Perdana Menteri sendiri harus mewajarkan kamera AES 1Malaysia

DAP kecewa dengan Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak kerana enggan menggantung penggunaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tetapi sebaliknya minta Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha untuk menjelaskan kenapa kamera 1Malaysia ini diperdagangkan kepada 2 syarikat swasta. Najib harus mewajarkan sendiri kamera AES 1Malaysia dan bukan bergantung kepada Kong apabila Kong bukan sahaja sudah hilang keyakinan rakyat Malaysia, malah Pemuda UMNO dan Gerakan pun sudah menentang AES.

Perbezaan antara AES BN yang menghukum rakyat untuk mengayakan syarikat-syarikat swasta berbanding Agenda Ekonomi Saksama (AES) PR Pulau Pinang yang bertekad untuk menghapuskan kemiskinan menonjolkan pendekatan dasar yang berbeza dalam pembangunan ekonomi. BN memasang kamera 1Malaysia tanpa tender terbuka yang memanfaatkan syarikat-syarikat kroni tertentu melalui komisyen untuk setiap saman yang dikeluarkan, manakala AES PR Pulau Pinang akan menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia untuk mencapai taraf bebas kemiskinan menjelang tahun 2013.

Pulau Pinang telah menjadi negeri pertama untuk membasmi miskin tegar (isi rumah dengan pendapatan bulanan kurang daripada RM400) pada tahun 2009 dan menyasarkan untuk menghapuskan kemiskinan menjelang 2015. Namun demikian, sasaran miskin sifar telah dibawa depan 2 tahun kepada 2013 akibat prestasi kewangan yang baik oleh kerajaan negeri pada tahun 2011.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 telah mengesahkan bahawa Pulau Pinang telah mengurangkan hutang sebanyak 95% dan mencatat lebihan bajet yang paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang dengan RM138 juta, peningkatan 312% daripada lebihan bajet 2010 iaitu RM33 juta. Kerana urustadbir CAT (cekap, akauntabiliti, telus), Pulau Pinang berjaya mencatat lebihan bajet untuk setiap tahun sejak 2008 walaupun mengunjurkan bajet defisit setiap tahun.

Urustadbir CAT memberi tumpuan kepada pengurangan kos dan pemaksimuman hasil tanpa mengorbankan kualiti melalui tender terbuka, pematuhan kepada undang-undang, pemilihan pihak yang paling sesuai untuk sesuatu kerja serta mengamalkan audit dan mekanisme pengawalan dalaman yang ketat. Hasil daripada urustadbir CAT, kerajaan negeri Pulau Pinang telah berjaya mencapai sasaran untuk menghapuskan kemiskinan dengan memastikan pendapatan isi rumah minima RM770, iaitu melebihi garis kemiskinan RM763 di Semenanjung Malaysia.

Dalam erti kata lain, mana-mana isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM770 sebulan selepas semua bantuan dikira, akan ditambah nilai oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mencukupi RM770 sebulan. Program ini akan bermula pada 1.1.2013 dan akan menghapuskan kemiskinan di Pulau Pinang menjelang akhir 2013. Sekurang-kurangnya RM20 juta telah diperuntukkan untuk inisiatif penghapusan kemiskinan yang bersejarah ini.

Apakah gunanya Najib minta Kong untuk menjelaskan jika Pemuda UMNO dan Gerakan tidak mendengar? Najib harus mengambil alih dan menjelaskan keperluan AES dalam 3 perkara yang menjadi kebimbangan awam. Pertama, kenapakah pemasangan kamera 1Malaysia AES harus diperdagangkan dan diswastakan? Pengeluaran saman trafik harus berunsur pencegahan dan hasilnya harus diberi kepada kerajaan dan bukan untuk manfaat syarikat-syarikat swasta sementara rakyat dibebankan.

Kedua, kenapakah tidak ada pelarasan had laju di kawasan-kawasan tertentu yang mempunyai had laju yang terlalu rendah seperti 50 atau 60 km/j? Namun begitu, AES untuk pelanggaran lampu merah boleh diterima. Ketiga, kenapakah tiada perbincangan awam dengan rakyat, pihak-pihak berkepentingan, pengguna jalan raya serta mereka yang paling terjejas oleh kamera AES 1Malaysia?

Inilah tiga isu yang gagal dijawab oleh Kong dan harus ditangani oleh Najib sendiri.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP Ahli Parlimen Kawasan Bagan