red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://wengsan.blogspot.com/ 

 

 

Ucapan oleh Lau Weng San semasa membentang Usul No. 9 Tahun 2012 di Shah Alam pada hari Selasa, 27hb Mac 2012:

Menggesa Kerajaan Persekutuan menghapuskan kutipan tol Lebuhraya Persekutuan II, iaitu di Sungai Rasau dan Batu Tiga

Kampung Tunku dengan ini mencadang supaya usul yang berbunyi seperti di bawah dapat diluluskan dalam Dewan Yang Mulia ini:

"Bahawa Dewan yang mulia ini menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menghapuskan kutipan tol Lebuhraya Persekutuan II, iaitu di Sungai Rasau dan Batu Tiga."

Setelah kerajaan persekutuan membuat pengumuman untuk memansuhkan kutipan tol Lebuhraya Cheras-Kajang di plaza tol batu 9 (iaitu dari Kajang ke Cheras) dan batu 11 (dari Cheras ke Kajang), kini sudah sampai masanya untuk kerajaan menghapuskan kutipan tol untuk Lebuhraya Pesekutuan II di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau.

Sejarah Lebuhraya Persekutuan ini bermula sejak pemisahan Singapura dari Malaysia, yang menyebabkan Kerajaan Persekutuan berusaha membangunkan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama negara bagi menggantikan Pelabuhan Singapura.

Jalan Kuala Lumpur- Klang yang sedia ada perlu dinaik taraf menjadi sebuah lebuhraya ekspres. Dengan pinjaman daripada Bank Dunia, kerja-kerja naik taraf telah bermula pada tahun 1974 sehingga tahun 1977. Lebuhraya Persekutuan pada asalnya adalah lebuh raya empat lorong kecuali di bahagian Petaling Jaya di mana lebuh raya ini menjadi enam lorong. Sejak itu, pelbagai aktiviti pembangunan telah bertumbuh pesat di kawasan-kawasan sekitar Lebuhraya Persekutuan ini pada tahun 1970-an dan 80-an.

Pada tahun 1992 Plus Expressway Berhad (PLUS) sebagai pemegang konsesi Lebuhraya Utara Selatan, telah dipilih oleh kerajaan untuk menaiktaraf keseluruhan lebuhraya ini kepada enam lorong. Hakikatnya, PLUS diberi hak konsesi untuk mengutip tol di Plaza Tol Batu Tiga (RM1.10 untuk kereta) dan Plaza Tol Sungai Rasau (RM1 untuk kereta).

Sejak itu, penduduk-penduduk Lembah Klang, khususnya mereka yang sentiasa berulang-alik antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang terpaksa membayar tol semasa mengguna Lebuhraya Persekutuan II setiap hari.

Lebuhraya Persekutuan yang menjadi lebuhraya utama di Lembah Klang telah mengalami peningkatan kadar trafik yang begitu pesat sehingga kapasiti lebuhraya tersebut mencapai kemuncaknya pada pertengahan 1990-an. Kesesakan ini bertambah perit setiap hari pada peak hour. Dijangkakan Lebuhraya Persekutuan menampung kira-kira 30,000 kenderaan setiap hari.

Kesesakan lalulintas sepanjang lebuhraya ini diperitkan lagi dengan kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau. Pengguna-pengguna lebuhraya rata-ratanya tidak berpuas hati dengan kesesakan lalulintas sepanjang lebuhraya ini walaupun mereka terpaksa membayar tol setiap kali mereka berulang-alik di sekitar Subang Jaya, Shah Alam atau Klang.

Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga telah menyatakan dengan jelas bahawa kutipan tol untuk semua lebuhraya berbayar di Malaysia boleh dihapuskan. Ini berdasarkan perjanjian-perjanjian konsesi yang ditandatangani oleh kerajaan dengan syarikat-syarikat konsesi yang memperuntukkan satu klausa yang berbunyi "expropriation clause" yang membenarkan kerajaan persekutuan untuk membelli balik lebuhraya itu atas kepentingan nasional.

Di bawah klausa ini, kerajaan persekutuan dibenarkan untuk menamatkan dan membeli balik lebuhraya-lebuhraya ini dengan membayar balik kos pembinaan lebuhraya dicampur dengan apa-apa bentuk faedah yang perlu dibayar ditolak daripada apa-apa bentuk geran atau pinjaman kerajaan.

Justeru itu, tuduhan bahawa pembelian ballik semua lebuhraya bertol di Malaysia adalah tidak praktikal ialah tuduhan liar tanpa mengikut fakta. Lebih-lebih lagi, kerajaan persekutuan telah mula mengambil langkah bagi memansuhkan kutipan tol untuk Lebuhraya Cheras-Kajang dan membekukan kenaikan tol untuk beberapa lebuhraya sebelum ini.

Jikalau kesemua ini boleh dilakukan dan seruan ini disokong oleh parti pembangkang seperti UMNO Bahagian Shah Alam, maka saya tidak menampak sebarang sebab kerajaan persekutuan untuk tidak memansuhkan kutipan tol di Lebuhraya Persekutuan II. Hakikatnya, ini akan mendatangkan lebih banyak kebaikan daripada keburukan kepada rakyat dan kerajaan.

Oleh itu, Kampung Tunku mohon mencadang agar Kerajaan Persekutuan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memansuhkan kutipan tol Lebuhraya Persekutuan II, iaitu di Sungai Rasau dan Batu Tiga.


* Lau Weng San, Setiausaha Organisasi Negeri DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional