red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 23hb Mac 2012: 

Kritikan Najib terhadap DAP kerana memilih untuk tidak menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai loji nadir bumi Lynas dikesali  

Kritikan Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak terhadap DAP kerana memilih untuk tidak menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai loji nadir bumi Lynas dengan menyatakan bahawa penyelesaian yang tidak partisan diperlukan demi kepentingan awam adalah dikesali kerana tidak berdasarkan fakta. Keputusan DAP dan PR untuk tidak menyertai PSC adalah semata-mata atas kepentingan awam kerana DAP tidak mahu membantu BN untuk menutup kesalahannya dan menipu rakyat bahawa loji Lynas itu selamat.

Dato' Sri Najib harus menarik balik kenyataannya pada 17 Mac 2012 yang dilaporkan oleh Bernama untuk menunjukkan keseriusan dan keikhlasan kenyataan terbarunya dalam program radio bahasa Mandarin 988 semalam bahawa Kerajaan BN tidak akan membenarkan loji nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan, untuk beroperasi sekiranya terdapat bukti saintifik yang menunjukkan bahawa ia berbahaya kepada kesihatan dan alam sekitar.

Bernama telah melaporkan kenyataan Najib pada 17.3.2012 sebagai berkata:

Jawatankuasa pilihan khas (PSC) mengenai Lynas tidak akan membuat keputusan mengenai nasib loji nadir bumi yang berkontroversi itu. Sebaliknya, PSC itu adalah sebahagian daripada proses penglibatan awam supaya rakyat dapat memahami isu-isu berkenaan dan supaya kita boleh meyakinkan kumpulan-kumpulan yang masih sangsi sama ada projek itu selamat atau tidak. Beliau menambah bahawa beliau mengharapkan PSC akan meningkatkan kesedaran mengenai projek itu supaya "kita boleh mencapai keselesaan dari segi penerimaan orang ramai".

Melihat apa yang dikatakan Perdana Menteri pada 17.3.2012, PSC itu jelas direka oleh BN sebagai fait accompli untuk menghalalkan loji Lynas dan memaksa orang awam menerimanya tanpa mempedulikan soal keselamatan, alam sekitar dan kesihatan. Kerana ini, PR dan DAP enggan menyertai PSC untuk menghalalkan sesuatu yang pada dasarnya salah dan bercanggah dengan kepentingan awam. Dengan mengatakan bahawa PSC itu tidak akan membuat keputusan mengenai nasib Lynas, adalah jelas bahawa PSC itu tidak relevan.

Tindakan Dato' Sri Najib untuk bertukar nada dengan mengatakan bahawa PSC itu merupakan "dasar kuat untuk membuat keputusan" mengenai Lynas adalah "flip-flop" dan bertentangan kenyataan 17 Mac beliau. Adalah jelas bahawa perubahan pendirian ini adalah hasil daripada tindakan PR untuk memboikot PSC itu. Namun begitu, "flip-flop" yang berlaku ini menimbulkan soalan sama ada Perdana Menteri serius dan ikhlas untuk menutup Lynas sekiranya bukti bahaya terhadap alam sekitar, kesihatan dan keselamatan awam dapat ditunjukkan.

Untuk membuktikan komitmen dan keseriusannya, Dato' Sri Najib harus menarik balik secara terbuka kenyataannya pada 17 Mac, memberi arahan henti kerja serta merta kepada Lynas dan mengisytiharkan bahawa Kerajaan BN sanggup membayar pampasan sekurang-kurangnya RM700 juta yang telah dibelanjakan Lynas untuk membina loji tersebut. Sebarang kegagalan untuk melakukan demikian hanya akan menimbulkan keraguan mengenai integriti PSC yang dipimpin Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Kahled Nordin sebagai alat politik BN untuk menghalalkan yang haram dan mewajarkan yang tidak wajar.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional