red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Ucapan penggulungan oleh Lim Guan Eng di Mesyuarat Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Kedua Belas, Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada hari Selasa, 8hb Mei 2012: 

Pulau Pinang memimpin semula di Malaysia  

Saya, ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan yang melibatkan semua portfolio Exco-exco Kerajaan Negeri.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu yang akan disambut pada 13 Mei 2012 nanti serta Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada guru-guru yang akan disambut pada 16 Mei 2012.

Yang Berhormat Dato' Speaker

Yang Berhormat ADUN Penaga telah mempersoalkan apa gunanya rizab banyak kalau wang itu tidak digunakan.

Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Penaga, prestasi perbelanjaan Kerajaan Negeri yang merangkumi perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan dari tahun 2004 sehingga 2011 adalah seperti berikut:

Tahun 2004 2005 2006 2007 2008 2009 2010 2011
Perbelanjaan (RM juta) 327.32 297.74 380.30 381.64 435.09 468.38 603.11 635.63

Sungguhpun perbelanjaan terkumpul Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dalam tahun 2008 sehingga 2011 meningkat 54.45% ke RM2,142.21 juta (RM2.142 bilion) berbanding dengan jumlah perbelanjaan RM1,387.0 juta (RM1.387 bilion) bagi empat tahun sebelumnya iaitu 2004-2007, maka lebihan bajet (surplus) kian meningkat terus dan akan dijangka mencapai rekod terbesar bagi tahun kewangan 2011.

Kedudukan baki akaun Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk tahun 2007 adalah berjumlah RM847.45 juta dan untuk tahun 2010 telah meningkat kepada RM1,131.17 juta iaitu meningkat sejumlah RM283.72 juta atau 33.48%.

Yang Berhormat ADUN Pinang Tunggal telah membangkitkan isu penjualan tanah tapak Bayan Mutiara – Kerajaan Negeri dipohon untuk mendedahkan proses penjualan tender bagi pembangunan kawasan Bayan Mutiara. Terdapat sebuah syarikat yang menawarkan harga tertinggi tetapi telah ditolak kerana tidak mematuhi syarat tender iaitu terlewat dikemukakan tawaran. Adakah syarikat Ivory mematuhi kesemua syarat-syarat tender.

Tanah tapak Bayan Mutiara seluas 102.56 ekar (termasuk kawasan yang belum ditebusguna seluas 35 ekar) telah dijual kepada pihak Ivory Properties Group Berhad (IPGB) secara tender terbuka melalui kaedah "Request For Proposal" (RFP) bagi tujuan pembangunan bercampur.

Tawaran tender terbuka yang kompetitif ini dibuka pada 16 Ogos 2010 dan tutup pada 31 Disember 2010 dengan harga rizab sebanyak RM200.00 sekaki persegi dan bayaran earnest deposit sebanyak RM1.2 juta.

Sebanyak empat (4) syarikat telah mengemukakan tawaran seperti berikut:-

a) Chia Tai Xingye Ind. Dev. Ltd;

b) SP Setia Berhad;

c) Ivory Properties Group Berhad;

d) AG Pearl Sdn. Bhd. (tawaran syarikat ini ditolak kerana gagal mengemukakan bayaran earnest deposit berjumlah RM1.2 juta sepertimana yang telah disyaratkan).

Tiga syarikat yang layak telah membentangkan cadangan pembangunan masing-masing kepada Jawatankuasa Penilaian pada 18 Februari 2011 dan 3 Mac 2011.

Untuk makluman Yang Berhormat, pihak PDC telah memperolehi penilaian harga tanah daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) melalui surat bertarikh 5 November 2009. Berdasarkan nilaian yang dibuat oleh JPPH, harga sekaki persegi bagi Tapak A yang seluas 18.1 ekar adalah RM83.61 sekaki persegi manakala bagi Tapak B yang seluas 88.01 ekar adalah RM65.00 sekaki persegi. Penilaian harga tanah daripada JPPH tersebut terlalu rendah sedangkan Kerajaan Negeri telah menetapkan harga rezab pada harga RM200.00 sekaki persegi.

Oleh kerana pihak IPGB telah mengemukakan harga tawaran yang paling tinggi daripada dua syarikat yang lain iaitu sebanyak RM240.00 sekaki persegi dengan bayaran sejumlah RM1.07 bilion dibuat dalam tempoh lima (5) tahun, maka Lembaga PDC telah bersetuju untuk menerima tawaran daripada pihak IPGB dan satu perjanjian Purchase and Development Agreement (PDA) telah ditandatangani di antara PDC, CMI dan IPGB pada 11 November 2011.

Keseluruhan projek perlu disiapkan dalam tempoh lapan (8) tahun dari tarikh PDA ditandatangani dengan merangkumi komponen wajib, penebusan tanah 35 ekar, pembayaran mengikut jadual dalam tempoh 5 tahun serta bon sebanyak RM50 juta sebagai deposit sekuriti. Sehingga kini sejumlah RM120,813,302.40 telah dijelaskan oleh IPGB. Adalah disahkan IPGB telah mematuhi semua syarat tender yang telah ditetapkan.

Pepatah Melayu ada menyebut, sambil menyelam sambil minum air, maka di sini dapat saya nyatakan bahawa dengan penjualan tanah tapak Bayan Mutiara ini, Kerajaan Negeri dapat menyediakan peruntukan sebanyak RM500 juta untuk pembinaan rumah mampu milik di Pulau Pinang. Dan pada masa yang sama, pemaju juga diwajibkan untuk membina 30% rumah kos rendah dan kos sederhana rendah. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga dapat membangunkan kawasan Bayan Mutiara sebagai kawasan pembangunan yang bertaraf antarabangsa yang ikonik, mampan, berkualiti dan serba lengkap dengan pelbagai kemudahan. Sekaligus menjadikan Bayan Mutiara sebagai mercu tanda pembangunan di Pulau Pinang.

Yang Berhormat Dato' Speaker

Yang Berhormat Sungai Bakap telah membangkitkan isu Skim Pinjaman Mikro Kredit iaitu PDC disarankan untuk memperluaskan tawaran pinjaman mikro kredit kepada pengusaha kecil dalam bidang pertanian dan penternakan dan dicadangkan untuk memperkenalkan sistem yang lebih mendidik para petani dan penternak agar lebih berdikari dan tidak bergantung kepada pinjaman semata-mata.

Kerajaan Negeri menerusi PDC telah mewujudkan dana khas mikro kredit di bawah Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) yang telah dilancarkan pada Oktober 2009 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.0 juta. PDC telah mengeluarkan pinjaman kepada peniaga-peniaga kecil yang menjalankan perniagaan seperti peniaga sayuran, penjual ikan dan ayam proses di pasar malam dan pasar tani. Setakat April 2012, jumlah bilangan peminjam yang telah mendapat manfaat dari skim PTSR ini adalah seramai 662 orang dan jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan adalah sebanyak RM2,319,630.40.

Selain itu juga, Kerajaan Negeri turut membantu pengusaha kecil menerusi PDC dan SMART Centre dalam bentuk khidmat nasihat, kursus, bengkel, seminar dan latihan keusahawanan. Setakat April 2012, seramai 1,463 orang usahawan telah dibantu bagi mempertingkatkan pengetahuan para usahawan supaya mereka menjadi usahawan yang berdaya saing dan berdaya tahan dalam menjalankan perniagaan mereka.

Kerajaan Negeri menyambut baik saranan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat ADUN Sungai Bakap supaya skim pinjaman ini diperluaskan kepada pengusaha pertanian dan penternakan. Kerajaan Negeri akan mengkaji serta memberi pertimbangan ke atas cadangan tersebut sekiranya terdapat keperluan di masa akan datang.

Yang Berhormat Yang Berhormat telah membangkitkan apakah sumbangan Kerajaan Negeri dalam menurunkan kadar jenayah di Pulau Pinang selain daripada usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak Polis.

Umum mengetahui bahawa, Pulau Pinang telah mencatatkan indeks jenayah yang paling rendah di Malaysia sehingga menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar raya yang selamat didiami. Kejayaan ini adalah berkat usaha dan kerjasama Kerajaan Negeri dengan pasukan Polis DiRaja Malaysia. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri melalui kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengambil inisiatif dengan memasang 58 kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi-lokasi di bahagian pulau dan Seberang Perai yang telah dikenalpasti oleh pihak Polis berdasarkan statistik kekerapan berlakunya jenayah.

Di samping itu, Kerajaan Negeri merancang untuk mengadakan 129 unit kamera litar tertutup (CCTV) tambahan di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti oleh pihak Polis untuk dipasang di seluruh kawasan di bahagian pulau. Pada masa yang sama, pemasangan 18 buah kamera litar tertutup (CCTV) tambahan juga sedang diuruskan oleh MPPP melalui Private Finance Initiative.

Penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) oleh Kerajaan Negeri turut membantu pihak berkuasa dalam mencegah jenayah di samping menjaga keselamatan awam. Usaha ini telah dimulakan pada tahun 2011 dan sehingga April 2012, sejumlah 114 PPS telah ditubuhkan. Kerajaan Negeri akan memastikan sasaran penubuhan enam (6) PPS bagi setiap KADUN tercapai menjelang akhir tahun 2012.

Keadaan lampu jalan yang tidak terang turut menyumbang kepada berlakunya jenayah. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri melalui kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut mengambil inisiatif dengan meningkatkan voltan lampu daripada 70 kilowatt kepada 150 kilowatt. Penggantian akan dijalankan secara berfasa dan didahulukan lampu yang rosak. Usaha ini bertujuan untuk menerangkan jalan-jalan raya di Pulau Pinang.

Yang Berhormat ADUN Pantai Jerejak/Pulau Tikus dan ADUN Paya Terubong telah mencadangkan investPenang dan PDC memberi fokus kepada syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) bagi mewujudkan usahawan yang berdaya saing.

Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Pantai Jerejak dan ADUN Paya Terubong, Kerajaan Negeri sememangnya telah memberi perhatian dalam pembangunan dan promosi perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) di Negeri Pulau Pinang. Inisiatif ini dilaksanakan melalui investPenang dan PDC di mana Pusat PKS adalah salah satu daripada tiga (3) pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menampung pertumbuhan PKS yang unik di Malaysia dalam mendaki nilai rantaian serta memberi penjenamaan semula Pulau Pinang atau "Powered in Penang" dalam semua perkhidmatan dan produk. Pusat PKS akan diuruskan oleh Majlis Pengurusan Pusat SME yang terdiri daripada usahawan mentor Majlis Sains Pulau Pinang, investPenang dan PDC. Pusat PKS menawarkan sebuah bangunan yang memberikan ruang sewa dengan harga sewaan yang disubsidikan untuk pemohon-pemohon baru berteknologi tinggi dan kreatif.

Selain daripada Pusat PKS, 2 pendekatan lain ialah penubuhan Penasihat Pemasaran SME, Pusat Sumber dan Latihan (SMART), yang telah dilancarkan pada bulan Jun 2010 dan pembangunan perkampungan PKS di Bukit Minyak dan Batu Kawan di Seberang Perai untuk membantu PKS berkembang dengan membeli tanah untuk membina kilang- kilang di kawasan tersebut. Sehingga kini, bengkel pembinaan pusat SMART telah menarik lebih daripada 1,000 peserta dari PKS. Sebanyak 209 PKS pada masa ini telah disenarai dalam talian pusat SMART.

Yang Berhormat Dato' Speaker

Yang Berhormat ADUN Kebun Bungah mencadangkan had minima kos pembelian hartanah (landed property) di bahagian pulau kepada warga asing dinaikkan kepada RM2 juta.

Sebagai makluman Yang Berhormat ADUN Kebun Bungah, cadangan Yang Berhormat itu telahpun dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Mulai 1 Januari 2010, Kerajaan Negeri telah menaikkan harga rumah yang layak dibeli oleh warga asing di Pulau Pinang dari RM250 ribu ke RM500 ribu. Susulan daripada itu, pada 19 April 2012, Kerajaan Negeri telah mengumumkan untuk mengkaji semula dasar pemilikan hartanah oleh warga asing bagi pembelian hartanah landed property ke RM1 juta di seberang dan RM2 juta di kawasan pulau. Malah bagi bangunan berbilang tingkat (high rise), kelayakan pembelian oleh warga asing telah dinaikkan kepada RM1 juta bagi pulau dan Seberang.

Yang Berhormat ADUN Pantai Jerejak telah mencadangkan agar Kerajaan Negeri menulis surat kepada Menteri Sumber Manusia bagi menaikkan gaji minima kepada RM1,100.00.

Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Pantai Jerejak, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan Yang Berhormat untuk menaikkan gaji minima kepada RM1,100.00 dengan menulis kepada Yang Berhormat Menteri Sumber Manusia bagi menaikkan gaji minima sebagaimana yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang.

Pengumuman Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak bahawa gaji minima bagi sektor swasta ditetapkan pada kadar RM900 sebulan untuk pekerja di Semenanjung dan RM800 sebulan di Sabah dan Sarawak adalah sangat tidak mencukupi kerana ia adalah lebih rendah daripada gaji minima yang disyorkan Pakatan Rakyat iaitu RM1,100 sebulan. PR telah mencadangkan RM1,100 sebagai gaji minima yang merangkumi semua elaun tetapi tidak termasuk bayaran lebih masa.

Penetapan gaji minima RM900 sebulan di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah dan Sarawak oleh Kerajaan Persekutuan BN tidak mencukupi dan bukan sahaja mendiskriminasikan pekerja tetapi menunjukkan kekurangan komitmen oleh BN untuk membasmi kemiskinan kerana ia jauh di bawah garis kemiskinan di Malaysia Timur.

Mengikut Rancangan Malaysia Ke-9, garis kemiskinan (PLI) adalah RM830 sebulan bagi Sarawak dan RM960 di Sabah.

Tambahan kepada gaji minima RM1,100 sebulan yang dicadangkan PR, dan yang berupaya untuk memenuhi keperluan asas pekerja-pekerja di serata negara, kita harus sedar bahawa Malaysia sedang menjadi negara penghutang di mana isi-isi rumah kita membelanjakan semua dan lebih daripada pendapatan mereka. Sebagai contoh, Laporan Tahunan Bank Negara 2010 telah mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion ataupun 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lantas “menobatkan” Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.

Bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula, kita komited kepada cadangan PR iaitu RM1,100 sebulan dan sebenarnya sudah pun mencapai gaji minima RM1,100 (termasuk elaun dan COLA) tanpa mengira bayaran lebih masa. Dalam kata lain, semua kakitangan kerajaan di dalam semua agensi kerajaan negeri dan GLC di Pulau Pinang serta majlis-majlis perbandaran MPPP dan MPSP mempunyai pendapatan lebih daripada RM1,100.00 sebulan. Tahun lepas, pekerja-pekerja yang bertanggungjawab untuk menyapu jalan dan mencuci longkang di MPPP dan MPSP juga telah diberi insentif bulanan sebanyak RM150 sebulan.

Yang Berhormat Dato' Speaker

Yang Berhormat ADUN Dato Keramat memohon Kerajaan Negeri mengadakan peraturan agar semua ADUN membuat pengisytiharan harta bagi meningkatkan ketelusan.

Bagi menjawab pertanyan Yang Berhormat ADUN Dato Keramat, sukacita saya maklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengisytiharkan harta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pada 13 Januari 2012.

Pengisytiharan harta secara terbuka ini memenuhi amanah peribadi dan juga komitmen politik Kerajaan PR Pulau Pinang terhadap kepimpinan yang lebih bersih berdasarkan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus).

Untuk kali pertama dalam sejarah Malaysia, pengisytiharan harta secara terbuka telah dikendalikan bukan oleh Kerajaan Negeri tetapi oleh sebuah syarikat audit bebas. Saya berasa kesal bahawa maklumat yang penting ini tidak disiarkan oleh media massa dan blog-blog tertentu, dan berharap bahawa ini akan diperbetulkan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memilih firma akauntan antarabangsa yang terkenal iaitu KPMG dan rakan kongsi kanannya Akauntan Bertauliah Ooi Kok Seng, untuk mengesahkan dan menetapkan templat yang akan dipaparkan kepada umum. Sebagai sebuah firma audit bebas, KPMG perlu mendukung standard profesional yang tertinggi untuk memastikan pematuhan kepada prinsip-prinsip keobjektifan, kebebasan dan tiada konflik kepentingan sebelum menjalankan apa-apa tugasan.

Pentadbiran yang berintegriti dan bersih merupakan tunjang kepada kejayaan menguruskan kewangan dengan baik sehingga bukan sahaja mendapat lebihan Bajet setiap tahun tetapi juga mengurangkan hutang sebanyak 95% daripada RM630 juta pada 8 Mac 2008 kepada RM30 juta pada akhir 2011. Selain daripada pengisytiharan harta oleh pemimpin, sistem tender terbuka, mendedahkan isi kandungan kontrak swasta dengan Kerajaan Negeri serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat memainkan peranan penting.

Yang Berhormat ADUN Tanjung Bungah telah mencadangkan untuk mewujudkan Pusat Kecemasan Tsunami dan tembok penghadang ombak di Tanjung Tokong.

Untuk pengetahuan Yang Berhormat ADUN Tanjung Bungah, Kerajaan Negeri sememangnya menitik beratkan keselamatan rakyat Pulau Pinang. Sebagai langkah penyediaan untuk menghadapi bencana Tsunami, Kerajaan Negeri bersama-sama Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Meteorologi Negara serta beberapa agensi lain seperti Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim, Jabatan Pertahanan Awam, Polis Marin, Jabatan Kesihatan Negeri serta jabatan dan agensi yang lain telah mengadakan latihan Ex-Tsunami pada 29 April 2012 yang jatuh pada hari Ahad bertempat di Batu Ferringhi.

Latihan tersebut dibuat bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada jabatan dan agensi kerajaan khususnya kepada jabatan dan agensi yang terlibat dengan pengurusan bencana bagi menghadapi situasi sebenar bencana Tsunami sekiranya berlaku. Latihan tersebut juga dibuat untuk mendedahkan orang awam serta pelancong-pelancong mengenai langkah-langkah keselamatan bagi menghadapi ancaman bencana Tsunami. Atas alasan tersebut, latihan berkenaan bukan sahaja dibuat di kawasan yang berisiko Tsunami tetapi juga dibuat pada hari Ahad yang mana terdapat orang awam yang ramai dan ia membolehkan jabatan dan agensi yang terlibat menilai kesediaan jabatan dan agensi jika berlaku bencana sedemikian. Di samping itu, ia bertujuan untuk membuat pengujian terhadap alat-alat kecemasan seperti siren amaran dan lain-lain kelengkapan keselamatan termasuk jentera penyelamat.

Bagi cadangan untuk mewujudkan Pusat Kecemasan Tsunami, Jabatan Meteorologi Malaysia menggunakan sistem peralatan yang telah dipasang di Kepulauan Hawaii sebagai rujukan dan panduan utama. Selain itu, peranan jabatan dan agensi kerajaan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta lain-lain jabatan dan agensi kerajaan turut memainkan fungsi dan peranan masing-masing. Di samping itu juga, Kerajaan Negeri akan melancarkan sistem e-Bencana yang bertujuan untuk menyalurkan maklumat kepada orang awam yang berdaftar. Memang Kerajaan Negeri bersiap sedia untuk menghadapi bencana tsunami dengan menerima pakai sistem pengurusan krisis.

Yang Berhormat Dato' Speaker

Yang Berhormat ADUN Paya Terubong dan Seri Delima telah membangkitkan isu pengganas yang telah mengasari YAB. Ketua Menteri dan para wartawan semasa program hijau di Esplanade pada 26 Februari 2012 dan PDRM diminta untuk melaporkan kepada orang awam mengenai tindakan yang telah diambil terhadap pengganas yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Paya Terubong, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menerima sebanyak dua (2) laporan polis dan kedua-dua laporan tersebut telah dibuat di Balai Polis Lebuh Pantai. Kertas siasatan bagi kes tersebut telah dipanjangkan kepada Timbalan Pendakwaraya Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya. Sehingga kini, belum ada tindakan yang telah diambil ke atas pengganas tersebut. Ini berbanding dengan tindakan segera mendakwa seorang pemimpin PKR dalam tempoh seminggu berkaitan dengan perhimpunan aman Bersih.

Yang Berhormat ADUN KOMTAR dan ADUN Bukit Tengah telah bertanyakan mengenai status Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 dan bilakah rakyat Pulau Pinang dapat mula memohon untuk mendapatkan maklumat di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat tersebut.

Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 telah diluluskan dengan pindaan pada 4 November 2011. Pada 9 Januari 2012 ,Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang telah memperkenankan Enakmen ini dan Enakmen ini telah diwartakan pada 2 Februari 2012.

Status pelaksanaan Enakmen tersebut masih lagi dalam tindakan bagi menetapkan tarikh mula kuat kuasa Enakmen tersebut sebelum diangkat untuk kelulusan Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Sebaik sahaja tarikh mula kuat kuasa Enakmen ini diluluskan dan pelantikan pegawai maklumat dimuktamadkan, orang awam boleh mendapatkan akses kepada sebarang dokumen Kerajaan Negeri melalui saluran yang dibenarkan sepertimana yang diperuntukan dalam Enakmen tersebut.

PENUTUP

Yang Berhormat Dato' Speaker

Masalah berkaitan dengan kesesakan lalulintas dan perumahan tidak menghalang Pulau Pinang dipilih oleh ECA International, syarikat pakar perunding asing sebagai bandaraya paling sesuai didiami di Malaysia. Buat pertama kalinya, Pulau Pinang telah dipilih pada tahun 2011 dan kejayaan ini diulangi pada tahun 2012 mengatasi Kuala Lumpur. Ini menunjukkan Pulau Pinang memang menjurus kearah sebuah bandaraya yang bersih, hijau, sihat dan selamat. Pada masa yang sama, kebajikan rakyat tidak diabaikan.

Negeri Pulau Pinang telah menjadi negeri pertama bebas dari sifar miskin tegar. Kejayaan ini dicapai apabila seramai 744 keluarga sehingga Mac 2012 yang awalnya tergolong dalam kategori miskin tegar telah dibantu oleh Kerajaan Negeri. Penerima bantuan ini, adalah kelompok keluarga miskin tegar yang dikenalpasti berdasarkan takrifan Kerajaan Negeri dengan menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM500.00 sekeluarga. Mulai tahun 2012, Kerajaan Negeri telah meningkatkan nilai PGK dari RM500.00 kepada RM600.00 sekeluarga.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri telah meghapuskan miskin tegar dengan menaikkan gaji bulanan minima setiap keluarga adalah RM600 sebulan mulai 2012. Dengan kata lain, semua keluarga akan memperolehi sekurang-kurangnya RM600 sebulan, mana-mana yang tidak mencukupi, Kerajaan Negeri akan tambah nilai sehingga genap RM600 sebulan. Dengan inisiatif sedemikian, Pulau Pinang berazam menjadi negeri pertama yang membasmi kemiskinan menjelang 2015.

Untuk makluman semua ahli Yang Berhormat, sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2008, Kerajaan Negeri berjiwa rakyat di bawah pimpinak Pakatan Rakyat telah meluluskan pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah sebanyak 11,596 unit. Pembinaan rumah kos rendah (RM42,000) dan kos sederhana rendah (RM72,000) sekaligus menyangkal fitnah jahat pihak tidak bertanggungjawab yang mengatakan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak pernah meluluskan atau mewajibkan atau sendiri membina rumah mampu milik kepada rakyatnya.

Di bawah Kerajaan Negeri dan Agensi Kerajaan Negeri, projek perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah seperti berikut yang dibangunkan adalah seperti berikut:-

Kos Rendah Kos Sederhana Rendah Jumlah
Kerajaan 1194 2227 3421
Swasta 2612 5563 8175
Jumlah 3806 7790 11596

Selain daripada projek perumahan Fasa 1 di Batu Kawan yang akan membina 12 ribu unit rumah. Keluasan tanah kerajaan di dalam Fasa 2 adalah seluas 77 ekar iaitu adalah 29 ekar di Seberang Perai Utara (SPU), 32 ekar di Seberang Perai Tengah (SPT), 10 ekar di Daerah Timur Laut (DTL), dan 6 ekar di Daerah Barat Daya (DBD). Fasa 3 yang melibatkan keluasan tanah yang lebih besar di kelima-lima daerah di Negeri Pulau Pinang yang akan diumumkan kemudian.

Usaha Kerajaan Negeri bagi mencapai pengiktirafan antarabangsa turut melibatkan penyediaan perkhidmatan WIFI secara percuma sebanyak 1550 hot spot dengan kos RM8.5 juta. Berdasarkan perjanjian, pihak syarikat penyedia perkhidmatan akan menyediakan 50Mbps kapasiti 'bandwidth backhaul' ke internet bagi keseluruhan 750 hotspot yang telah disediakan di bawah Fasa 1 dan 800 hotspot (termasuk tambahan 50 hotspot percuma) di bawah Fasa 2 projek Penang Free WiFi. Sehingga 14 April 2012, penggunaan 'bandwidth' adalah sehingga 45Mbps dan akan dipertingkatkan ke maksimum 50Mbps seperti dinyatakan dalam perjanjian. Ini bermakna sebaik pemasangan siap, Pulau Pinang akan menikmati 1,550 free WiFi hotspot.

Sebelum mengakhiri ucapan penggulungan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat atas cadangan-cadangan, idea-idea serta pandangan yang membina yang telah disumbangkan semasa sesi perbahasan sepanjang persidangan dewan kali ini.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Dato' Speaker atas peluang yang telah diberikan bagi saya membentangkan ucapan penggulungan saya pada hari ini.

Akhir kata, Pulau Pinang memimpin semula di Malaysia dalam pelaburan, sains dan teknologi, insentif negeri kepada IKS, bandaraya yang paling sesuai didiami, pemberian kebajikan, membasmi kemiskinan serta pemberian hak politik dan kebebasan berucap, kebebasan berhimpun, kebebasan maklumat dan memilih Ahli Majlis Kerajaan Tempatan di Malaysia. Syabas kepada semua ADUN Pakatan Rakyat.

Sekian, YB Dato' Speaker, saya mohon menyokong.

Sekian, terima kasih.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional