red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 2hb Mei 2012: 

Penetapan gaji minima RM900 sebulan di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah dan Sarawak oleh Kerajaan Persekutuan BN tidak mencukupi  

Pengumuman Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak bahawa gaji minima bagi sektor swasta ditetapkan pada kadar RM900 sebulan untuk pekerja di Semenanjung dan RM800 sebulan di Sabah dan Sarawak adalah sangat tidak mencukupi kerana ia adalah lebih rendah daripada gaji minima yang disyorkan Pakatan Rakyat iaitu RM1,100 sebulan. PR telah mencadangkan RM1,100 sebagai gaji minima yang merangkumi semua elaun tetapi tidak termasuk bayaran lebih masa.

Penetapan gaji minima RM900 sebulan di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah dan Sarawak oleh Kerajaan Persekutuan BN tidak mencukupi dan bukan sahaja mendiskriminasikan pekerja tetapi menunjukkan kekurangan komitmen oleh BN untuk membasmi kemiskinan kerana ia jauh di bawah garis kemiskinan di Malaysia Timur. Hakikatnya, kuantum RM900/RM800 adalah terlalu rendah dan tidak mencukupi untuk menanggung kos sara hidup seorang pekerja. Walaupun ia akan membawa sedikit kelegaan kepada satu pertiga pekerja di negara kita yang kini berpendapatan kurang daripada RM700 sebulan, hakikatnya RM800 sebulan untuk Sabah dan Sarawak bermakna bahawa pekerja-pekerja di sana akan terus hidup dalam kemiskinan.

Mengikut Rancangan Malaysia Ke-9, garis kemiskinan (PLI) adalah RM830 sebulan bagi Sarawak dan RM960 di Sabah. Ini adalah kerana kos sara hidup di kedua-dua negeri itu adalah lebih tinggi berbanding di Semenanjung, yang mempunyai PLI RM720 sebulan. Dalam erti kata lain, meskipun gaji minima RM800 dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, ia masih lagi jauh d bawah PLI yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

Tambahan kepada gaji minima RM1,100 sebulan yang dicadangkan PR, dan yang berupaya untuk memenuhi keperluan asas pekerja-pekerja di serata negara, kita harus sedar bahawa Malaysia sedang menjadi negara penghutang di mana isi-isi rumah kita membelanjakan semua dan lebih daripada pendapatan mereka. Sebagai contoh, Laporan Tahunan Bank Negara 2010 telah mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion ataupun 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lantas "menobatkan" Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.

Tambahan pula, nisbah bayaran hutang isi rumah Malaysia berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010, atau dalam erti kata lain, setengah daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran hutang. Biasanya, institusi kewangan tidak akan memberi pinjaman jika jumlah bayaran hutang melebihi satu pertiga pendapatan. Dengan kata lain, Malaysia kian menjadi negara penghutang.

Oleh itu, gaji minima tidak mencukupi tanpa dua pertimbangan yang mustahak. Pertama, kuantum gaji minima haruslah dikaitkan secara langsung kepada Indeks Harga Pengguna, supaya ia akan disesuaikan dengan kadar inflasi. Ini akan memastikan taraf dan kualiti kehidupan tidak terjejas dan akan dilindungi.

Kedua, usaha menaikkan taraf kehidupan rakyat Malaysia memerlukan strategi ekonomi yang tuntas dan disasarkan kepada kenaikan pendapatan boleh guna. Dalam erti kata lain, kita harus memastikan rakyat mempunyai lebih banyak wang dalam saku. Ini tidak boleh dilakukan hanya dengan menetapkan gaji minima. Dalam konteks yang lebih besar, kita harus menangani kemasukan buruh asing tidak mahir dan kesan tekanan gaji yang menyusul sebagai akibatnya, meningkatkan kemahiran dan produktiviti pekerja tempatan dan juga meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja.

Selain itu, kerajaan harus melabur dalam sektor-sektor utama seperti pengangkutan awam, perumahan dan kesihatan. Jika kos sara hidup diturunkan, pendapatan boleh guna akan meningkat. Konsepnya adalah mudah ¨C jika kos dikurangkan untuk perjalanan ulang-alik ke tempat kerja, membeli rumah dan membayar bil kesihatan, maka semua orang akan mempunyai lebih banyak wang. Bayangkan sekiranya setiap rakyat Malaysia mempunyai RM10 lebih setiap hari, kesan pengganda ekonomi adalah besar iaitu RM280 juta lebih akan diedarkan dalam ekonomi setiap hari. Ini bukan jumlah kecil. Dalam erti kata lain, jika kita boleh meningkatkan kuasa membeli rakyat kita terutamanya di kalangan golongan berpendapatan rendah, kita akan berjaya meningkatkan permintaan tempatan dan mewujudkan ekonomi yang lebih sihat di Malaysia.

Oleh itu, kita sangat kecewa dengan gaji minima RM900 sebulan di Semenanjung dan RM800 sebulan di Sabah dan Sarawak yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan, yang bukan hanya tidak mencukupi untuk menanggung keperluan asas pekerja-pekerja, tetapi juga jauh lebih rendah daripada garis kemiskinan RM830 sebulan di Sarawak dan RM960 sebulan di Sabah.

Bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula, kita komited kepada cadangan PR iaitu RM1,100 sebulan dan sebenarnya sudah pun mencapai gaji minima RM1,100 (termasuk elaun dan COLA) tanpa mengira bayaran lebih masa. Dalam kata lain, semua kakitangan kerajaan di dalam semua agensi kerajaan negeri dan GLC di Pulau Pinang serta majlis-majlis perbandaran MPPP dan MPSP mempunyai pendapatan lebih daripada RM1,100 sebulan. Tahun lepas, penyapu jalan dan pencuci longkang di MPPP dan MPSP juga telah diberi insentif bulanan sebanyak RM150 sebulan.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional