung Malaysia. Lebih kurang 80% dari kalangan masyarakat India telah menyokong Barisan Nasional dalam pilihanraya-pilihanraya umum sebelum PRU12. Walau bagaimanapun, dalam PRU 12 masyarakat India telah membuat satu perubahan besar dalam percaturan politik tanahair. Sebilangan besar pengundi-pengundi India telah menyokong DAP, PAS dan PKR dalam pilihanraya itu.

Perubahan ini berlaku kerana kekecewaan masyarakat India di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Kerajaan tidak serius dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum India. Dalam erti kata yang lain, Barisan Nasional membuat polisi-polisi negara tanpa mempedulikan kewujudan kaum minoiriti ini. Sering kali golongan ini tercicir dalam program-program pembangunan. Tambahan pula, kaum India menghadapi pelbagai tekanan hidup sosio-ekonomi. Nyata sekali, orang-orang India merasakan polisi diskriminasi yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Akhirnya kaum India telah mengambil keputusan untuk mengubah pola mengundi dalam pilihanraya yang lepas.

Selepas mengalami tamparan daripada masyarakat India, sekarang Barisan Nasional sedang berusaha sedaya upaya untuk mengambil hati orang-orang India. Pimpinan Barisan Nasional sedar bahawa sokongan orang-orang India adalah penting untuk menentukan kemenangan mereka. Oleh itu, pelbagai program diatur untuk membeli undi masyarakat India. Tetapi, program-program yang diatur tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat India. Barisan Nasional hanya memberi hamper, makan percuma, wang dan sebagainya. Semua ini adalah pemberian-pemberian sagu hati dengan harapan orang-orang India mudah dibeli. Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional cuba memperkecilkan masyarakat India dengan pemberian-pemberian kecil dan tidak seberapa itu.

Masalah yang dihadapi oleh orang-orang India masih tidak dipedulikan oleh pimpinan Barisan Nasional. Mereka berlakon seolah-olah tidak nampak masalah sebenar yang dihadapi oleh masyarakat India di negara ini. Berikut adalah antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian tetapi telah diabaikan oleh Barisan Nasional:

  1. Peluang pekerjaan dalam sektor awam

  2. Peluang belajar dalam bidang iktisas

  3. Peluang mendapat biasiswa dalam dan luar negeri

  4. Peluang mendapat kontrak dan perniagaan

  5. Bantuan Kebajikan kepada orang-orang yang tidak mampu

  6. Bantuan peruntukan yang cukup untuk memperbaiki dan membina sekolah-sekolah Tamil

  7. Tanah untuk membina rumah kediaman bagi penduduk-penduduk setinggan

  8. Tanah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pertanian dan penternakan

  9. Taraf kewarganegaraan kepada semua yang memegang kad pengenalan merah

  10. Jawatan-jawatan politik yang penting dan secukupnya yang mewakili komposisi rakyat

Selagi masalah-masalah ini tidak diselesaikan oleh Barisan Nasional adalah tidak wajar untuk Perdana Menteri untuk menyeru masyarakat India ‘Nambikai’ terhadap kerajaan beliau. Pada pendapat saya, Perdana Menteri cuba memperdayakan masyarakat India dengan kata-kata manis. Kita perlu berhati-hati supaya tidak terjerat beramai-ramai dalam pukat yang dibuang oleh Barisan Nasional.


* V. Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & ADUN kawasan Tronoh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional