Beranikah Teng Chang Yeow letak jawatan sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang sekiranya beliau tidak dapat membuktikan dakwaan jahat?

Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang Teng Chang Yeow dipetik dalam suratkhabar sebagai mempersoalkan kenapa terdapat kenyataan yang bercanggah daripada kerajaan-kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kedah mengenai perjanjian pembekalan air mentah. Baru-baru ini, Dewan Undangan Negeri Kedah telah meluluskan bajet di mana keuntungan akan ditingkatkan melalui pembayaran daripada Pulau Pinang untuk air daripada Sungai Muda walaupun tiada sebarang perjanjian bertulis mengenainya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Jaseni Maidinsa telah pun menafikan perbincangan atau persetujuan untuk membayar Kedah untuk air daripada Sungai Muda. Teng berkata bahawa beliau lebih cenderung untuk mempercayai Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam hal ini, justeru membayangkan bahawa Lim menipu dan ingin mengelirukan pihak awam. Ini merupakan dakwaan terhadap Lim yang serius, berunsur fitnah dan berasaskan penipuan.

Bolehkah Teng membuktikan dakwaannya dengan dokumen atau surat yang menunjukkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah bersetuju untuk membayar Kedah? Beranikah Teng letak jawatan sebagai pengerusi BN Pulau Pinang jika beliau tidak dapat membuktikan dakwaan jahatnya bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah bersetuju untuk membayar Kedah untuk air daripada Sungai Muda melalui perjanjian pembekalan air mentah dengan Kedah?

Jika Teng boleh membuktikan dakwaannya, saya bersedia untuk letak jawatan sebagai Ahli EXCO untuk menerima tanggungjawab. Dakwaan Teng adalah palsu kerana tiada sebarang perjanjian atau dokumen mengenai pembekalan air tersebut telah ditandatangani. Malah, tiada sebarang pengumuman pun daripada pihak kerajaan negeri Pulau Pinang ataupun apa-apa pembayaran yang termasuk dalam bajet negeri Pulau Pinang yang diluluskan pada awal bulan ini.

Lim Guan Eng telah menelefon Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang telah mengesahkan bahawa tiada dokumen bertulis daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menyatakan persetujuan tersebut. Jika kerajaan negeri Kedah telah memasukkannya sebagai hasil dalam bajet mereka, maka penjelasan harus didapatkan daripada pihak mereka. Tidak seperti Teng, kita tidak suka meletakkan ayat ke dalam mulut orang lain.

Integriti Teng kini dipertaruhkan – bolehkah beliau membuktikan persetujuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membayar negeri Kedah dengan dokumen bertulus? Jika beliau boleh, saya akan letak jawatan. Jika tidak, Teng harus letak jawatan dan menerima tanggungjawab penuh atas cubaan untuk memenangi pilihan raya umum yang akan datang dengan cara yang begitu tidak jujur.

Lim Hock Seng Ahli EXCO Pulau Pinang untuk Kerja Raya & ADUN Kawasan Bagan Jermal