Ucapan perbahasan oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa membahas Enakmen Perbekalan (2013) 2012 Peringkat Jawatankuasa Bacaan Kali Kedua

Berbanding LRT atau MRT, Bas Rapid Transit (BRT) boleh dilihat sebagai satu cara yang lebih murah untuk menggalak orang ramai mengguna pengangkutan awam. Barangkali ini konsep pengangkutan yang agak baru dan sehingga sekarang, hanya satu projek BRT yang diusahakan oleh syarikat Sunway. Saya ingin bertanya bagaimana kerajaan akan menerapkan konsep ini dalam perancangan bandar?

KNS juga harus memikir sama ada mungkin kita menubuhkan syarikat pengangkutan kita sendiri melalui GLC dan menawarkan perkhidmatan bas yang cekap kepada orang ramai. Mungkinkah kita memulakan usaha-usaha murni ini dan bergabung dengan perkhidmatan bas komuniti yang sedang berjalan di Petaling Jaya?

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah meluluskan rebet kepada pemilik bangunan hijau. MBPJ juga menawarkan tempat letak kereta percuma kepada para pemilik kereta hybrid. Namun usaha ini belum lagi diperluaskan ke PBT yang lain di Selangor. Saya ingin bertanya bagaimanakah usaha-usaha murni ini diperluaskan ke seluruh Selangor?

Memperkukuhkan kualiti rakyat – Kerajaan harus menggalak penyusuan susu ibu sebagai satu aspek pembangunan wanita dan keluarga

Kerajaan negeri telah mengambil banyak langkah untuk membantu meningkatkan kaum wanita dalam masyarakat melalui pelbagai program seperti One Stop Crisis Centre (OSCC), Pusat Wanita Berdaya (PWB), cuti bersalin selama 90 hari dan sebagainya.

Sebagai satu peningkatan kepada dasar yang sedia ada, saya memohon kepada kerajaan untuk merangkakankan program penyusuan susu ibu yang pada pendapat saya merupakan satu aspek yang sangat penting untuk membina keluarga dan masyarakat yang sihat.

Penyusuan susu ibu memberi seribu satu kebaikan. Biarpun begitu, masyarakat secara umum tidak begitu menggalak golongan wanita, khususnya mereka yang bekerja untuk menyusu anak-anak mereka dengan susu ibu.

Masalah yang seringkali dihadapi oleh kaum ibu yang bekerja ialah kekurangan kemudahan di tempat bekerja untuk mengepam dan menyimpan susu. Mereka selalunya terpaksa melakukannya di tandas yang tidak bersih dan sempit. Selain itu, mereka juga memerlukan peralatan seperti peti sejuk untuk menyimpan susu untuk mengekalkan kualiti susu.

Adalah menjadi saranan saya agar kerajaan memberi insentif dari segi rebet cukai pintu atau cukai tanah kepada mana-mana syarikat yang menyediakan kemudahan-kemudahan asas yang saya maksudkan di atas untuk menggalakan lebih ramai kaum ibu yang bekerja menjalankan penyusuan susu ibu kepada bayi-bayi mereka.

Selain itu, PBT harus memikirkan bagaimana untuk menyediakan ruang awam yang sesuai kepada kaum ibu untuk menyusu bayi dan mengepam susu.

Maka saya ingin bertanya mengapakah tiada rancangan atau program khusus terhadap perkara ini?

Memperkukuhkan kualiti rakyat - Keselamatan kaum wanita di tempat awam

Baru-baru ini, kaum wanita di kawasan Lembah Klang terdedah kepada risiko ragut yang kerap berlaku di tempat-tempat letak kereta kompleks membeli-belah. Ini mengingatkan kita tentang isu keselamatan yang pernah menghantui masyarakat kita khususnya kaum wanita beberapa ketika dahulu.

KNS harus mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan aspek-aspek keselamatan di kompleks membeli-belah. Justeru itu, saya bercadang kepada kerajaan untuk mengadakan undang-undang kecil yang menetapkan pengurusan kompleks membeli-belah untuk menyediakan bilangan tempat letak kereta berdekatan dengan pintu masuk khas untuk pemandu wanita tunggal seperti yang disediakan kepada OKU sebelum ini.

Lau Weng San Setiausaha Organisasi Negeri DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku