red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 21hb Mei 2012:

Dakwaan penghijrahan keluar 18 ribu orang Melayu dari Pulau Pinang bercanggah dengan hakikat pertambahan 35 ribu pengundi Melayu sejak 2008

Saya merujuk kepada laporan Berita Harian pada 21 Mei 2012 yang mendakwa bahawa lebih 18,000 orang Melayu Pulau Pinang telah berhijrah ke negeri lain di antara tahun 2009 hingga 2010 akibat tidak mampu menampung kos sara hidup yang terlalu tinggi di negeri tersebut.

Laporan itu telah memetik bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, sebagai berkata bahawa hasil kajian tersebut "membuktikan Bumiputera Pulau Pinang dipinggirkan secara halus oleh kerajaan negeri pimpinan DAP".

Dalam kenyataannya, Mohammad Fairus telah menggunakan hasil kajian Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi Pulau Pinang (PReCISE), iaitu sebuah unit yang ditubuhkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP).

Sebenarnya, kesahihan dakwaannya adalah amat diragui, terutamanya kerana ia bercanggah dengan perangkaan dalam daftar pengundi Pulau Pinang sejak tahun 2008 hingga 2011, yang jelas membuktikan bahawa bilangan pengundi Melayu di Pulau Pinang telah bertambah dengan begitu banyak sekali.

Bilangan pengundi Melayu di Pulau Pinang telah bertambah daripada 247,131 orang pada tahun 2008 kepada 282,062 pada tahun 2011, iaitu pertambahan sebanyak 34,931 orang, atau hampir dua kali ganda angka 18,154 yang didakwa oleh kajian PReCISE sebagai telah meninggalkan Pulau Pinang.

Jika diteliti lagi, kita mendapati bahawa bilangan pengundi Melayu juga telah meningkat dengan banyak di kawasan-kawasan pulau seperti Balik Pulau dan Bayan Baru, iaitu peningkatan sebanyak 5,120 dan 4,093 orang masing-masing. Ini bermakna bahawa masyarakat Melayu masih lagi komited untuk memperkukuhkan suara dan penyertaan mereka dalam pembangunan sosio-politik negeri Pulau Pinang.

Bagaimanakah boleh dikatakan bahawa ramai orang Melayu telah berhijrah keluar sedangkan bilangan pengundi Melayu telah bertambah dengan begitu banyak, malah dua kali ganda angka yang didakwa oleh kajian tersebut?

Saya tidak tahu apa niat sebenar Mohammad Fairus, tetapi adalah jelas bahawa nada yang digunakannya berunsur perkauman. Sekiranya logik Mohammad Fairus yang mengaitkan penghijrahan orang dengan penindasan perkauman itu benar, adakah ianya bermaksud bahawa jika terdapat pengurangan atau penghijrahan bukan Melayu di negeri-negeri lain maka mereka telah dipinggirkan oleh kerajaan negeri masing-masing?

Jelas terbukti bahawa Mohammad Fairus sekadar menggunapakai logik yang tidak berasas untuk memainkan sentimen perkauman. Pendirian yang berbaur perkauman ini adalah amat tidak bertanggungjawab dan hanya mendedahkan belangnya sebagai seorang hipokrit kerana menyerang kerajaan yang pernah disertainya setelah gagal menjalankan tugasnya sebagai timbalan ketua menteri dengan baik.

Umum mengetahui bahawa semua dasar kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah dasar-dasar yang bersifat adil kepada semua tanpa mengira warna kulit atau agama.

Pelbagai rancangan dan program telah dilaksanakan untuk membantu warga Pulau Pinang untuk menampung kos kehidupan termasuk bantuan-bantuan kebajikan dan tabung perumahan mampu milik berjumlah RM500 juta yang akan digunakan untuk menyediakan perumahan mampu milik di seluruh negeri Pulau Pinang. Tambahan kepada fasa pertama perumahan mampu milik di Batu Kawan, kerajaan negeri juga telah mengumumkan fasa kedua yang akan membabitkan kawasan-kawasan pulau seperti di Daerah Timur Laut dan Barat Daya.


* Zairil Khir Johari, Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional