red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari di Komtar, George Town pada hari Sabtu, 24hb Mac 2012:

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan tegas ke atas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang dan suratkhabar milikan UMNO

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan tegas ke atas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin dan suratkhabar milikan UMNO seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian sekiranya mereka terus menaburkan fitnah berkaitan dengan perkara-perkara agama dengan tujuan mencetuskan kebencian ke atas pemimpin bukan Islam seperti Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Shaik Hussein Mydin sudah pun terbukti sebagai seorang yang tidak bermaruah kerana enggan menepati janji serta sanggup memainkan fitnah perkauman dan agama semata-mata untuk menghasut rakyat terhadap Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, beliau mendakwa bahawa Ketua Menteri Lim Guan Eng telah mengabaikan dan menolak sokongan masyarakat India dalam ucapan Ketua Menteri di sebuah majlis makan malam DAP pada 13 Mac 2012.

Ekoran daripada itu, saya telah menyangkalnya dan mengemukakan transkrip ucapan Ketua Menteri sebagai bukti bahawa tuduhan Shaik semata-mata adalah suatu pembohongan dan fitnah yang jahat.

Beliau tidak puas hati, lantas mencabar saya untuk menyiarkan klip video ucapan tersebut dalam laman web Malaysiakini. Malah, beliau berkata bahawa sekiranya terbukti salah, beliau akan memohon maaf.

Justeru, saya telah menyahut cabarannya dan menayangkan video itu kepada para wartawan dalam sidang akhbar pada 19 Mac 2012. Video itu juga telah dimuat naik ke dalam laman web Youtube serta Malaysiakini.

Walaupun sudah jelas dibuktikan salah, Shaik Hussein enggan meminta maaf. Sebaliknya, beliau menuduh bahawa video tersebut telah dipalsukan. Inilah standard pemimpin UMNO yang bukan sahaja tidak cakap serupa bikin tetapi tetap bangga dengan budaya fitnah dan pembohongan mereka. Sudahlah beliau tidak ingin mengaku kesilapan dan menunaikan janji yang dibuat secara terbuka, sekarang beliau tergamak membuat kenyataan fitnah yang baru.

Mengikut laporan-laporan akhbar semalam, Shaik Hussein telah menuduh Ketua Menteri melakukan "tindakan sangat biadap" dan "menggangu-gugat harta milik orang Islam" dengan menjual tapak masjid dan sekolah di Bayan Mutiara kepada pemaju swasta. Beliau juga menambah bahawa penjualan itu telah dilakukan secara rundingan. Adalah jelas di sini bahawa Shaik Hussein sengaja cuba menutup fitnah lamanya dengan fitnah baru dengan sengaja memutar belit fakta semata-mata untuk memainkan isu perkauman dan agama. Ini sangat bahaya kerana selepas usaha permainan perkauman dengan isu kaum India, beliau kini mencuba untuk memainkan isu perkauman Melayu dan agama Islam.

Umum mengetahui bahawa tanah seluas 102.6 ekar di Bayan Mutiara telah dijual kepada syarikat pemaju Ivory Properties Bhd melalui proses tender terbuka. Sungguhpun tender terbuka dijalankan, UMNO cuba membuat fitnah bahawa tender terbuka tidak dijalankan. Timbullah keganjilan di Malaysia di mana tender terbuka PR mahu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia(SPRM) sedangkan tender tertutup BN langsung tidak perlu disiasat.

Susulan daripada transaksi penjualan tanah yang dibuat secara tender terbuka itu, pelan pembangunan baru harus dikemukakan oleh pemaju kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang untuk kelulusan. Pelan baru ini belum disiapkan lagi. Bagaimana UMNO boleh mendakwa bahawa tidak ada tapak untuk surau atau sekolah? Sebagai sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang pasti tidak akan membenarkan mana-mana tanah yang diperuntukkan bagi surau, masjid mahupun sekolah dihilangkan.

Oleh itu, dakwaan Shaik Hussein adalah tidak berasas sama sekali. Saya tidak tahu sama ada beliau membuat kenyataan seperti ini kerana bermotifkan fitnah ataupun kerana kejahilannya mengenai prosedur-prosedur perancangan dan pembangunan. Mungkin kali ini beliau telah bertindak atas kejahilan. Akan tetapi, sekiranya fitnah-fitnah ini diulang sekali lagi, kerajaan negeri tidak akan tergesa-gesa untuk mengambil tindakan yang lebih keras terhadap Shaik Hussein, Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Saya ingin ulangi sekali lagi bahawa sebagai sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat, sudah pasti Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang tidak akan membenarkan mana-mana tanah yang diperuntukkan bagi surau, masjid mahupun sekolah dihilangkan begitu sahaja.

Saya ingin menasihati Shaik Hussein, Utusan Malaysia dan Berita Harian supaya jangan bermain dengan api hasutan yang bahaya. Shaik Hussein sudah terbukti tidak bermaruah kerana enggan menepati janji yang dibuat secara terbuka untuk meminta maaf apabila dibuktikan salah. Lebih teruk lagi, beliau sekarang sanggup memfitnah dan memainkan isu perkauman dan agama semata-mata untuk menghasut rakyat terhadap Kerajaan Negeri dan mencetuskan kebencian terhadap seorang pemimpin bukan Islam atas dasar fitnah yang jahat sekali.


* Zairil Khir Johari, Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional