Agenda Ekonomi Saksama (AES) Negeri pertama di Malaysia yang membasmi kemiskinan

Y.B. Dato' Speaker,

Saya mohon mencadangkan supaya rang undang-undang yang bernama "Suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2013 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan tahun itu" dibaca kali kedua.

PENDAHULUAN

Y.B. Dato' Speaker,

Sempena dengan persidangan Dewan yang mulia ini, marilah kita sama-sama memanjat kesyukuran di atas kesempatan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada kami, Anggota Pentadbiran Negeri serta barisan pimpinan yang lain serta dengan keizinanNya juga, dapat saya membentangkan Bajet 2013 Negeri Pulau Pinang di Dewan yang mulia ini. Saya bagi pihak kepimpinan negeri dan semua penjawat awam Negeri Pulau Pinang ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, di atas segala pandangan dan nasihat yang diberikan kepada kita bagi memajukan Negeri Pulau Pinang yang kita cintai ini. Kami, kepimpinan negeri dan seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang mendoakan agar Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan sentiasa diberi kesejahteraan, dipanjangkan umur dan mendapat keberkatan dan kerahmatan untuk terus menerajui Negeri Pulau Pinang.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua Ahli Yang Berhormat dan hadirin yang beragama Islam yang baru sahaja merayakannya pada 26 Oktober 2012 yang lalu. Tidak lupa juga untuk saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua penganut agama Hindu yang akan merayakannya pada 13 November 2012 nanti.

Kita amat bersyukur kerana rancangan, projek dan program Kerajaan Negeri yang dilaksanakan telah berjalan lancar dan dimanfaatkan oleh rakyat Negeri Pulau Pinang walaupun pelbagai rintangan, cabaran dan sekatan perlu diharungi. Kejayaan ini berkat sokongan padu yang diberi oleh rakyat kepada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sejak mula mentadbir, yang menjadi sumber kekuatan kepada Kerajaan Negeri untuk melipat gandakan lagi usaha dalam meneruskan pembelaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Pembentangan Bajet 2013 ini merupakan kali kelima dan terakhir yang dibentangkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat sebelum kita menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13. Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dengan penuh keikhlasan bertekad untuk meneruskan agenda dan strategi pembangunan untuk Negeri Pulau Pinang demi membina masa depan yang lebih cerah dan makmur untuk segenap lapisan masyarakat. Lantaran itu, Bajet 2013 yang bertemakan Agenda Ekonomi Saksama (AES) adalah menfokuskan kepada strategi untuk mengurangkan ketidaksaksamaan agar ia dapat menggerakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan menjana pendapatan untuk membolehkan pengagihan yang lebih saksama dan adil kepada rakyat dan sekaligus meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan kepada semua lapisan rakyat Pulau Pinang keseluruhannya baik kaya dan miskin tanpa mengira kaum, agama dan jantina.

DASAR DAN STRATEGI PEMBANGUNAN NEGERI

Prinsip asas Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang menjadi pegangan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat adalah menjadi penyumbang kepada kejayaan yang dikecapi oleh Pulau Pinang hari ini. Selain daripada menerapkan budaya kerja berprestasi tinggi dan berkemahiran dalam tadbir urus dan pengurusan kewangan negeri yang cekap dan berhemat selama ini, Pulau Pinang kini turut menjadi pilihan para pelabur dan penggiat industri di peringkat global.

MERANCAKKAN EKONOMI DAN PEMBANGUNAN NEGERI

Kerajaan Negeri sememangnya komited ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri bertaraf antarabangsa yang berpendapatan tinggi (high income economy) meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu dan mencabar. Kerajaan Negeri yakin untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai bandaraya pintar dan antarabangsa dapat dicapai melalui pembangunan yang dirancang yang dapat menarik modal insan serta menyediakan dasar-dasar berjiwa rakyat yang mentransformasikan Pulau Pinang kepada sebuah ekonomi yang maju dan mampan.

Pembangunan akan diteruskan dengan penekanan kepada pelbagai sektor ekonomi dan juga penglibatan semua pihak daripada rakyat jelata Pulau Pinang. Bagi menyokong perkara tersebut, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan pembangunan secara langsung berjumlah RM363.39 juta pada tahun 2013, bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan di seluruh Pulau Pinang. Peruntukan yang disediakan ini melibatkan pertambahan sebanyak 9.15% berbanding peruntukan tahun 2012.

MENGGIATKAN SEKTOR PELABURAN DAN PERINDUSTRIAN

Kejayaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjalankan urustadbir berintegriti berteraskan prinsip CAT, menyatupadukan rakyat, memastikan keselamatan awam dengan memerangi jenayah serta wujudnya modal insan terlatih merupakan faktor kejayaan Pulau Pinang menjadi jaguh pelaburan untuk dua (2) tahun berturut-turut pada 2010 dan 2011.

Bagi menggalakkan pelaburan baru, Kerajaan Negeri telah mempelbagaikan aktiviti galakan untuk sektor-sektor baru yang berpotensi iaitu industri elektronik, termasuk diod pemancar cahaya (LED), avionik/aeroangkasa, fotovoltaik/suria dan semikonduktor; peralatan perubatan dan bioteknologi.

Tumpuan terhadap pembangunan IKS tempatan tidak pernah diabaikan. Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Pusat Penasihat Pasaran, Sumber dan Latihan IKS (SMART Centre), Pusat IKS (SME Centre) dan Perkampungan IKS (SME Village). Pembinaan SME Centre di Bayan Lepas dengan ruang sewa seluas 129,481 kaki persegi telah berjaya disiapkan pada bulan Jun 2012. SME Village yang dibangunkan di Batu Kawan bermatlamat untuk menempatkan IKS secara berkelompok bagi membolehkan syarikat-syarikat IKS mengembangkan perniagaan dan memajukan perniagaan sendiri.

MERANCAKKAN SEKTOR PELANCONGAN DAN WARISAN

Sektor pelancongan adalah sektor ekonomi kedua terpenting kepada Negeri Pulau Pinang. Pengiktirafan Pulau Pinang sebagai 'Eighth Most Liveable City In Asia' oleh ECA International pada tahun 2008-2012 dan paling sesuai diduduki di Malaysia serta '8 Top Islands in the world You Must Explore Before You Die' oleh Yahoo Travel telah meletakkan Pulau Pinang sebaris dengan destinasi pelancongan utama di Asia.

Beberapa kawasan di Daerah Seberang Perai mempunyai banyak lokasi pelancongan menarik dan berpotensi untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan baru. Pertambahan kemasukan pelancong ke Seberang Perai mampu meningkatkan kadar occupancy kepada hotel-hotel di Seberang Perai serta homestay yang kini semakin berkembang. Projek eko-pelancongan khususnya di Juru Auto City, projek makanan laut di Jeti Batu Kawan dan Projek Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah di Penaga diyakini sebagai destinasi utama pelancong.

Saban tahun Pulau Pinang menjadi destinasi penganjuran acara-acara kebudayaan nasional dan antarabangsa. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM8.27 juta bagi tahun 2013 untuk menyokong penganjuran acara-acara kebudayaan dan tarikan pelancongan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Malahan, pembinaan projek subterranean Penang International Convention and Exhibition (sPICE) di PISA bernilai RM300 juta yang dijangka siap pada 2015 bakal mempromosikan Meetings, Incentives, Conventions and Exhibitions (MICE) kepada masyarakat antarabangsa.

Sektor pelancongan warisan juga menjadi salah satu agenda Kerajaan Negeri di dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri. Pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO telah mempromosikan Pulau Pinang. Justeru, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan berjumlah RM6.10 juta bagi tahun 2013 kepada Georgetown World Heritage Incorporated (GTWHI) untuk terus memainkan peranan menguruskan dan mempromosikan warisan negeri ini kepada pelancong tempatan dan asing.

Bagi merealisasikan warisan ini, Kerajaan Negeri kini dalam proses menyediakan Rancangan Khas Kawasan untuk memulihara, menaik taraf dan melindungi Kawasan Warisan Dunia George Town, Taman Botani dan Bukit Bendera yang melibatkan rundingan awam. Kerajaan Negeri juga telah mengumumkan rundingan awam untuk membangunkan KOMTAR Fasa 5 sebagai Penang Heritage Square dengan menubuhkan taman awam yang baru, dataran awam dan pusat kesenian dan budaya.

Kejayaan Negeri Pulau Pinang sekali lagi bakal terserlah apabila menjadi tuan rumah kepada Persidangan Ekopelancongan Asia Pasifik (APECO 2012) yang dijadual berlangsung pada 28 hingga 30 November di Hotel Eastin. Pembinaan Escape Theme Park di Teluk Bahang sebanyak RM200 juta yang akan siap fasa 1 pada bulan ini akan menjadi tarikan pelancong yang baru.

MEMPERKUKUHKAN INDUSTRI HALAL

Selepas 4 tahun, Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang (TPHPP) telah menerima 10 pelaburan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa dengan nilai pelaburan bernilai RM484 juta merangkumi 54.09 ekar tanah industri. Kilang gelatin Halal yang pertama di Malaysia akan dibangunkan di zon Farmaseutikal, TPHPP dan akan memulakan pembinaannya awal tahun 2013. Dijangkakan kilang ini berupaya menghasilkan kapasiti pengeluaran gelatin halal sebanyak 2,000 hingga 3,000 tan metrik setahun melalui penggunaan mesin berteknologi tinggi.

Bagi mempertingkatkan bilangan syarikat berstatus halal, Halal Penang dan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah bergiat lebih pro-aktif bagi mempromosikan lebih banyak outlet makanan di Pulau Pinang untuk mendapatkan pensijilan halal, di samping memantau restoran makanan yang menyalahgunakan logo halal JAKIM. Melalui gandingan usaha ini, 11 buah francais outlet Subway dan 16 buah francais outlet Old Town White Coffee di Pulau Pinang telah berjaya mendapat pengiktirafan status Halal JAKIM. Hasil usaha promosi yang agresif oleh Halal Penang juga telah berjaya meningkatkan jumlah syarikat berstatus halal di Pulau Pinang sebanyak 605% iaitu dari hanya 55 buah syarikat pada tahun 2008 kepada 388 buah syarikat pada tahun 2012.

Bagi mempromosikan sektor pelancongan halal di Pulau Pinang, Halal Penang dengan kerjasama Penang Global Tourism telah menerbitkan sebanyak 10,000 salinan "Experience Penang - Muslim Travel Guide" pada bulan Februari 2012. Direktori ini yang juga bakal diterbitkan dalam versi Bahasa Arab telah diedarkan di beberapa lokasi strategik yang menjadi tumpuan pelancong.

Satu pencapaian lagi yang membanggakan adalah penganjuran Penang International Halal Exposition and Conference (PIHEC) selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2010 dan disenaraikan sebagai ekspo halal tahunan utama di rantau IMT-GT. Bagi tahun 2012, penyertaan dari pemamer merekodkan pencapaian yang memberangsangkan dengan peningkatan penyertaan sebanyak 161 syarikat dan agensi kerajaan serta penglibatan syarikat-syarikat antarabangsa daripada Iran, Indonesia, Belgium, Taiwan dan New Zealand. Malahan, PIHEC 2012 telah berjaya menarik lebih daripada 50,000 pengunjung.

MENINGKATKAN KUALITI KEMUDAHAN AWAM DAN INFRASTRUKTUR

Kerajaan Negeri amat komited dalam memastikan infrastruktur jalanraya di Negeri Pulau Pinang setaraf dengan negara-negara maju. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah mempelawa syarikat-syarikat yang berpengalaman untuk menyertai Request for Proposal (RFP) bagi projek infrastruktur jalan raya dan terowong bawah laut sebagai "bypass" dan "ring road" yang dianggarkan melibatkan kos antara RM5 bilion hingga RM8 bilion.

Proses pra kelayakan untuk menyertai RFP ini telahpun selesai pada 14 Januari 2012 dan 8 buah syarikat yang layak telah diberi tempoh sehingga 15 Oktober 2012 untuk menyediakan rekabentuk dan kertas cadangan projek untuk pertimbangan Kerajaan Negeri. Pelaksanaan projek-projek mega ini mampu menyelesaikan kesesakan lalulintas di Bandar George Town dan dalam masa yang sama memacu pembangunan ekonomi negeri.

Pengurusan aset jalan negeri juga diberi penekanan supaya ianya dapat diselenggara dengan baik demi kemudahan dan keselesaan pengguna memandangkan peruntukan penyelenggaraan sedia ada sangat terhad. Bagi tahun 2013, sebanyak RM41.60 juta diperuntukkan kepada JKR untuk menaiktaraf dan membaharumuka jalan-jalan kerajaan negeri, dan menambahbaik kemudahan-kemudahan infrastuktur lain di negeri.

Adalah diharapkan Projek Menaiktaraf Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bernilai RM250 juta boleh siap pada 24 November 2012 seperti yang dijadualkan bagi menampung kapasiti 5 juta penumpang.

Memandangkan prestasi yang kurang memuaskan, Pelabuhan Pulau Pinang harus dikembalikan status pelabuhan bebas demi memulihkan kegemilangan lampau. Pelabuhan Pulau Pinang telah menerima lebih daripada 1,734 buah kapal persiaran dan feri penumpang di Swettenham Pier Cruise Terminal pada tahun 2011. Kerajaan Negeri akan terus memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan penswastaan sehingga pengorekan dasar laut dijalankan dengan kos RM353 juta dan suatu rundingan serta tender terbuka dijalankan. Ini adalah pendirian yang harus disokong oleh semua rakyat Pulau Pinang kerana Kerajaan Negeri difahamkan Penang Port Sdn Bhd turut menentang formula penswastaan yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary.

MEMANTAPKAN PENGURUSAN LALU LINTAS

Sebagai usaha kerajaan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang, Rapid Penang telah dijanjikan tambahan 200 buah bas yang memberi perkhidmatan di bahagian Pulau dan Seberang Perai. Malangnya tambahan 200 buah bas yang diumumkan ini masih belum tiba. Ia difahamkan akan tiba secara berperingkat sehingga tahun 2015 di mana 80 buah bas dijangka akan tiba di Pulau Pinang mulai Disember 2012.

Lanjutan daripada kejayaan Kerajaan Negeri menyediakan perkhidmatan Bridge Express Shuttle Transit (BEST) yang merupakan perkhidmatan shuttle secara percuma antara Sunway Carnival Mall Seberang Jaya dengan Kawasan Perindustrian Bayan Lepas pada bulan Mac 2011, Kerajaan Negeri kini mengorak langkah lagi dengan memperluaskan perkhidmatan percuma Park & Ride meliputi Bandar Perda di Bukit Mertajam dan Auto City di Juru merentasi Jambatan Pulau Pinang ke Bayan Lepas mulai 3 September 2012. Ini melibatkan tambahan 4 buah bas Rapid Penang daripada jumlah sedia ada sebanyak 16 buah bas dengan perbelanjaan berjumlah RM184,800.00 sebulan. Bas CAT yang menawarkan perkhidmatan bas percuma dalam kawasan warisan KOMTAR masih diteruskan dengan kos RM50,000.00 sebulan.

Kerajaan Negeri juga memperkenalkan konsep perkhidmatan BEST KOMTAR yang dikhaskan kepada penjawat awam yang bekerja di KOMTAR. Perkhidmatan ini akan dijalankan secara percubaan selama 3 bulan bermula 1 November 2012 sehingga 31 Januari 2013 menggunakan 2 buah bas Plusliner dengan melibatkan kos berjumlah RM50,000.00.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM10 juta setahun kepada Rapid Penang untuk menjalankan perkhidmatan bas percuma pada waktu puncak, Isnin - Jumaat untuk mengatasi kesesakan trafik. Akan tetapi Kerajaan Negeri masih belum mendapat sebarang jawapan positif selepas 18 bulan.

Kajian Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang telah dibentangkan kepada Kerajaan Negeri dan masih dibincangkan dengan pakar perunding pada bulan Oktober.

Kerajaan Negeri merasa bangga apabila inisiatif berbasikal yang dimulakan oleh Kerajaan Negeri kini mendapat perhatian seluruh Negara malahan berbagai pihak kini aktif melaksanakan sukan berbasikal. Kerajaan Negeri telah mengorak langkah ke hadapan dengan menyediakan lorong-lorong basikal samada secara berasingan atau berkongsi dengan kenderaan bermotor. Panjang laluan yang telah disediakan ialah 81 kilometer. Usaha ini merupakan salah satu komponen dalam strategi menyeluruh untuk menambahbaik sistem lalu lintas dan pengangkutan di negeri ini. Sehingga kini, pelbagai infrastruktur dan kemudahan telah disediakan oleh MPPP dengan penglibatan pihak swasta seperti menyediakan rak dan tempat mengunci basikal di perhentian bas, Taman Belia.

MENYEDIAKAN KEMUDAHAN UTILITI

Projek Pembesaran Empangan Mengkuang di Bukit Mertajam dengan kos sebanyak RM1.2 bilion adalah kini dalam pelaksanaan. Sehingga 26 Ogos 2012, kemajuan pelaksanaan projek adalah 9.06% dan dijangka siap pada 31 Julai 2016.

Bagi menjamin sumber bekalan air mentah yang mencukupi untuk jangka masa panjang, Kerajaan Negeri bercadang untuk mendapatkan bekalan air mentah melalui Projek Skim Bekalan Air Mentah dari Sungai Perak, Negeri Perak ke Negeri Pulau Pinang. Projek ini melibatkan pembinaan terowong yang bertujuan untuk mengagihkan sebahagian air mentah dari Sungai Perak ke Sungai Kerian dan seterusnya ke Negeri Pulau Pinang. Kos projek dianggarkan bernilai RM300 juta dan ianya telah dipohon melalui KeTTHA kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada 30 Jun 2012 di bawah Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Kesepuluh. Kerajaan Persekutuan perlu menjalankan projek ini sebagai tanggungjawab mereka dalam perjanjian penghijrahan aset air yang ditandatangani dengan Kerajaan Negeri.

MEMAJUKAN SEKTOR PERTANIAN DAN PENTERNAKAN

Kerajaan Negeri mensasarkan pengeluaran padi sebanyak 6.5 metrik tan per hektar pada tahun 2013. Penekanan diberikan kepada usaha-usaha menggalakkan pembangunan ladang dengan mempromosi dan mengamalkan teknologi yang spesifik atau secara pakej amalan pengurusan terbaik (best management practices) untuk meningkatkan produktiviti tanaman.

Bagi mengeluarkan hasilan yang lebih berkualiti dan mampu menembusi pasaran, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang telah menubuhkan 4 Zon Pemprosesan Makanan (ZPM) iaitu:

  • Zon Pemprosesan Makanan Teluk Air Tawar, SPU (4 unit);

  • Zon Pemprosesan Makanan Bukit Merah,SPT (5 unit);

  • Zon Pemprosesan Makanan Relau, TL (3 Unit); dan

  • Zon Premprosesan Makanan Genting, Barat Daya (5 unit dalam proses pembinaan).

Fokus kepada menjana peningkatan produktiviti pengeluaran hasilan ternakan yang diusahakan melalui peningkatan kualiti pengurusan ladang melalui Amalan Perladangan Baik (GAHP), pengiktirafan piawaian ladang melalui Skim Akreditasi Ladang Ternakan (SALT) serta Amalan Baik Kebersihan Veterinar (GVHP) bagi produk Industri Asas Tani tetap dipertingkatkan. Ini ternyata bagi aspek pengeluaran ladang, Nilai Hasil Ternakan (NHT), Negeri Pulau Pinang telah mengekalkan pencapaian melebihi RM700 juta setiap tahun dari tahun 2008 hingga 2011.

Bagi memastikan sumbangan sektor pertanian kepada KDNK Negeri meningkat, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan berjumlah RM7.18 juta bagi tahun 2013.

MEMBANGUNKAN MODAL INSAN YANG BERDAYA SAING DAN MENEPATI KEHENDAK PASARAN

Memang diakui bahawa pembinaan modal insan bukan sahaja penanda kekayaan sebenar tetapi asas kemajuan ekonomi sesebuah negara. Kerajaan Negeri telah melabur dalam modal insan dengan menarik institusi pengajian tinggi terkemuka seperti Asian Women Leadership University yang dipimpin oleh universiti wanita terunggul Amerika Syarikat iaitu Smith College di tapak tanah kerajaan seluas 100 ekar di Pondok Upeh.

Majlis Sains Negeri Pulau Pinang akan terus membantu usaha memperkasakan Pulau Pinang sebagai Pusat Cemerlang Sains dan Teknologi. Projek Penang Tech Centre yang bermatlamat mewujudkan penyertaan rakyat dalam bidang sains dan teknologi serta penglibatan sektor industri dan perusahaan swasta telah dirancang semula untuk dibina pada tahun hadapan di Dewan Tunku (Geodesic Dome), KOMTAR dengan harga RM20 juta di atas tapak keluasan 15,000 kaki persegi.

Selain daripada itu, Penang Learning Centre dan Penang Badminton Academy bernilai RM4 juta akan dibangunkan di Kampung Buah Pala hasil sumbangan Yayasan ECM Libra. Projek tersebut bakal melengkapkan sebuah perpustakaan, 7 kelas bahasa dan tuisyen, enam hingga lapan gelanggang badminton serta kantin untuk kemudahan generasi muda. Ia berhasrat untuk membina bakal jaguh badminton dunia dan memberikan pengajaran tuisyen kepada pelajar daif dan yang lemah dalam pelajaran. Kerajaan Negeri tetap akan memperuntukkan sebanyak RM12 juta untuk Sekolah-sekolah Bantuan Modal termasuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah Mubaligh.

MENINGKATKAN KUALITI ALAM SEKITAR DAN TARAF KESIHATAN

Kejayaan mentransformasikan Pulau Pinang kepada sebuah negeri yang bersih, hijau, selamat dan sihat sememangnya diakui, apabila usaha-usaha ini membolehkan George Town dipilih sebagai most liveable city atau bandar paling sesuai didiami di Malaysia untuk expatriate pada 2011 dan pengiktirafan ini diulangi lagi pada 2012 oleh pakar antarabangsa ECA International.

Melalui program Hari Tanpa Beg Plastik Percuma, sebanyak 33 juta beg plastik telah dapat dijimatkan oleh pengusaha pasaraya. Bagi meneruskan usaha menjadi negeri hijau pertama di Malaysia, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan program Sekolah Hijau bagi menggalakan penglibatan pelajar dalam pemuliharaan alam sekitar dengan pemberian insentif sebanyak RM300.00 bagi pelaksanaan aktiviti yang kreatif dan inovasi. Pulau Pinang telah mencapai sasaran kitar semula sebanyak 24% pada 2011 sedangkan sasaran Negara Malaysia adalah 20% pada 2020, dan Kerajaan Negeri akan berusaha untuk meningkatnya lagi ini termasuk usaha mempertingkatkan kebersihan tandas.

Bagi memastikan pengurusan sisa pepejal di Pulau Burong diuruskan dengan lebih berkesan, Kerajaan Negeri telah melantik Syarikat PLB Terang Sdn Bhd dengan kontrak selama 20 tahun. Syarikat ini dipilih berdasarkan tender terbuka dengan tawaran harga yang terendah, mutu perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik dan bersesuaian dengan kehendak Kerajaan Negeri untuk melaksanakan operasi dan menyelenggara tapak pelupusan sisa pepejal di tapak sedia ada, membina sebuah tapak sisa pepejal tambahan yang bertaraf empat (4), menyediakan loji rawatan leachate bagi merawat leachate daripada sisa pepejal serta menyediakan Material Recovery Facility (MRF) sekiranya didapati sesuai dan perlu. Tapak Pelupusan Sampah Jelutong yang telah beroperasi sejak tahun 1992 akan berakhir apabila ianya dibangunkan kelak sebagai sebuah taman dengan pembangunan bercampur. Perlu diingatkan bahawa kos tawaran tender terbuka yang dianggarkan sebanyak RM294 juta untuk tempoh 20 tahun adalah jauh lebih rendah daripada kos pembayaran di bawah sistem pemerintahan BN bersifat kroni. Sekiranya kadar BN digunakan maka kos akan melambung ke RM536 juta iaitu RM242 juta lebih tinggi daripada kos tender terbuka sebanyak RM294 juta.

Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif melaksanakan Program Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (PENBAR) untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai kesan perokok pasif melalui aktiviti promosi dan advokasi. Sebagai permulaan, 6 kawasan dikenalpasti untuk diwartakan sebagai Zon Bebas Asap Rokok iaitu Taman Perbandaran Jalan Utama, Taman Botani, Empangan Air Itam, Empangan Telok Bahang, Taman Bandar Ampang Jajar dan Empangan Mengkuang.

Pusat Dialisis CAT yang hanya mengenakan bayaran rawatan RM30 untuk pesakit buah pinggang telah dibangunkan oleh Kerajaan Negeri di Kompleks Pasar Awam Balik Pulau dan akan mula beroperasi pada Januari 2013. Pusat Dialisis CAT kedua di Seberang Jaya dijangka siap pada bulan Mei 2013.

MENSEJAHTERAKAN KEBAJIKAN RAKYAT

Dalam mengejar kemajuan bagi memastikan Pulau Pinang sentiasa ke hadapan (Penang Leads), Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Program-program kebajikan tahunan seperti Program Penghargaan RM100.00 Warga Emas, Program Penghargaan Ibu Tunggal, Program Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU), RM200.00 untuk Program Anak Emas, Program Pelajar Emas, bantuan one-off IPTA Emas sebanyak RM1,000.00 serta sumbangan pengurusan jenazah kepada waris warga emas sudah terkenal seluruh Malaysia dan sinonim dengan rakyat Pulau Pinang.

Kejayaan Pulau Pinang menjadi negeri pertama bebas dari miskin tegar di Malaysia dengan memastikan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dinaikkan daripada RM500 sebulan kepada RM600 sebulan setiap keluarga membuktikan keberkesanan dasar Pro-Poor yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri mulai tahun 2009. Namun demikian, Kerajaan Negeri mempunyai hasrat untuk membasmi kemiskinan sama sekali.

Menurut laporan IKMAS (Institute of Malaysian and International Studies, UKM) pada tahun 2011, garis kemiskinan (Poverty Line Indicator) bagi Semenanjung Malaysia merupakan RM763 sebulan. Garis kemiskinan ini merupakan tahap pendapatan yang diperlukan untuk menikmati taraf kehidupan yang paling minima. Berdasarkan garis kemiskinan RM763 ini, kadar kemiskinan di Pulau Pinang pada tahun 2007 dan 2009 merupakan 1.4% dan 1.2% masing-masing.

Justeru, sebagai bukti kukuh komitmen untuk memelihara kebajikan rakyat dan memastikan bahawa Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama di Malaysia untuk membasmi kemiskinan sama sekali, Kerajaan Negeri akan menaikkan pendapatan minima bulanan bagi setiap isi rumah di Pulau Pinang daripada RM600 sekarang kepada RM770, iaitu pada kadar yang melebihi garis kemiskinan.

Ini bermaksud bahawa sekiranya terdapat mana-mana isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM770 sebulan, maka Kerajaan Negeri akan menambah nilai atau "top-up" bakinya untuk mencukupi RM770. Program ini dijangka akan membabitkan sebanyak RM20 juta setahun. Dengan ini, Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama untuk mencapai taraf Miskin Sifar, Rasuah Sifar, Pengangguran Sifar dan pada suatu hari nanti Hutang Sifar.

Berdasarkan rekod i-sejahtera, jumlah keseluruhan warga emas yang berdaftar telah meningkat kepada 146,324 orang berbanding 126,107 orang pada tahun 2011. Malahan pendaftaran Program Bantuan Ibu Tunggal juga menunjukkan reaksi positif masyarakat dengan mencatatkan jumlah seramai 7,789 orang berdaftar pada tahun 2012 berbanding 4,323 orang pada tahun 2011. Peningkatan jumlah ini juga membuktikan kejayaan program kebajikan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri.

Sehingga kini, seramai 8,993 orang penerima telah menerima bantuan RM1,000 kepada waris yang menguruskan jenazah warga emas yang meninggal dunia. Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperkembangkan pemberian sumbangan ini kepada waris ibu tunggal dan OKU.

Untuk tahun 2013, sejumlah RM60 juta disediakan untuk pelaksanaan program-program sosial dan kebajikan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri.

MEMARTABATKAN AGAMA ISLAM

Selaras dengan hasrat untuk menjadikan masjid sebagai sebuah institusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan, peruntukan sebanyak RM13.84 juta telah disediakan untuk tahun 2013 meliputi pembangunan masjid, surau dan sekolah agama rakyat (SAR).

Bagi tahun 2013, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan untuk meneruskan pembinaan masjid baru yang mengambilkira prasarana mesra OKU, iaitu di Masjid Jamek Sungai Gelugor, Daerah Timur Laut dan Masjid Jamek Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara. Pembinaan masjid yang mengambilkira prasarana seumpama ini telahpun dilaksanakan di Masjid Abdullah Fahim, Seberang Perai Utara dan Masjid Kelawei, Daerah Timur Laut.

Keseluruhan peruntukan untuk tujuan keagamaan pada tahun hadapan adalah RM46.42 juta.

MENINGKATKAN KUALITI PERUMAHAN RAKYAT

Kerajaan Negeri sememangnya memberi perhatian serius kepada keperluan sektor perumahan. Khususnya, tanggungjawab untuk menyediakan perumahan mampu milik yang selamat, kondusif dan selesa adalah menjadi agenda utama Kerajaan Negeri. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta untuk tempoh lima (5) tahun bagi merealisasikan Skim Perumahan Mampu Milik tersebut. Di bawah Fasa 1, PDC memperuntukkan kawasan seluas 200 ekar di Batu Kawan yang melibatkan pembinaan 11,800 unit apartmen. Kerajaan Negeri telah melantik HDB Singapura, iaitu pembina rumah mampu milik yang terbaik, bagi memastikan rumah mampu milik di Batu Kawan adalah yang paling berkualiti di Malaysia. Di bawah Fasa 2, Kerajaan Negeri, MPPP dan MPSP memperuntukkan tanah MPPP dan tanah MPSP seluas 49 ekar di 4 daerah, iaitu 29 ekar di Seberang Perai Utara, 3 ekar di Seberang Perai Tengah, 11 ekar di Daerah Timur Laut dan 6 ekar di Daerah Barat Daya. Keempat-empat tapak ini akan melibatkan pembinaan 6,000 unit rumah mampu milik.

Hanya 433 unit rumah di Projek Perumahan Rakyat Desa Wawasan, Sungai Rambai, Bukit Mertajam dihuni manakala 479 unit selebihnya masih kosong. Kerajaan Negeri baru-baru ini telahpun mengadakan temuduga bagi 39 permohonan yang diterima untuk sewaan di PPR Desa Wawasan. Hanya 22 pemohon yang hadir untuk temuduga dan daripadanya 17 telah berjaya dan akan ditawarkan unit-unit rumah untuk sewaan. Sewaan yang dikenakan termasuk kos penyelenggaraan adalah sebanyak RM100.00 sebulan. Bagi unit-unit rumah yang akan disewa, Kerajaan Negeri dalam tindakan melaksana kerja-kerja pembaikan dan pemasangan gril dengan kos berjumlah RM195,000.00 untuk 30 unit rumah terlibat. Kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan apabila perlua ke atas unit-unit yang akan disewakan bagi mengelak vandalisme.

Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang atau Housing Assistance Programme Of Penang, Yes! (HAPPY!) dengan dana sebanyak RM50 juta diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri. Peruntukan HAPPY! diwujudkan untuk menampung Program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia yang memperuntukkan kos pembaikan sebanyak 90% bagi rumah kos rendah dan 70% bagi rumah kos sederhana rendah swasta. Manakala, baki selebihnya sebanyak 10% (rumah pangsa kos rendah) dan 30% (rumah pangsa kos sederhana rendah) adalah ditanggung oleh penduduk. Melalui HAPPY! Kerajaan Negeri akan menampung baki 10% dan 30% tersebut. Kerajaan Negeri percaya bahawa program HAPPY! ini mampu menjayakan program penyelenggaraan, pembaikan dan menaiktaraf infrastruktur rumah pangsa kos rendah dan kos sederhana rendah di seluruh negeri Pulau Pinang. Justeru itu, ianya mampu meningkat kualiti kehidupan yang lebih selesa kepada rakyat secara keseluruhannya.

Kerajaan Negeri pada tahun 2013 juga akan meneruskan dengan pembiayaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur asas bagi projek-projek perumahan awam yang dibina dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri. Bagi tujuan ini, peruntukan berjumlah RM 12.46 juta disediakan.

MEMANTAPKAN PEMBANGUNAN BELIA DAN SUKAN

Berpandukan kepada kejayaan mencapai kedudukan di tangga keenam di Sukan Malaysia XV Pahang 2012 dan juga Sukan Malaysia XIV Kuala Lumpur 2011 yang lalu, Kerajaan Negeri terus memastikan program-program pengukuhan serta pemantapan kontinjen negeri dijalankan secara menyeluruh bagi memartabatkan sukan negeri ke tahap yang lebih cemerlang.

Keseluruhannya peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk memantapkan prasarana dan budaya kesukanan dalam tahun 2013 telah bertambah RM1 juta kepada RM7.67 juta manakala peruntukan yang disediakan untuk aktiviti belia juga bertambah kepada RM752,000. Pada masa yang sama sebagai suatu suntikan sihat untuk golongan belia, suatu peruntukan khas sebanyak RM5 juta akan diberikan untuk membina gelanggang futsal di seluruh Pulau Pinang.

PEMBANGUNAN KONTRAKTOR KELAS F

Bagi membangunkan kontraktor-kontraktor Kelas F, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Rundingan Kontraktor Kelas F yang berperanan menyediakan platform sebagai meja rundingan secara dua hala di antara jabatan/agensi kerajaan dan kontraktor Kelas F. Antara usaha yang telah dilakukan ialah mengadakan bengkel-bengkel dan latihan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kontraktor Kelas F khususnya dalam kerja-kerja konservasi warisan.

Berdasarkan rekod sistem e-Perolehan, penawaran projek kepada kontraktor-kontraktor Kelas F adalah meningkat mengikut tahun seiring dengan pertambahan peruntukan pembangunan yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri. Pada tahun 2010, nilai kerja projek pembangunan Negeri yang telah ditawarkan kepada kontraktor Kelas F adalah sebanyak RM38.5 juta iaitu peningkatan sebanyak RM26.8 juta berbanding tahun 2009. Tahun 2011 juga telah mencatat peningkatan ketara di mana nilai projek berjumlah RM67.9 juta keseluruhannya telah ditawarkan oleh jabatan/agensi Negeri kepada kontraktor Kelas F sahaja. Sehingga September 2012, nilai projek yang telah ditawarkan kepada kontraktor Kelas F adalah berjumlah RM57.02 juta.

MEMANGKIN PEMBANGUNAN KOPERASI DAN KEUSAHAWANAN

Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) yang telah dimulakan pada tahun 2009 telah berjaya memanfaatkan 792 peminjam dengan jumlah keseluruhan pinjaman berjumlah RM2.9 juta. Usaha ini bukan sahaja berjaya membantu peniaga kecil yang berpotensi untuk terus berkembang, malahan meningkatkan pendapatan masyarakat termiskin dan seterusnya membasmi kemiskinan melalui peniagaan. Justeru, Kerajaan Negeri bercadang menambah dana bersama dengan PDC sebanyak RM3 juta dengan RM1 juta tambahan khas untuk ibu tunggal bagi meneruskan usaha-usaha membantu peniaga kecil mempertingkatkan kualiti dan jaringan perniagaan masing-masing.

Di samping penekanan kepada pembangunan keusahawanan di kalangan individu, Kerajaan Negeri juga menggalakkan budaya keusahawanan di kalangan koperasi.

Selain daripada pelaksanaan program pembangunan keusahawanan dan penyediaan modal kepada peniaga-peniaga kecil, Kerajaan Negeri juga secara berperingkat berusaha untuk menaiktaraf kompleks-kompleks perniagaan untuk aktiviti perniagaan serta tarikan pelanggan. MPPP telahpun menyiapkan kerja-kerja menaiktaraf Kompleks Bukit Gedung dengan kos perbelanjaan sebanyak RM1.55 juta. Dengan sewaan yang dikekalkan ke tahap hanya RM68 sebulan yang rendah, ianya akan membantu para peniaga mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri telah menghulurkan kepada MPSP RM10 juta untuk menaiktaraf pasar-pasar awam di Seberang Perai.

MEMACU PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN KOMUNITI

Penubuhan Penang Women's Development Corporation (PWDC) pada November 2011 lalu jelas menunjukkan komitmen dan keutamaan Kerajaan Negeri untuk membangun dan memperkasa kepentingan dan peranan wanita dalam masyarakat. PWDC mula beroperasi pada Januari 2012 dan telah memulakan projek perintis Gender Responsive Budgeting dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai selama tiga tahun yang akan memberi fokus kepada aspek keselamatan dan kebersihan.

Sejak 10 bulan beroperasi, PWDC telah menganjurkan berbagai program pembinaan kapasiti di peringkat akar-umbi melalui bengkel dan latihan kepimpinan wanita dan pengenalan kepada tadbir urus baik. Setakat ini lebih daripada 300 orang peserta di kelima-lima daerah telah menyertai program yang dianjurkan. Di antara program keusahawanan yang akan dilaksanakan ialah Latihan Asas Penjagaan Kanak-Kanak untuk ibu-ibu tungal, di mana mereka akan dilatih mengenai penjagaan kanak-kanak yang selamat dan berkualiti di rumah sebagai kegiatan yang boleh menjana ekonomi golongan ibu tunggal.

Selaras dengan penekanan dan agenda bagi melengkapkan wanita dengan kemahiran dan pengetahuan serta mewujudkan pesekitaran yang menggalakkan bagi menyokong dan memajukan wanita, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sejumlah RM2.3 juta dalam tahun 2013, termasuk RM1.5 juta untuk PWDC.

Suatu lagi projek kesihatan khas projek kesihatan adalah Program Kesihatan Bebas Barah Payu Dara Pulau Pinang untuk memberikan pemeriksaan mammogram secara percuma yang akan dijalankan bersama peruntukan ADUN. Kerajaan Negeri mahu golongan wanita yang sihat, cergas dan bebas daripada barah payu dara. RM3 juta akan diperuntukkan.

MEMPERTINGKATKAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM

Cabaran global dan domestik serta peningkatan ekspektasi rakyat menuntut Perkhidmatan Awam melaksanakan perubahan besar terhadap dasar dan strategi pembangunan negara serta mekanisme pelaksanaannya. Untuk mencapai status perkhidmatan awam yang cemerlang dan bertaraf antarabangsa, jentera pentadbiran kerajaan yang kompeten, berdaya saing, kreatif, inovatif dan berintegriti amat diperlukan. Justeru, saya yakin dan percaya pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa melaksanakan transformasi sejajar dengan tuntutan untuk memastikan penyampaian perkhidmatan lebih responsif, cekap, tepat, telus dan mesra rakyat.

Kerajaan Negeri amat menitikberatkan kreativiti dan inovasi bagi menghasilkan perkhidmatan yang lebih berkualiti. Adalah membanggakan beberapa pendekatan yang diambil oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUKPP) dalam menerapkan inovasi dalam kerja harian, antaranya melalui pensijilan MS ISO 9001:2008, di mana 49 proses utama di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) telah diiktiraf oleh SIRIM pada 9 September 2012. PSUKPP juga telah diiktiraf Empat (4) Bintang dalam Penarafan Bintang Tahun 2011 oleh pihak MAMPU.

Kerajaan Negeri juga telah berjaya mengekalkan sijil tanpa teguran daripada Ketua Audit Negara ke atas Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun 2011 dan sebanyak empat (4) jabatan iaitu PSUKPP, Jabatan Kewangan Negeri, PDC dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang telah mendapat pengiktirafan Empat (4) Bintang dam Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti. Sebagai dorongan dan galakkan kepada jabatan dan agensi yang telah mengekalkan prestasi cemerlang ini, Kerajaan Negeri mulai tahun semasa ini akan memberi insentif kewangan sebanyak RM10,000 kepada jabatan/agensi terlibat. Sebagai rangsangan lagi, pada tahun 2013 pemberian insentif kewangan ini akan ditingkatkan kepada RM15,000.

Seiring dengan pengiktirafan kepada sumbangan perkhidmatan awam, Kerajaan Negeri menjelang Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lepas telahpun memberi bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM600 kepada seramai 3,780 penjawat awam. Susulan daripada bonus raya Kerajaan Negeri ingin mengumumkan pembayaran bonus setengah bulan gaji dengan minima RM700 pada bulan Disember 2012 dan Januari 2013 nanti. Guru-guru dan penyelia KAFA akan menerima RM400 kali ini iaitu RM700 untuk tahun ini berbanding RM600 tahun lalu. Sejumlah RM7.466 juta akan dibelanjakan bagi maksud pemberian bonus ini. Pemberian bonus ini turut dipanjangkan kepada kedua-dua PBT dan Badan-badan Berkanun Negeri.

Y.B. Dato' Speaker,

Pada tahun 2010, Kerajaan Negeri melalui badan pemikir Sosio-Economic and Environmental Research Institute (SERI) telah menghasilkan pelan induk yang dinamakan "Penang Blueprint". Pelan tersebut merangkumi strategi-strategi pembangunan untuk tempoh tahun 2011 sehingga 2015.

Namun begitu, pada bulan April tahun 2011, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan rancangan untuk menghasilkan pelan induk yang dipanggil "Greater Penang Transformation Programme", dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) serta Khazanah Nasional.

Sebagai komitmen kepada inisiatif Kerajaan Persekutuan, dan dalam semangat kerjasama demi pembangunan negeri dan rakyat, Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan hasrat Kerajaan Persekutuan dan mengambil keputusan untuk mengetepikan "Penang Blueprint" tersebut.

Walau demikian, pada bulan Jun 2011, PEMANDU telah mengumumkan perumusan program baru untuk menggantikan "Greater Penang Transformation Programme", iaitu Program Transformasi Koridor dan Wilayah yang membabitkan lima koridor termasuk Pulau Pinang dalam Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

Program yang diterajui oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ini telah dijalankan melalui Lab Koridor dan Wilayah (Corridors and Cities Lab) dari bulan September hingga November 2011. Kerajaan Negeri telah memberi sebanyak-banyak kerjasama yang mungkin untuk membantu dalam perumusan pelan induk bagi negeri Pulau Pinang dan Koridor Wilayah Utara.

Hasil daripada Lab Koridor dan Wilayah tersebut, laporan sepatutnya dibentangkan kepada pihak awam pada bulan Mac 2012. Sungguhpun begitu, setakat ini tidak ada apa-apa berita atau laporan yang dikemukakan. Kelewatan ini amat dikesali dan memberikan gambaran bahawa Kerajaan Negeri tertipu kerana ikhlas bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Apabila ditanya tentang status pelan induk tersebut pada bulan September yang lepas, Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU Dato' Sri Idris Jala telah memaklumkan bahawa beliau sedang menantikan tarikh pelancaran daripada Timbalan Perdana Menteri.

Kerajaan Negeri berasa sungguh hampa dengan sikap Kerajaan Persekutuan yang tidak menunaikan janji. Akan tetapi, Kerajaan Negeri tidak akan duduk berdiam sahaja. Pada masa sekarang, proses sudah pun dimulakan untuk melakukan pengemaskinian terhadap pelan induk yang dihasilkan dahulu, dan sekiranya tidak ada maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan maka satu "Penang Paradigm" akan dikeluarkan pada Januari 2013, yang merupakan pengemaskini "Penang Blueprint" yang asal.

PERUNTUKAN BAJET 2013

Bagi melaksanakan strategi-strategi dan langkah-langkah yang saya bentangkan tadi, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM970,561,310 (Ringgit Malaysia: Sembilan Ratus Tujuh Puluh Juta, Lima Ratus Enam Puluh Satu Ribu, Tiga Ratus Sepuluh) diperuntukkan bagi bajet Mengurus tahun 2013. Ini merupakan peningkatan sejumlah RM370,965,987 bersamaan 61.87% berbanding bajet mengurus sebanyak RM599.60 juta bagi tahun 2012.

Bagi peruntukan Pembangunan pula diperuntukkan sejumlah RM363,385,531 (Ringgit Malaysia: Tiga Ratus Enam Puluh Tiga Juta, Tiga Ratus Lapan Puluh Lima Ribu, Lima Ratus Tiga Puluh Satu). Ini juga merupakan peningkatan iaitu sejumlah RM30,451,881 bersamaan 9.15% berbanding peruntukan pembangunan sebanyak RM332.93 juta bagi tahun 2012.

Sebagai satu gambaran menyeluruh, sejumlah RM1,133,946,841 (Ringgit Malaysia: Satu Bilion, Satu Ratus Tiga Puluh Tiga Juta, Sembilan Ratus Empat Puluh Enam Ribu, Lapan Ratus Empat Puluh Satu) yang mencakupi peruntukan Mengurus dan peruntukan Pembangunan dicadangkan untuk perbelanjaan dalam tahun 2013. Jumlah besar ini telahpun mengambil kira RM200 juta untuk caruman kepada Kumpulanwang Pembangunan Negeri. Bajet keseluruhan yang dicadangkan bagi tahun 2013 sebanyak RM1.13 bilion merupakan peningkatan sebanyak RM381.42 juta atau 50.68% berbanding dengan bajet keseluruhan tahun 2012 sebanyak RM752.53 juta. Selaras dengan itu, ucapan saya akan merujuk kepada dua (2) risalah yang berkaitan, iaitu Risalah Bil. No. 1 Tahun 2012 bagi Bajet Mengurus Tahun 2013 dan Risalah Bil. No. 2 Tahun 2012 bagi Bajet Pembangunan Tahun 2012 bersekali.

Y.B. Dato' Speaker,

Bagi tahun 2013, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang dikutip berjumlah RM708,523,660 (Ringgit Malaysia: Tujuh Ratus Lapan Juta, Lima Ratus Dua Puluh Tiga Ribu, Enam Ratus Enam Puluh) iaitu peningkatan RM322,635,330 atau 83.61% berbanding anggaran tahun semasa 2012 sebanyak RM385.89 juta.

Komposisi hasil tahun 2013 terdiri daripada hasil cukai sebanyak RM134.72 juta atau 19.01%, hasil bukan cukai RM158.0 juta atau 22.30% dan terimaan bukan hasil sebanyak RM415.80 juta atau 58.69%.

Mengambil kira jangkaan hasil tahun 2013 sejumlah RM708.52 juta berbanding perbelanjaan Mengurus sebanyak RM970.56 juta akan menjadikan Bajet 2013 mengalami defisit sebanyak RM262.04 juta. Defisit sebanyak RM262.04 juta ini adalah RM48.33 juta lebih besar daripada anggaran defisit tahun 2012 iaitu RM213.71 juta. Anggaran defisit atau kekurangan RM262.04 juta yang dijangka dalam Bajet 2013 dapat dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM710.81 juta pada akhir tahun 2011.

Kerajaan Negeri sememangnya telah membentangkan bajet defisit untuk tahun 2012, tetapi mengambil kira kutipan hasil semasa berjumlah RM528.38 juta setakat 12 Oktober 2012 berbanding anggaran perbelanjaan mengurus bagi tahun 2012 yang berjumlah RM599.60 juta, di samping usaha-usaha berterusan dalam memantapkan lagi kutipan hasil sehingga akhir tahun dan amalan-amalan perbelanjaan berhemat, nilai untuk wang (value for money) dan pengurusan nilai (value management) yang diterapkan, Kerajaan Negeri harap rekod bajet lebihan cemerlang akan dapat terus dikekalkan.

Selain daripada caruman kepada Kumpulanwang Pembangunan Negeri, peruntukan yang disediakan untuk pembiayaan program-program sosial juga telah bertambah berbanding tahun lalu dan turut menyumbangkan kepada peningkatan defisit. Sejak Mac 2008, Kerajaan Negeri PR telah membelanjakan sebanyak RM176.40 juta untuk program kebajikan dan sumbangan RM500 juta untuk pelaksanaan Skim Perumahan Mampu Milik yang tidak pernah dibelanjakan oleh Kerajaan lama. Tetapi kita masih dapat lebihan Bajet. Walaupun beban kewangan yang terlibat adalah tinggi dan mengakibatkan kepada pertambahan bajet berdefisit untuk tahun 2013, sebagai kerajaan berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri bertekad untuk meneruskan dengan program-program sosial tersebut.

Y.B. Dato' Speaker,

Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM970.56 juta terbahagi kepada dua (2) jenis iaitu perbelanjaan Tanggungan dan perbelanjaan Bekalan. Mengikut Perkara 98 Perlembagaan Persekutuan perbelanjaan Tanggungan adalah perbelanjaan yang dikenakan terus kepada Kumpulan Wang Disatukan seperti vot Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, elaun/ganjaran/pencen Anggota Pentadbiran Negeri, bayaran balik pinjaman dan bayaran tuntutan perintah mahkamah. Peruntukan Tanggungan yang dijangkakan dalam tahun 2013 adalah berjumlah RM34,415,860. Manakala bagi perbelanjaan Bekalan pula, adalah perlu mendapat kuasa berkanun melalui Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat perbelanjaan sebanyak RM936,145,450 yang diperuntukkan bagi tahun 2013. Terdapat 19 jabatan yang dimohon kelulusan peruntukan Bekalan di bawah Maksud Bekalan B01, B02, B03, B04, B05, B06, B07, B08, B09, B10, B12, B13, B14, B15, B16, B17, B18, B19 dan B20 seperti mana perincian di Risalah Bil. 1 Tahun 2012.

Di bawah peruntukan Mengurus 2013, sejumlah RM143.76 juta adalah bagi Emolumen, RM117.12 juta bagi Perkhidmatan dan Bekalan, RM7.54 juta untuk perolehan Aset serta RM696.02 juta bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Manakala sejumlah RM6.13 juta disediakan untuk perbelanjaan-perbelanjaan lain. Peningkatan yang ketara bagi objek am Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap adalah berpunca daripada caruman kepada Kumpulanwang Pembangunan Negeri (RM200 juta), pemberian dan bantuan-bantuan sosial rakyat yang komited yang telah saya huraikan sebelum ini. Pertambahan peruntukan bagi objek-objek am selainnya adalah bagi menampung keperluan perbelanjaan mengurus yang kian meningkat pada setiap tahun iaitu antara lain kenaikan gaji dan pelarasan emolumen, kenaikan kos bekalan dan utiliti dan keperluan menggantikan kenderaan dan aset yang telah dilupuskan.

Bajet Pembangunan untuk tahun 2012 adalah sebanyak RM363.39 juta yang keseluruhannya adalah daripada punca negeri. Anggaran Bajet Pembangunan Tahun 2012 yang dimohon kelulusan mengikut Maksud Pembangunan P01, P08, P09, P10, P12, P13, P16, P17 dan P18 bagi sembilan (9) jabatan negeri adalah seperti tersenarai dalam Risalah Bil. No. 2 Tahun 2012.

Peruntukan Pembangunan yang disediakan adalah untuk menampung antara lain keperluan infrastruktur berjumlah RM77.76 juta, pengambilan tanah berjumlah RM58 juta, pertanian dan pembangunan luar bandar berjumlah RM13.02 juta, perumahan berjumlah RM12.46 juta dan RM50 juta untuk Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang (HAPPY!) dan sektor sosial dan pembangunan masyarakat berjumlah RM152.13 juta.

PENUTUP

Kerajaan negeri PR memperkenalkan AES (Agenda Ekonomi Saksama) untuk mengurangkan jurang ketidaksaksamaan di kalangan masyarakat. Malah The Economist dan IMF pun menganggap ketidaksaksamaan sebagai tidak efisyen dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta menghindari peluang samarata dalam pendidikan. Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil pendirian berani untuk memulakan proses mengurangkan ketidaksaksamaan dengan AES dengan menghapuskan kemiskinan pada tahun 2013 dan bukanlah tahun 2015 seperti yang dirancang dahulu.

Inilah perbezaan AES PR dengan AES BN atau Automated Enforcement System. Suatu AES PR yang memartabatkan rakyat dan memperkayakan mereka berbanding dengan AES BN yang menghina rakyat dengan membebankan mereka. AES PR membolehkan Pulau Pinang untuk melakarkan nama dalam sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang berjaya menghapuskan kemiskinan pada 2013 selepas kejayaan menjadi negeri pertama yang membasmi miskin tegar pada 2009.

Kesemua ini hanya dapat tercapai kerana kemampuan Kerajaan Negeri PR menerusi sistem CAT untuk mencatatkan prestasi kewangan yang cemerlang. Sungguhpun pihak tertentu berasa begitu iri hati sehingga mempersoalkan rekod lebihan bajet yang paling tinggi sebanyak RM138 juta untuk tahun 2011, kenaikan 312% berbanding dengan RM33 juta pada tahun 2010, ataupun pengurangan hutang sebanyak 95%, pihak tidak bertanggungjawab ini meludah ke langit kerana mempertikaikan kewibawaan Ketua Audit Negara yang sudah sahkan penyata kewangan Pulau Pinang sebagai benar dan saksama.

Lebihan bajet ini dicapai bukan kerana belanja kurang sebaliknya perbelanjaan bertambah lebih 55% berbanding dengan kerajaan lama. Contohnya perbelanjaan untuk program sosial dan bantuan wang kepada rakyat sebanyak RM176.4 juta tidak pernah dibelanjakan sebelum ini. Dan juga perbelanjaan untuk pembinaan jalan di bawah JKR sebanyak RM109 juta ataupun pembinaan longkang di bawah JPS sebanyak RM51 juta sejak Mac 2008 yang tidak pernah diberikan sebelum ini. Peruntukan untuk 2013 bagi JKR adalah RM41.6 juta dan JPS adalah RM16.2 juta.

Kerajaan Negeri PR akan membina jambatan Kampung Tanjung Berembang di KADUN Sungai Acheh sebanyak RM50 juta sekiranya memperolehi keyakinan rakyat yang tidak berbelah-bagi dalam kawasan itu. Sekarang kami memohon peruntukan ini daripada Kerajaan Persekutuan dan harap ia akan disokong oleh ADUN-ADUN pembangkang.

AES bukan hanya sekadar mengurangkan ketidaksaksamaan, tetapi bertujuan untuk mencapai empat syarat sepertimana yang dikenalpasti oleh pakar ekonomi terkemuka dan penasihat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Prof Jeffrey Sachs semasa syarahan anjuran Penang Institute di Pulau Pinang baru-baru ini, iaitu kesejahteraan ekonomi, kesaksamaan sosial, pembangunan mampan dan mesra alam, serta urustadbir bersih dan cekap.

Memang Kerajaan Negeri memenuhi keempat-empat syarat ini. Hakikat ini dicerminkan dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan pelaburan tertinggi di Malaysia berturut-turut pada 2010 dan 2011. Pembangunan mampan dan mesra alam dicerminkan dengan kempen tanpa beg plastik dan kitar semula tinggi serta projek hijau tanpa kilang nadir bumi Lynas dan tanpa loji reaktor nuklear.

Dalam Agenda Ekonomi Saksama AES, Kerajaan Negeri PR bertekad memerangi ketidaksaksamaan tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi dengan tiga langkah teras iaitu bersaing (compete), insentif yang disasarkan (targeted incentives) dan mengurangkan (reduce).

Pertama, menggalakkan persaingan dengan menghancurkan monopoli dan kronisme supaya yang rajin diberikan ganjaran dan yang berkebolehan dinaikkan.

Kedua, sasaran dan insentif diberikan kepada golongan yang miskin, muda dan wanita. Kita boleh lihat betapa besar perubahan apabila wanita pertama kali dilantik di Pulau Pinang sebagai YDP Pihak Berkuasa Tempatan atau Pegawai Daerah.

Program-program untuk membasmi kemiskinan sebanyak RM20 juta, membantu wanita sebanyak RM5.3 juta dan belia sebanyak RM5 juta untuk membina gelanggang futsal adalah titik permulaan.

Ketiga, mengurangkan amalan rasuah dan karenah birokrasi agar potensi setiap insan dapat dioptimakan. Melalui amalan prinsip CAT, Kerajaan Negeri telah menjadi perintis kepada pelbagai proses dan sistem seperti pelaksanaan tender terbuka, pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri dan ahli-ahli EXCO, melarang ahli kjeluarga daripada berurus niaga dengan Kerajaan Negeri, kehidupan mewah ditegah, pendedahan kontrak kerajaan dengan sektor swasta, dan pelulusan Enakmen Kebebasan Maklumat. Urustadbir bersih dan baik dengan prinsip CAT telah menjadikan Pulau Pinang lebih bersih, hijau, sihat dan selamat.

AES PR kini memperlihatkan Pulau Pinang yang tanpa kemiskinan, tanpa pengangguran dan kelak tanpa hutang kerana tanpa rasuah. Marilah kita memastikan PR terus kekal sebagai kerajaan berjiwa rakyat yang martabatkan rakyat.

Y.B. Dato' Speaker,

Akhirnya saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan saya kepada semua rakyat atas sokongan dan sumbangan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri, kepada semua anggota perkhidmatan awam dan anggota-anggota keselamatan yang telah berkhidmat dengan gigih dan penuh bertanggungjawab untuk menjamin kestabilan, keamanan, kemajuan dan kemakmuran negeri yang berterusan. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua Y.B. ADUN yang sama-sama berkhidmat untuk menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negeri Pulau Pinang. Saya percaya dan yakin dengan sokongan padu dan penyertaan semua pihak, negeri kita akan terus maju dan berjaya.

Saya tutup ucapan saya dengan serangkap pantun

AES dasar berharga
Adil ditegak, rakyat dijaga
Pakatan Rakyat harapan bersinar
Amar maaruf, nahi mungkar

Sekian, Y.B. Dato' Speaker, saya mohon mencadangkan.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang